H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti
Sunday, December 12, 2010
Retreat HALUANSiswa 2011 | Merencana Halatuju HALUANSiswa
BANGI, 5 Disember - HALUANSiswa Nasional telah menganjurkan Retreat HALUANSiswa 2011 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Disember 2010 lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini telah dihadiri oleh 50 peserta yang terdiri daripada kepimpinan HALUANSiswa dari seluruh wilayah semenanjung Malaysia. Objektif program ini adalah untuk menilai perjalanan aktiviti yang telah dilaksanakan pada tahun 2010, sekaligus merancang target dan halatuju HALUANSiswa bagi tahun 2011.
Retreat dimulakan dengan ucaptama daripada Prof. Madya Dr. Nik Mutasim Nik Ab. Rahman selaku Penasihat kepada HALUANSiswa dan diteruskan dengan taklimat program dan penempatan oleh setiausaha HALUANSiswa, Sdr. Muzakkir Che Ani. Dalam ucaptamanya, Prof Madya Dr Nik Mu’tasim menjelaskan kepada peserta realiti semasa yang melanda kebanyakan kampus di dunia dan peluang-peluang yang perlu direbut oleh semua ahli HALUANSiswa untuk mewujudkan masyarakat kampus yang islamik dan harmoni. Pada sebelah malamnya pula, peserta diminta membincang serta membentangkan permasalahan yang wujud di kampus masing-masing. Masalah berkisar mengenai 5 permasalahan yang telah disenaraikan oleh Majlis Tertinggi, iaitu, aspek unit kecil HALUANSiswa, dakwah fardhiyah, akhlak, ilmu dan ibadah.
| | |
Hari berikutnya program dimulakan dengan pengisian yang disampaikan oleh Ust Ali Irfan Jamalludin, kakitangan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) yang juga antara pengasas awal HALUANSiswa. Dalam slotnya yang bertajuk Dakwah & Pemuda, Ustaz Ali berjaya memangkitkan semangat jiwa pemuda para peserta agar lebih gigih berusaha menjalankan amal-amal kebajikan di kampus. Program ini diteruskan dengan bengkel pemantauan masalah organisasi dan unit HALUANSiswa di IPT masing-masing. Pada sebelah malamnya pula, diadakan Majlis Penyerahan Jawatan Presiden SiswaHALUAN kepada presiden yang baru, Sdr Muhammad Siddiqi Jamalludin. Disamping itu, mereka turut merasmikan Vest HALUANSiswa yang baru.
Pada hari terakhir, Presiden SiswaHALUAN yang baru memulakan tugasnya dengan mengelola modul berikutnya iaitu pengenalpastian resolusi efektif. Para peserta diminta menyenaraikan 3 resolusi pokok yang boleh diambil untuk mengatasi masalah-masalah yang telah dibincangkan pada hari sebelumnya mengikut setiap kumpulan wilayah. Resolusi yang diberi nama RESOLUSI HIJRAH 1432 itu telah dibacakan oleh Presiden SiswaHALUAN pada penghujung program.
| | |
Majlis penutup pula telah disampaikan oleh Sdr. Razali Maarof dengan tajuknya Membangun Proses Pendidikan Yang Bersepadu. Program di UKM ini diakhiri dengan pengumuman penyandang baru untuk jawatan HALUANSiswa Nasional. Retreat HALUANSiswa ini membawa seribu pengertian berharga untuk kepimpinan HALUANSiswa IPT seluruh Malaysia.
Semoga dengan program ini, kepimpinan HALUANSiswa disemua peringkat akan terus komited dalam mewarnai dakwah dan tarbiyah di kampus.
Writen By: S.Islam
RESOLUSI HIJRAH 1432
- 1.0 MUQADDIMAH:
- 2.0 ASAS TINDAKAN:
- 3.0 RESOLUSI-RESOLUSI:
- 3.1 Memperkasakan ‘core business’ dalam gerakan HALUANSiswa
- 3.1.1 Aspek individu, organisasi dan sistem. Pemantauan dan penilaian secara objektif dan subjektif tahapan ibadah, akhlak dan dakwah setiap ahli-ahli HALUANSiswa.
3.1.2 Aspek perlaksanaan semua modul HALUANSiswa akan dipantau secara menyeluruh dari segi pelaksanaan dan keberkesanan.
- 3.2 Memperkasa HALUANSiswa kearah organisasi yang berteraskan dakwah dan tarbiyah
- 3.2.1 Penyusunan peringkat nasional, zon dan IPT.
3.2.2 Mewujudkan pangkalan data yang efisien untuk mengumpulkan butiran keahlian HALUANSiswa di semua peringkat.
3.2.3 Melahirkan seramai mungkin barisan pelapis kepimpinan bagi membantu perjalanan HALUAN Pusat pada masa hadapan.
3.2.4 Mewujudkan budaya kerja profesional dalam pelaksanaan projek HALUANSiswa di semua peringkat. - 4.0 PENUTUP
Retreat HALUANSiswa yang berlangsung pada 5 -7 Disember 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dengan kehadiran seramai 60 anggota kepimpinan HALUANSiswa dari seluruh Semenanjung Malaysia. Hasil perbincangan dan pembentangan serius mengenai cabaran dan hala tuju HALUANSiswa, kami mencapai kata sepakat dengan keiltizaman penuh untuk mengemukakan asas tindakan serta resolusi-resolusi seperti berikut:
Bahawa kami anggota kepimpinan HALUANSiswa meyakini bahawa masa hadapan sesuatu umat itu terletak di atas bahu para pemudanya sepertimana yang tercatat dalam perjalanan sejarah Islam. Menyedari hal yang demikian, HALUANSiswa Nasional merasakan betapa perlunya mahasiswa dipersiapkan dengan Sistem Pendidikan Islam yang bersepadu dalam rangka untuk bersama-sama memikul beban Dakwah Islamiyah.
Perlu kita sedari bahawa proses Tarbiyah dan Dakwah ini perlulah dirancang dengan teliti dan rapi kerana kebenaran (al-Haq) yang tidak tersusun dan terancang akan di tewaskan oleh kekufuran (al Batil) yang terancang.
Kami akan memberikan sepenuh komitmen dan tenaga kami untuk menjayakan resolusi ini bagi tahun 2011. Kami berdoa kepada ALLAH agar mengurniakan kami Hidayah dan InayahNya, mengikat hati kami para pendokong Deen-Nya dan menolong perjuangan ini dimana pun kami berada. Ameen Ya Rabbal ‘alamin.
Resolusi HIJRAH 1432 ini dibacakan oleh
Muhammad Siddiqi Bin Jamalludin Presiden,
SiswaHALUAN Nasional
Di: Retreat HALUANSiswa 2011
Pada: 7 Disember 2010, 1 Muharram 1432H
Saturday, March 20, 2010
Baitul Muslim ; Satu Perkongsian

Seminar Baitul Muslim Kebangsaan 2010
Kolej Zaaba, UKM (20 Mac 2010)
Oleh : Tuan Haji Rosdi Bin Baharom ( Abu Munzir)
Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke atas kepada Allah SWT di atas nikmat kehidupan yang diberikan oleh Allah SWT. Pernah suatu masa dahulu ana merasai satu perasaan kebimbangan yang bersangatan untuk tidur di waktu malam. Bimbang sekiranya jika tidur itu, keesokannya ana tidak akan bangun lagi. Takut sekiranya, ana tidak akan bangun buat selama-lama daripada tidur yang sementara.
Sebelum mulakan majlis ini, ana ingin melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana mempertemukan dengan generasi harapan Islam. Antumlah generasi yang akan mewarisi kegemilangan Islam. Mudahan majlis pada pagi ini akan merahmati kita semua dalam amal islami ini.
Kenapa kita bincangkan tajuk ini secara serius?
Pembentukan Baitul Muslim, adalah benteng untuk mendapat keredhaan Allah SWT.Istilah baitul muslim atau baitud dakwah itu tidak menjadi masalah. Mungkin juga kita boleh namakan juga baitud jihad. Ia merupakan kubu’ bagi menghadapi suasana pada masa kini. Ia merupakan peringkat kedua dalam rukun amal selepas pembentukan individu muslim. Ana mulakan penyampaian pada pagi ini dengan satu pesan sebagai MINDSETTING kita semua.
Satu pesanan
Kemampuan sesuatu umat atau bangsa hanya mampu memelihara kelangsungan bangsa bergantung kepada sejauh mana sesuatu bangsa itu mampu membangunkan satu generasi yang mampu melaksanakan tuntutan agama. Justeru, penyediaan generasi mendatang perlu dibangunkan dengan penuh kerapian dan kesungguhan. Pembinaan ini mestilah berdasarkan pembinaan aqidah yang mantap dan dinamik.
Pertarungan yang kita tidak sanggup ditewaskan
Musuh Islam memahami hakikat pentingnya pembentukan generasi mendatang dan musuh Islam juga memahami pembentukan ini berasakan aqidah salimah. Mereka tahu, kita memerlukan generasi pewaris dalam meneruskan perjuangan mempertahankan aqidah ini. Musuh Islam juga merancang dan membelanjakan apa juga untuk memisahkan generasi mendatang dari aqidah ini. Kita tidak boleh tewas dalam proses pembentukan generasi ini.
Maka pertarungan yang hebat ini adalah antara kita yang bersungguh-sungguh menyediakan generasi baru, yang dibekali dengan sebanyak mungkin sifat-sifat yang kuat, dengan musuh yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melenyapkan aqidah ini dari generasi mendatang ini.
Krisis pembentukan generasi pewaris
Apabila berlakunya kecacatan dalam proses pembentukan generasi pewaris maka kesannya akan memberi sesuatu impak yang besar kepada generasi pewaris ummah Islam. Satu hakikat yang sukar ditolak dalam pertembungan kita dengan Jahiliyah ialah ia merupakan pertembungan sosial dalam kehidupan seharian. Inilah gelanggang bertembungan yang sangat dahsyat yang berlaku pada era ini. Gelanggang pertembungan antara Islam dan Jahiliyah.
Satu wasilah asasi untuk masuk ke gelanggang ini ialah dengan berbentengkan sebuah keluarga muslim dengan anggapan bahawa ia mewakili sebuah masyarakat yang sebenarnya. Bagi seorang dai’ , wasilah ini bertujuan melahirkan satu kelompok dakwah. Keluarga adalah tempat pengasuhan dan tiang seri yang mendokong masyarakat Islam. Tempat pemeliharaan anak-anak yang sedang tumbuh membesar, yang mampu mengembangkan fizikal, daya pertimbangan dan jiwa mereka.
Namun, realitinya anak-anak kita dibesarkan oleh tangan-tangan orang lain. Maka seharusnya kita sedar, proses pembentukan keluarga muslim adalah tanggungjawab kita. Ana teringat satu kata-kata yang disampaikan oleh seorang pendakwah United Kingdom (UK), Hisham Al-Awadi.
Kata Hisham Al-Awadi :
“ We get married to increase our iman. Please do not sin!!.”
Kita berumah tangga untuk membina/ meningkatkan iman. Jadi, tolonglah jangan lakukan DOSA. Dosa ini adalah satu bebanan dan akan mencacatkan pembinaan rumah tangga yang kita bina.Oleh itu,jangan bina rumah tangga atas dosa. Syaitan akan bertungkus lumus untuk gagalkan kita dan galakan kita berbuat dosa dalam membina baitul dakwah.
Rukun AMAL menurut Al-Banna
“ Yang dikatakan dengan AMAL adalah buah ILMU, PEMAHAMAN dan IKHLAS.” Sedangkan urutan amal yang dituntut dari seorang anggota jamaah yang munazim serta memiliki jiddiyah adalah :
Pertama, pentingnya pembentukan individu yang kuat.
Kedua, ialah pembentukan keluarga muslim yang terancang. Dan pada hari ini, fokus kita ialah pembentukan dan pembinaan baitul muslim.
Tegakan Baitud Dakwah
Kewajipan kita adalah perbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain ke jalan Allah merupakan kewajipan asasi. Di samping dua kewajipan tersebut terdapat kewajipan lain yang tidak kurang pentingnya iaitu MENEGAKKAN BAITUN DAKWAH.
Kita sangat memerlukan Baitud Dakwah teladan sebagai tiang yang kuat dalam pembangunan masyarakat Islam. Ia adalah tapak subur bagi tunas-tunas baru. Ia bertanggungjawab mencetek generasi anak yang akan menjadi pewaris masa depan untuk survival ummah Islam.
Pemilihan calon pasangan
Maka, untuk membangunkan yang dilandasi TAQWA, seorang muslim wajib memilih pasangan yang baik keislamannya, dan memahami tugas risalah hidupnya. Kita perlu fahami bahawa suami, Isteri dan anak-anak sebagai sumber pahala.
Memilih pasangan yang akan menjadi SAHABAT DAKWAH yang baik, yang selalu mengingatkannya bila lupa, memberi dorongan berdakwah dan menghalanginya. Perjalanan ini jauh, selalu ditusuk duri, tergelincir dalam lumpuh, dan banyak ranjaunya. Maka, kita benar-benar berhajatkan kepada pasangan yang soleh, solehah dan musleh. Mustafa Masyhur ada berpesan :
“ Seorang puteri Muslim sejati tidak patut menerima seorang pemuda yang akan menjadi pasangan hidupnya kecuali ia adalah seorang muslim sejati yang mendukung dakwah islamiyah.”
Individu yang ingin kita pilih adalah individu yang mana ruh dakwah menyala dalam hatinya. Jiwa nya besar dengan cita-cita dakwah.Dan calon impian kita adalah calon yang Allah SWT melihatnya dengan penuh rahmat.
Rumah tangga yang ingin dibangunkan itu sepatutnya menjadi pusat pancaran cahaya. Pusat dakwah islamiyah. Pada dirinya adalah TARBIYAH. Ciri-ciri keimanan yang Allah kehendaki dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT. Niat utama baitul muslim ialah meningkatkan iman kepada Allah SWT. Ia akan menjadi teman dakwah dan jihad.
Berusahalah membangunkan baitu dakwah agar terwujud rumah tangga itu sebagai projector yang memancarkan cahaya dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. Inilah adalah salah satu jalan dan dasar yang penting dalam tarbiyah Islamiyah.
Penutup
Ayuh wahai pemuda pemudi yang menjadi harapan ummah. Di tangan antum, tersimpannya suatu harapan dan cita-cita kami generasi lama. Ayuh kita teruskan fasa pembinaan amal ini ke peringkat amal seterusnya iaitu rukun pembentukan baitul muslim dengan dorongan keimanan dan berpaksikan aqidah Islamiyah.
Sunday, March 14, 2010
Hidup sebagai binatang ternakan

Situasi di mana muslim hidup kini adalah situasi yang mengikis iman dan menumpulkan keiltizaman kita kepada Allah SWT, janji-janji Allah dan ancaman Allah. Seolah-olah Allah sangat jauh dari kita hingga kewujudan Allah tidak dirasai lagi malah tidak diperlukan lagi.
Sistem hidup ini hanya menyediakan kita untuk hidup sebagai ‘binatang ternak’ yang hanya hidup untuk makan, minum dan berkelamin.
Lihat sahajalah iklan-iklan yang dipaparkan dalam muka televisyen kita atau majalah-majalah hiburan. Semuanya mengajak kita menikmati pelbagai makanan, pelbagai minuman dan mengajak kita untuk mencari pasangan dan melalui pelbagai tahap zina: zina mata, zina telinga, zina hati, zina anggota kita, sehingga ‘menyempurnakan’ tahapan zina.
Alangkah mulianya manusia apabila dia diciptakan untuk berubudiyyah hanyasanya kepada Allah dan untuk mengimarah bumi sebagai khalifah tetapi dialah yang telah ‘menjatuhkan’ diri ke tahap yang serendah-rendahnya. Kita ‘berkubang’ yang sangat rendah dan hina, iaitu di dalam kehidupan makan, minum dan berkelamin sahaja.
Sistem pendidikan yang dilalui kini menyediakan kita untuk menjadi manusia yang hanya mampu hidup di tahap ini. Walaupun sebahagian dari kita dikurniakan oleh Allah SWT hajat yang lebih tinggi untuk menapaki tahap kehidupan yang lebih tinggi, tetapi peratusannya masih sangat kecil.
Bagi kita yang dikurniakan sedikit kesedaran dan kefahaman Islam yang membolehkan kita mampu melakukan sedikit amal Islami, tetapi oleh kerana sistem yang sedang berjalan hanya menyediakan kita untuk hidup di tahap ‘nafs kelembuan atau nafs binatang ternak’ maka diri kita terperangkap antara memburu kenikmatan ‘kelembuan’ atau hidup mulia mengejar syurga Allah.
Justeru, marilah kita memuhasabah diri di tahap mana kita berada pada ketika ini dan marilah kita mengadap Allah SWT dengan hati yang sedih dan mengadu kepada-Nya agar ditingkatkan ‘himmah’ kita keluar dari nafs kelembuan ini dan meningkat ke tahap benar-benar menjadi hamba-Nya yang sedar, faham dan taat kepada segala ditaklifkan ke atas diri kita.
Monday, March 8, 2010
Kita Perlukan Suasana Luar Biasa
Suasana kem atau latihan dalam bentuk rekreasi merupakan salah satu wasilah atau jalan untuk mendidik diri kita. Program yang berbentuk kem lebih bersifat menguji ketahanan fizikal, berbentuk lasak dan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi untuk menghadapi segala bentuk aktiviti yang disusun dan dirancang.
“ Tidur tidak cukup.”
“Tempat yang sempit dan terhad.”
“Nyamuk dalam hutan yang menyakitkan.”
“Menguji kesabaran.”
“Perlu mendaki bukit bukau yang curam.”
“Kesuntukan masa menjalankan tugasan.”
“Perbincangan dan pembentang.”
“Makanan yang sedikit dan kurang menyelerakan.”
“Pengorbanan masa, tenaga dan masa tidur.”
Ini gambar ringkas tentang kem atau aktiviti berbentuk rekreasi.
Ustaz Ali Irfan Jamaludin (Ketua HALUANSiswa Kelantan)
Monday, February 15, 2010
Hati Yang Hidup

Alhamdulillah saya masih diberikan kesempatan untuk mencoretkan coretan yang saya sedari masih terlalu banyak kecatatan serta kelemahan dalam lapangan penulisan ini, tetapi ini tidak akan menjadi penghalang untuk menegakkan al-haq ( kebenaran ).
Pembaca yang budiman,
Pada tulisan saya yang lalu kita telah membincangkan mengenai hati, hati manusia mempunyai tiga keadaan dan kita yang perlu memilih yang manakah keadaan hati kita idamkan.
HATI YANG HIDUP
Pemilik hati yang hidup adalah mereka yang sentiasa perihatin dan membuat medical check-up terhadap hati mereka. Pemilik hati-hati ini merasai kelazatan beribadah kepada Rabb sekalian alam pada masa yang sama ada hati-hati yang terasa berat untuk melaksanakan ibadah kepadanya. Ciri-ciri hati yang sihat adala mereka yang ringan untuk melakukan ibadah, seperti melakukan qiamullail di saat manusia lain asyik melayani mimpi dan ringan untuk melakukan kebaikan. Ciri-ciri hati seperti ini adalah mereka yang ringan melakukan kebaikan kerana Allah. Ciri yang berikutnya ialah, hati-hati ini mudah untuk meninggalkan larangan Allah dan langsung tidak terlintas untuk melakukan perkara tersebut. Sebagai contoh, para sahabat generasi alquran yang unik, ketika turunnya wahyu tentang wajib menutup aurat,
Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya* ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (surah Al-ahzab, ayat 59).
Jilbab adalah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepala dan dada. Para sahabat, tanpa banyak soal hanya mendengar dan taat, para sahabat terus berlari pulang ke rumah bagi mendapatkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka, mereka ambil apa sahaja jenis kain bagi menutup aurat-aurat yang selama ini tidak perlu ditutup. Dalam riwayat yang lain mereka mengambil kain-kain termasuk kain langsir dan dibalut di atas kepala mereka. Pada waktu itu pemandangan di kota Makkah hitam seperti ribuan burung gagak, padahal itu adalah wanita-wanita solehah yang bakal menghuni syurga Allah.tidak ada seorangpun diantara mereka menyoal mengapa perlu menutup auarat. Ini adalah bukti hati yang hidup, mereka senang melakukan perintah-perintah Allah. Iman mereka yang kuat mengawal hawa nafsu mereka. Tetapi kita pada hari ini songsang, iaitu nafsu mengawa iman kita.
Mari kita lihat contoh kedua, sememangnya kita tahu masyarakat arab amat sinonim dengan arak, seolah-olah minuman arak dengan mereka tidak boleh dipisahkan seperti kuku dengan kulit. Setiap kali ada majlis keraian, majlis tersebut tidak sepumpurna jika tiadanya arak. Masyarakat arab ini juga menyifatkan bahawa dengan meminum arak itu adalah bukti seorang lelaki sejati.lihatlah bagaimana kuatnya pengaruh arak dalam kehidupan mereka. Tetapi apabila wahyu tentang pengharaman arak turun,
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya setan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).(surah Al-maidah ayat 90-91). Dalam satu riwayat menyatakan apabila turun sahaja ayat ini, seluruh tanah di bumi makkah itu menjadi basah dengan arak. Selesai sahaja Rasulullah membacakan ayat ini, para sahabat berlari pulang ke kediaman masing-masing dan memecahakan tempayan-tempayan yang penuh dengan arak. Ada sahabat yang lain sedang asyik meminum arak apabila sampai ayat ini ke ear drum mereka , dengan pantas membuang arak yang ada didalam mulut dan perut dengan memuntahkan arak yang ada. Lihatlah wahai saudaraku sekalian, betapa kuatnya iman sahabat Rasulullah. Mana mungkin seorang yang sedang asyik minum arak sanggup memuntahkan kembali arak yang telah diminum dan dipecahkan tempayan arak yang ada dirumahnya, tetapi inilah yang sahabat lakukan! Betapa hebatnya mereka, ini merupakan satu bukti yang nyata tentang orang-orang yang memiliki hati yang hidup. Ini juga menjadi satu tamparan bagi diri deenworker dan anda semua. Marilah sama-sama kita intropeksi diri bagaimanakah keadaan hati kita pada hari ini.
Oleh:
Syed Hassan Al HaddadAhli HALUANSiswa Kelantan
Mars HALUAN
Create a playlist at MixPod.com




