H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti
Tuesday, November 16, 2010
Salam Eid Al-Adha : Tingkatkan Pengorbanan Kepada Allah
Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada hari raya ialah melakukan korban. Waktu menyembelihnya ialah sesudah mengerjakan salat sunat Aidil Adha sehingga hari tasyrik ( 13 Zulhijjah ). Ianya boleh dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing untuk seorang atau seekor lembu untuk tujuh orang. Firman s.w.t. :
Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )". ( Surah al-Kausar : 1-3 )
Berdasarkan kepada Firman Allah t ersebut, majoriti ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pعla lebih besar. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah s.a.w. :
"مَنْ وَجَدَ سَعَةً ِلأَنْ يُضَحِّيَ فَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنـَا"
Maksudnya : " barangsiapa yang mempunyai kelapangan ( mampu ) untuk berkorban tatapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini ".
( riwayat Ahmad dan Ibni Majah )
Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimim untuk memupuk semangat berkorban. dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.
Di aintara hikmah korban yang boleh dipelajari daripada sirah Nabi Ibrahim ialah:
i- Ia adalah tanda syukur kepada Allah swt di atas nikmat kehidupan yang telah diberikan-Nya.
ii- Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s. ketika Allah swt menyuruhnya menyembelih binatang yang telah Allah swt gantikan dengan Nabi Ismail a.s.
iii- Supaya orang mukmin mengingati kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail, mereka telah mendahulukan ketaatan kepada Allah swt berbanding rasa cinta kepada diri sendiri dan anaknya. Inilah sebab mengapa Allah swt menukar Nabi Ismail dengan binatang korban dan mengangkat bebanan ini.
MANASIK HAJI
Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan ke pada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain; baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata.
Pada saat itu, mereka merasakan ikatan ukhuwah sesama agama Islam begitu erat tanpa menghiraukan perbezaan warna kulit, bangsa, budaya dan tempat asal mereka. Semoga tetamu Allah kali ini mendapat haji yang mabrur, yakni haji yang diterima. Haji yang ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga.
Kesimpulannya marilah sama-sama kita melatih diri untuk melaksanakan suatu pengorbanan di dalam diri kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Pengorbanan yang diharapkan merupakan bukan sekadar pengorbanan wang ringgit dan masa tetapi pengorbanan diri kita untuk menjadi hamba yang taat kepada Sang Pencipta.
Justeru HALUANSISWA Nasional mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha dan selamat melaksanakan ibadah haji dan ibadah korban kepada semua Muslimin dan Muslimat. Semoga Allah Taala menerima segala amal ibadah yang kita lakukan sepanjang tahun ini .
USTAZ MUHAMMAD MUZAKKIR B CHE ANI
Setiausaha HALUANSISWA Pusat
Mars HALUAN
Create a playlist at MixPod.com
0 Responses to “Salam Eid Al-Adha : Tingkatkan Pengorbanan Kepada Allah”
Post a Comment