H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Showing posts with label Pengerusi HALUANSiswa Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Pengerusi HALUANSiswa Kelantan. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

0

Bersih dan Jernihkan Hati!

  • Tuesday, February 1, 2011
  • aburidhwan

  • Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

    Salam penuh penghormatan dan kemuliaan untuk kalian sidang pembaca yang budiman lagi dikasihi. Semoga Allah SWT merahmati perjalanan kehidupan kita semua.

    Berpagian dengan keimanan

    Syukur Alhamdulillah, ketika bangun dari tidur pagi ini saya benar-benar bertenaga dan begitu bersemangat. Bangun dengan hati yang senang, tenang dan girang. MasyaAllah. Seolah-olah ada suatu aura yang mengalir dalam jiwa dan hati saya. Begitu bermotivasi!

    Saya sentiasa teringat nasihat seorang ulama :

    “ Seorang mukmin yang bangun ketika azan Subuh berkumandang, ia adalah mukmin yang lalai dan lemah. Mukmin ia harus bangun dan persiapkan diri sebelum azan Subuh.”

    Apa maknanya?

    Inilah standard kehidupan mukmin. Ia berpagi-pagian dengan membersihkan diri dan hati dihadapan Allah SWT. MasyaAllah, apabila saya meneliti semula Sirah Rasulullah SAW – sememangnya- baginda Rasulullah SAW adalah seorang hamba Allah SWT yang sentiasa bangun awal di subuh hari dan memperuntukan waktu itu untuk bermunajat, berdoa dan menyendiri dengan Allah SWT.

    Inilah muqadimmah kepada awal himmah. Untuk sentiasa bersemangat dengan keimanan, jiwa yang bernyala-nyala dengan tekad serta keazamanan yang tinggi – kita harus mulakannya dengan HATI yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.

    Himmah, ia bertapak dihati

    Seorang adik peserta kursus kendalian saya bertanya tentang himmah.

    “ Abang, saya ini tidak punyai keyakinan dan tiada semangat untuk meneruskan kehidupan ini,” Soalnya lemah.

    Saya menatap wajahnya. Kelihatan kelesuan, hilang daya diri dan benar-benar rendah keyakinan dirinya. Namun, terdapat sinar pengharapan yang menggunung di riak wajahnya itu. Saya memandangnya dengan penuh minat. Sambil tersenyum.

    “ Adik, untuk memulakan kehidupan yang bersemangat dan penuh keyakinan – adik perlu tahu kata kuncinya,” Jawab saya mudah.

    “ Apa dia, abang?,” Tanya dengan wajah yang berminat. Alhamdulillah.

    “ Bersih dan jernihkan hati!,” Kata saya sambil menyentuh dada saya.

    Kelihatan dahinya berkerut. Apa kaitannya?

    Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, himmah adalah pekerjaan hati. Bermula di sinilah, kita akan mengerakan segala kemahuan, keinginan, kehendak dan cita-cita diri untuk melakukan sesuatu. HATI adalah kekuatan kehidupan. Tanpa hati, kita semua adalah MATI!

    Kita tanyakan sanubari dan hati kita masing-masing? Bagaimanakah keadaan hati kita semua? Bayangkan diminda kita keadaan hati kita ini.

    Sesi refleksi di Kursus JDK Zon Timur

    Ingin saya berkongsi dengan anda, suatu sesi refleksi yang saya lakukan semasa mengendalikan sebuah kursus di ILIM, Besut. Refleksi ini adalah mengenai hati.

    Malam itu, ia adalah malam yang tenang dan damai. Namun, hati saya sedikit terganggu dan tidak tenang. Entah mengapa ia berlaku sebegitu. Sebelum memulakan sesi ini, saya solat sunat 2 rakaat memohon bantuan dan pertolongan Allah SWT agar jiwa saya tenang dan tenteram.

    Alhamdulillah, saya dapat rasakan hembusan ketenangan daripada Allah SWT. Terasa kekuatan untuk mengendalikan kursus ini. Malam itu, saya berdiri dihadapan para peserta. Saya memandang tepat ke wajah dan mata-mata mereka. Saya melihat jauh di sudut pandangan mereka dengan pandangan keimanan dan kasih sayang.

    “ Adik-adik, pada malam ini marilah kita sama-sama melihat salah satu nikmat dan anugerah pemberian Allah SWT kepada kita.” Saya mulakan sesi pada malam itu.

    “ Marilah kita bayangkan keadaan hati kita. Hati yang asalnya bersih dan fitrah dengan putih ini harus disemak dan dinilai,”

    “ Kata Maimum bin mahran – seorang ulama yang soleh- jika kita melakukan suatu dosa maka akan terbentuk satu bintik hitam di hati kita. Jika kita bertaubat, maka akan terhapuslah bintik hitam itu. Namun, jika sebaliknya maka hati kita akan bertambah bintik-bintik hitamnya sehinggalah hati itu benar-benar menghitam. Dan sehingga ia menjadi kaku, keras dan terus mati.”

    Ketika itu, saya melihat dan membayangkan diri saya. Hati saya. Membayangkan dosa saya. Maksiat saya terhadap Allah SWT. Saya tersekat tanpa bicara.

    Saat itu, saya melihat mata adik-adik berkaca-kaca. Ada yang tertunduk hiba melihat hati mereka. Suasana sepi tanpa bicara.

    MasyaAllah, begitu lembut dan tulusnya hati mereka. – Malam itu, kami hiba mengenangkan hati sendiri. Hati yang akan menjadi modal utama untuk dipersembahkan dihadapan Allah SWT. Hati yang akan berbicara dihadapan Allah SWT tentang soal amal dan niat yang terjadi disepanjang sejarah kehidupan di dunia.

    Malam melihat diri dan sanubari

    “ Marilah kita tanya diri dengan jujur, ikhlas dan penuh ketulusan. Ia adalah hati yang kita miliki sementara untuk dijadikan peneman kehidupan. Bayangkan hati inilah yang kita bawa pulang dihadapan Allah SWT kelak. Apakah kita sanggup untuk menghadapinya?,”

    Hati – inilah rahsia kekuatan dan kelemahan manusia. Kerana hati, manusia mampu melakukan perkara-perkara serta pekerjaan yang luar biasa tanpa batas. Dan kerana hati jua, manusia jatuh ke lembah kehinaan dan kenestapaan.

    Perkongsian saya dalam post kali ini, agar kita memahami akar kepada kebangkitan semangat dan ruh himmah dalam diri kita. Ia harus kembali kepada basic dan asas. Ia adalah soal hati. Hati adalah tempat bertapaknya keimanan yang menjadi tunjang kepada ruh himmah.

    Firman Allah SWT yang bermaksud :

    “ Pada hari akhirat kelak, anak-anak tidak dapat memberikan apa-apa pertolongan, kecuali mereka yang datang dengan hati yang suci bersih.” [1]

    Penutup – Komentar seorang hamba

    1)- Teringat pesanan seorang Murabbi saya : “ Antara amalan yang paling baik untuk membersihkan diri ialah bangun awal dipagi hari melakukan solat sunat Tahajud di saat insan lain diulit mimpi indah.”

    2)- Hati yang kita hajati ialah hati yang putih, bersih, jernih, sensitif, lembut dan peka. Bermula dari hati sebeginilah, akan terbangunnya keimanan yang akan memacu kebangkitan ruh himmah.

    3)- Motivasi tarbawi seorang mukmin ialah Al-Quran, Zikrullah, Solat-solat sunnat dan amalan-amalan sunnah Rasulullah SAW. Jadi, usah tunggu lagi – ayuh kita bangkitkan rasa untuk memperhambakan diri hanyasanya kepada Allah SWT.

    [1] Surah as-Syu’ara 26 : 88-89

    Oleh: Ustaz Ali Irfan Jamaluddin (Pengerusi HALUANSiswa Kelantan)

    Read more...

    Thursday, October 14, 2010

    0

    Reaksi terhadap Konsert Adam Lambert

  • Thursday, October 14, 2010
  • aburidhwan
  • Saya tidak pernah mengenali siapa kah sebenarnya artis barat ini.

    Dan, baru terdengar namanya apabila terdapat beberapa bantahan terhadap konsertnya oleh beberapa pihak sebelum ini. Dengar kata, akan berlangsung malam ini,(14 Oktober) di Stadium Bukit Jalil.

    Adam Lambert, disebalik nama itu terdapat bayangan-bayangan kelakuan dan moral yang negatif yang menjadi amalan kehidupannya. Dan sudah pasti, kehadirannya akan memberi impak dan kesan negatif secara langsung kepada anak-anak remaja di tanah air yang tercinta ini.

    Sedikit maklumat berkaitan artis ini. Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu, For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.

    Sokongan

    Saya menyokong tindakan dan desakan untuk membatalkan, mengharamkan dan menghapuskan segala bentuk konsert atau apa jua hiburan yang tentunya akan melalaikan generasi muda di Malaysia termasuklah konsert ikon barat ini. Kepekaan, sensitiviti dan sikap respon terhadap perkara mungkar sebegini harus dilaksanakan sesegara mungkin dan pihak berwajib harus sedar bahawa ia harus dinilai, dan dibatalkan tanpa berfikir panjang.

    Dalam sebuah hadis yang seringkali kita dengar, dan baca :

    عن أبي سعيد الخدري

    سمعت رسول الله یقول

    من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم یستطع فبلسانه، فإن لم یستطع فبقلبه. وذلك أضعف الإیمان

    رواه مسلم

    Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.


    Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengantangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranyadia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.
    “

    Di mana kita?

    Suatu persoalan yang harus dijawab.
    Ustaz Ali Irfan Jamaluddin (Ketua HALUANSiswa Kelantan)
    Read more...

    Wednesday, August 18, 2010

    0

    Ramadhan - Disebalik yang tersirat

  • Wednesday, August 18, 2010
  • BroHamzah
  • Ramadhan ia harus dihidupkan dengan keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT melalui amalan soleh


    Ramadhan – Disebalik yang tersirat

    Alhamdulillah, kita diberi peluang untuk terus menghirup udara Ramadhan yang segar dan menghidupkan ini. Semoga sahabat-sahabat HSiswa, para pembaca dan muslimin dan muslimat di seluruh dunia terus mengaktifkan diri masing-masing dengan memperbanyakan amalan ibadah di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. InsyaAllah

    Menyebut tentang Ramadhan, sudah tentu terbayang difikiran kita mengenai pelbagai kenikmatan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalamnya.

    Sedikit perkongsian yang ingin saya kongsikan berkaitan Ramadhan dalam ruang yang ada ini.InsyaAllah

    Para ulamak, ada yang memberikan satu kesimpulan yang mudah berdasarkan 5 huruf arab daripada perkataan Ramadhan. Ra – Mim – Dhod – Alif – Nun

    Tersirat daripada perkataan huruf RA-MA-D-A-N

    Ra – adalah Rahmah

    Bulan Ramadhan adalah bulan rahmah. Didalamnya dilimpahi dengan pelbagai kerahmatan dan kenikmatan yang tidak terhitung untuk hamba-hamba Allah SWT dan seluruh manusia.

    Mim – adalah Maghfirah ( Keampunan)

    Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan. Allah SWT membuka ruang dan pintu keampunan seluas-luasnya bagi hambaNya yang memohon keampunan serta menginsafi diri di setiap detik di dalam bulan Ramadhan.

    Dari Abu Hurairah telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

    “ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan berdasarkan iman dan penuh kesedaran mengharapkan Allah maka diampuni dosa-dosa yang terdahulu sebagaimana hari dilahirkan oleh ibunya.”

    ( HR Ibnu Khuzaimah)

    Dhod – adalah Dhoman ( Jaminan)

    Bulan Ramadhan adalah bulan yang diberikan jaminan oleh Allah SWT sebagai bulan yang akan memberikan seribu kebaikan dan ganjaran Syurga bagi sesiapa yang menggunakan kesempatan ini dengan sebaiknya. Jaminan ini adalah jaminan yang tiada tandingannya berbanding bulan-bulan yang lain.

    Alif – adalah Amana

    Bulan Ramadhan adalah bulan keamanan, ketenangan dan kebahagiaan. Hati dan jiwa kita benar-benar tenang dengan kehadiran dan perasaan nyaman serta tenteram selalu menyelubungi sanubari kita sepanjang berada di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Inilah kehebatan dan keunikan Ramadhan

    Nun – adalah Nur

    Bulan Ramadhan adalah bulan yang sentiasa dilimpahi dengan cahaya hidayah dan keimanan daripada Allah SWT. Bagi yang mencintai dan merindui kehadiran bulan yang penuh kerahmatan ini, akan menyedarikan bahawa sinar Ramadhan adalah sinar yang terang benerang memberi pengharapan dan kekuatan kepada jiwa untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi melahirkan seorang mukmin muslim yang bertaqwa dalam erti kata yang sebenarnya.

    Firman Allah SWT yang bermaksud :

    “ Pada bulan Ramadhan diturunkan kitab suci Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan garis pemisah antara hak dan yang batil.”

    ( Al- Baqarah (2) : 185)

    Ramadhan Al-Mubarak

    MasyaAllah, itulah kehebatan yang terdapat pada Ramadhan. Ia adalah bulan yang dipenuhi dengan pelbagai tawaran, keistimewaan, ganjaran, kenikmatan, kebaikan, kebenaran, keampunan, kerahmatan, kesolehahan, kebersihan, kejernihan, dan penyucian jiwa untuk bergerak melangkah menjadi seorang manusia yang beriman serta bertaqwa kepada Allah SWT.

    Jika bulan Ramadhan datang, Rasulullah SAW biasanya menyambut dengan ucapan :

    “ Selamat Datang Wahai orang yang menyucikan.”

    Para sahabat bertanya :

    “ Siapakah orang yang menyucikan itu wahai Rasulullah ?”

    Baginda menjawab :

    “ Orang yang menyucikan itu ialah bulan Ramadhan. Ia menyucikan kita daripada segala dosa dan maksiat!.”

    Melihat diri, dan usaha kita setakat ini

    Hari ini sudah memasuki 7 Ramadhan.

    Bagaimana dengan segala usaha amalan soleh kita.

    Al-Quran bagaimana? Baca atau terlupa

    Solat Sunat rawatib yang sangat digalakan

    Solat sunat Terawih yang sangat-sangat dituntut

    Zikir kita dalam setiap detik yang terluang

    Sedeqah kita berupa wang dan senyuman serta segala bentuk bantuan kebaikan

    Doa kita, macamana? Diperbanyakan atau masih ditakuk lama

    Perbanyakan amalan kebaikan

    Dan kurangkan amalan yang sia-sia

    Allah SWT masih memberikan kesempatan yang sangat berharga, agar kita terus mengunakan kesempatan ini dengan sebaiknya ( semaksimanya)

    InsyaAllah, ayuh terus maju!

    Oleh : Saudara ‘Ali ‘Irfan Bin Jamalludin

    Ketua HALUANSiswa Kelantan

    Sumber
    Read more...

    Saturday, June 26, 2010

    0

    Bercinta dengan Dakwah

  • Saturday, June 26, 2010
  • BroHamzah



  • Bercinta dengan Dakwah
    Oleh : BroHamzah
    http://brohamzah.blogspot.com
    brohamzh@yahoo.com

    Cinta adalah satu perasaan yang sangat sukar untuk diterjemahkan hakikatnya. Namun ia adalah suatu perasaan yang unik dan ia mampu menjadi seseorang itu daripada insan biasa kepada luar biasa.

    Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan, dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu. Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita manusia yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang juga, cinta ini boleh membinasakan dan merosakan malah boleh menjadikan seseorang itu manusia yang sebaliknya.

    Bicara perkongsian pada saat ini bukannya cinta biasa, tetapi apa yang ingin saya nyatakan ialah cinta terhadap jalan dakwah iaitu jalan menyeru kepada kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya bukannya sebarangan cinta malah terikatan jiwa dan ruh terhadap cinta ini sangat istimewa dan lain daripada lain.

    Ada 2 (dua) pilihan ketika bertemu cinta, sama ada jatuh cinta atau membangunkan cinta. Jika saya, saya akan memilih yang kedua. Agar cinta saya nanti menjadi istana, tinggi mengapai syurga. Namun, jika cinta terhadap sesuatu yang istimewa maka saya ingin jatuh cinta dan juga membangunkan cinta terhadapnya sedalam-dalamnya. Cinta terhadap dakwah mulai berputik dengan jatuh cinta kepadanya dan disemarakan cinta ini agar terus mekar selamanya.

    Bercinta dengan Dakwah

    Jika dakwah adalah nafas-nafas yang terhembus setiap saat, maka jagalah agar ia tetap terhirup dan kita tetap hidup kerananya.

    Jika dakwah dan tarbiyah adalah pedang-pedang yang siap dihunuskan, maka jadilah dalang-dalang yang akan memainkannya di medan laga.

    Jika dakwah adalah jalan yang panjang, maka jangan berhenti sebelum kita temukan penghujungnya yang terang-benderang.
    Jika dakwah adalah bunga, maka serbukanlah rekahnya agar ia terus menebarkan wangian ke seluruh penjuru dunia.
    Jika dakwah itu adalah lambang kecintaan yang mendalam, maka benihkan dan semaikanlah perasaan itu agar ia menjadi sesuatu yang sentiasa dirindui dan disayangi sehingga ke akhirnya

    Lambang kecintaan

    Kecintaan kepada dakwah akan terus subur dan hidup apabila jiwa dan hati kita sentiasa dihubungkan kepada Allah SWT dan dekat denganNya. Inilah rahsia untuk kesentiasaan untuk menghirup udara dakwah sepanjang hayat. Ia terletak pada kesolehan hati dan kesempurnaan jiwa yang bersih dan jernih.

    Kecintaan kepada dakwah didasari dengan dasar yang sangat nyata, benar dan sahih. Dasar kecintaan ini adalah kecintaan yang mutlak kepada Allah SWT tanpa ragu-ragu dan syak. Ia terus berkembang subur dengan perasaan takut dan kecintaan yang sepenuhnya kepada Allah SWT.

    Dan antara lambang kecintaan kepada dakwah ialah kesanggupan dan sifat mujahadah yang tinggi melawan nafsu nafsu dan memerangi gejala dosa dan mungkar secara konsisten. Ia berlaku secara penuh sedar, faham dan yakin.

    Seorang Salaful Soleh. Maimun Bin Mahran pernah berpesan :

    “ Apabila seseorang hamba Allah SWT melakukan dosa maka akan wujudlah di dalam hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa itu dan bertaubat bersinarlah semula hatinya. Apabila dia kembali melakukan dosa akan tumbuhlah semula titik hitam di hati itu sehingga hatinya berkarat.”

    Ungkapan Fudhail Bin ‘Iyadh

    “ Bila engkau sulit untuk bangun di malam hari dan sulit berpuasa sunnah di siang harinya, ketahuilah engkau tengah terbelenggu oleh dosa-dosamu.”

    Pesan seorang Ulama ;

    “ Barang siapa yang ingin jiwanya bersih, maka bersihkanlah amal-amalnya. Barangsiapa yang membersihkan jiwanya, maka ia pasti dibersihkan, barangsiapa yang mengotori jiwa, maka ia akan dicemari.”

    Tuan Haji Noorazman Shamsudin pernah menyebut dalam satu penyampaiannya ketika saya di IPT berkaitan Tarbiyah :

    “ Tarbiyah bukan untuk tarbiyah, tetapi tarbiyah adalah (melaksanakan) untuk dakwah dan jihad.”

    Muhammad Iqbal bermadah dengan bait-bait indah yang menyentuh rasa :

    Bersihkanlah dirimu, lahir dan batinmu!
    Hanya dengan kesucian ruh jua amanah dan risalah ini dapat engkau jalankan
    Risalah dan amanah ini adalah suci
    Dia tidak boleh dipegang oleh tangan yang kotor, jiwa yang berlumuran dosa dan noda
    Hanyalah dengan kesucian ruh engkau dapat memikul tugas dan beban yang berat ini.
    Sucikanlah dirimu, lahir dan bathin, baru engkau ajak manusia menempuh jalan kesucian
    Thahirum Muthahir, suci dan mensucikan, itulah peribadi mukmin yang sejati
    Tangan yang berlumuran darah maksiat tidak mungkin akan berbuat khairat kepada dunia dan manusia
    Jiwa yang kotor dan penuh dosa tidak mungkin akan memberikan isi dan erti kepada dunia dan manusia.

    Bekalan Kecintaan Terhadap Dakwah

    Inilah bekalan yang terbaik untuk dibawa pulang di saat hari pertemuan dengan Allah SWT. Tidak bekalan yang lebih baik, daripada bekalan dakwah yang isinya ialah taqwa. Tanpa kecintaan yang sebenarnya terhadap dakwah illallah ini, sudah tentu kita tidak akan mempunyai keghairah untuk sentiasa bersama dengannya. Bergerak dan hidup untuk dakwah yang suci dan menyucikan ini.

    Abdullah Nasih Ulwan dalam sebuah bukunya yang sangat baik untuk ditatapi iaitu Madrasah Para Duat dibawah tajuk “ Rohaniyah Dai” menekan tentang pentingnya bekalan taqwa kepada para dai. Katanya : “ Apabila engkau melangkahi jalan tersebut ( jalan dakwah), engkau akan merasai tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan, membekali sengkau dengan bekalan ketakwaan, menyinari jiwamu dengan sinaran kerohanian dan jadilah engkau insan yang soleh, mukmin yang bertaqwa, muslim yang warak dan lelaki yang ikhlas.”

    Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal yang bermaksud :

    “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
    ( Al-Anfal : 29)

    Ya Allah, bimbingilah aku dan ampunilah segala dosaku
    Ya Allah, matikanlah aku pada jalan ini dengan penuh keredhaan dan rahmat Mu
    Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada ummat ini seluruhnya untuk terus mengembangkan serta mendaulatkan syariatmu.
    Ya Allah, tanamkanlah rasa cinta yang mendalam dalam diriku untuk terus mencintai deen Mu dan dakwah ini.

    Read more...

    Tuesday, May 25, 2010

    0

    Liku-liku Perjuangan

  • Tuesday, May 25, 2010
  • BroHamzah
  • Perjuangan


    Liku-liku Perjuangan
    Oleh : BroHamzah

    “Kita harus miliki jiwa yang besar akhi!,” Itu pesanan akhir sebelum saya berangkat pulang ke Kota Bharu. Pesan daripada seorang sahabat yang sangat saya hormati.

    Kehidupan kita yang tersingkat ini, adalah kehidupan yang harus diwarnai dengan warna-warna perjuangan. Inilah perjuangan yang hidup kerana hidup ini perlu kaya dengan kerja-kerja agung dan pendek angan-angan.

    Setiap daripada kita sebenarnya, sedang mengukir sejarah hidup tanpa disedari. Sebagai seorang yang sedar, dan mempunyai kefahaman untuk mendapat keredhaan Allah SWT, jalan pilihan untuk dilalui ialah jalan yang mempunyai perjuangan yang nyata dan jelas.

    Ia sedang membina biografi kehidupannya sendiri yang hanya akan menjadi saksi di hari perbentangan amalan di hadapan Allah SWT. Sebagai mukmin, amalan yang paling mulia adalah berada dalam saff perjuangan memelihara, memperjuangkan dan membangkit deen Allah SWT dalam kehidupannya.

    Amir Syamsul Ma’ali Qabus mengatakan :

    “
    Membangun biografi yang manis itu harus dengan bersusah payah. Dan melakarkan kenangan yang indah itu harus dengan berusaha keras.”

    Amr bin al-Ash radhiyallahu ‘anhu berkata :

    “ Kalian harus bercita-cita meraih perkara-perkara yang besar, bukannya perkara-perkara yang kecil.”

    Amirul Mukmini Mu’awiyah radhiyallahu’anhu berkata :

    “ Barangsiapa mencari sesuatu yang besar, pemikirannya akan terbayang kepada kebesarannya.”

    Inilah semangat yang membara yang kita impikan. Betapa sesungguhnya, orang yang bersemangat itu terus bergerak menuju titik harapan dengan penuh keyakinan dan rasa percaya kepada dirinya sepenuhnya tanpa ragu-ragu mahupun was-was. Dengan bermodalkan kekuatan keimanan yang kental, keluasan ilmu dan kearifan hikmah ia mengharungi berbagai samudera tentangan gelombangan kesulitan, kepayahan, kesukaran tanpa menyerah kalah dan apatah lagi berputus asa.


    Syuyukh Tarbiyah yang saya hormati, Cikgu Mohd Abduh Zainal Abidin selalu mengobarkan semangat dengan kata-kata yang menyentuh jiwa :

    “ Tiada istilah putus asa dalam jiwa seorang mukmin. Kita harus mencari sebab untuk kuat. Ayuh Syabab, bangkitkan semangat antum dan laksanakan kerja ini !!.”

    Seorang penyair Arab bermadah

    Biar aku menggapai kemuliaan yang belum pernah aku gapai
    Tetapi nilai kemuliaan itu tergantung pada tingkat kesulitan dan kemudahan dalam mendapatkannya


    Jalan ini adalah jalan kesukaran, dihiasi segala bentuk rupa kesulitan namun nilainya sangat berharga kerana dibayar dengan kemuliaan dan kebahagian.

    Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :


    “ Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah Mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.”

    ( Al-Isra’ 17 : 19)


    Inilah jalan kemuliaan yang didambakan. Jalan kemuliaan yang memberikan kebahagiaan. Namun, lalui yang harus ditempuhi adalah laluan yang dipenuhi dengan ranjau yang berduri yang menusuk diri. Laluan jalan ini akan ditaburi kaca-kaca dan duri-duri yang tajam lagi bersegi, dan hanya mereka-mereka yang mempunyai jiwa yang besar, berpandangan jauh, bersemangat jitu dan bermatlamat jelas akan terus menempuhi dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi.

    Sepinya Jalan ini

    Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam berkata dalam bukunya Meraih Cita-cita dengan semangat membara :

    “
    Wahai orang yang bersemangat, jangan takut kepada kesepian, kerana jalan menuju kemuliaan memang sedikit kawan.”


    Sesungguhnya orang yang bersemangat adalah orang yang mencari kemuliaan, bukan mencari kesenangan, atau kekayaan, atau populariti , atau kekuasaan, atau kemegahan dan kebesaran dunia. Jiwanya yang kecil itu dibakar oleh kemahuannya yang besar untuk meraih keredhaan Allah SWT.

    Ia sedar akan kerumitan dan kepayahan jalan ini. Ia sangat-sangat sedar semakin besar cita-citanya semakin sedikit yang membantunya, dan jalan menuju kepada kemuliaan itu memang sedikit kawan.

    Sufyan bin Uyainah mengatakan :


    “ Tempuhlah jalan kebenaran, dan jangalah merasa kesepian oleh sedikitnya orang yang berpihak kepadanya.”

    Sulaiman ad- Darani mengatakan :


    “ Seandainya semua orang ragu berada dalam kebenaran, akulah satu-satunya orang yang tidak.”

    Seorang Salaful Soleh berkata :


    “ Kesendirianmu dalam setia meniti kebenaran, adalah bukti bahawa kamu benar-benar serius menitinya.”

    Sesungguhnya buah kemuliaan iman yang dirasai oleh seorang Mukmin sejati adalah kesedarannya bahawa dalam Islam terdapat kekuatan sejati yang bermula dengan keyakinan kepada jalan kebenaran, memiliki jiwa yang besar lagi luar biasa dan kesanggupan kesepian di tengah-tengah kelompok yang menolak kebenaran. Inilah individu yang luar biasa, jiwanya hebat untuk melaksanakan tuntutan keimanan ke atas dirinya.

    Pesan Ustaz Sayid Qutub rahimahullah yang sangat bermakna ;

    “ Sahabat,
    Teruslah berjalan
    Jangan menoleh ke belakang
    Kerana jalan yang telah kamu lalui telah berlumuran darah
    Jangan menoleh ke sana ke mari
    Tataplah terus mengapai langit.”



    Read more...

    Monday, March 8, 2010

    1

    Kita Perlukan Suasana Luar Biasa

  • Monday, March 8, 2010
  • aburidhwan
  • Setiap kali berada di suasana kem, saya selalu ingatkan diri supaya perbetulkan niat dan sentiasa berusaha untuk tingkatkan diri. Sebenarnya, kem ini adalah salah satu tempat yang telah memproses dan mendidik saya sepanjang berada dalam proses pendidikan ini.


    Suasana kem atau latihan dalam bentuk rekreasi merupakan salah satu wasilah atau jalan untuk mendidik diri kita. Program yang berbentuk kem lebih bersifat menguji ketahanan fizikal, berbentuk lasak dan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi untuk menghadapi segala bentuk aktiviti yang disusun dan dirancang.

    “ Tidur tidak cukup.”
    “Tempat yang sempit dan terhad.”
    “Nyamuk dalam hutan yang menyakitkan.”
    “Menguji kesabaran.”
    “Perlu mendaki bukit bukau yang curam.”
    “Kesuntukan masa menjalankan tugasan.”
    “Perbincangan dan pembentang.”
    “Makanan yang sedikit dan kurang menyelerakan.”
    “Pengorbanan masa, tenaga dan masa tidur.”

    Ini gambar ringkas tentang kem atau aktiviti berbentuk rekreasi.

    Saya baru saja pulang dari kem Rekreasi Pelapis Fasilitator PESAT KTD bertempat di Kem Jeram Pasu, Kelantan. Kem itu bertempat di dalam Hutan dan yang pasti suasananya berbeza daripada suasana kita yang biasa. Tempat yang gelap, sumber elektrik yang terhad dan suasana yang mencabar dengan “gangguan” nyamuk yang sentiasa mencari mangsanya.

    Bagi saya, inilah tempat yang sangat sesuai untuk melahirkan pemimpin. Saya teringat kata-kata seorang Murabbi saya : “ Untuk melahirkan pemimpin yang luar biasa, ia memerlukan suasana yang luar biasa.” Suasana-suasana yang ada sekarang SUKAR untuk membentuk jiwa kepimpinan dan jiwa manusia yang sanggup berkorban.


    Biah dan suasana sangat penting dalam pembinaan dan pembangunan diri. 3 elemen penting dalam menjayakan proses pendidikan ialah Murrabi Mithali, Manhaj yang sahih dan Biah Solehah.

    Murabbi saya pernah menyebut :

    “Manusia memerlukan tekanan untuk membangunkan dirinya. Aku melihat pemuda-pemuda yang lahir dan membesar dalam kesenangan dan kemewahan terkurung mindanya dengan persekitaran yang biasa menyelubunginya. Fikirannya tidak boleh menjangkau lebih jauh dari dunianya yang sedia ada, menjadikan dia dengan dunianya sahaja. Mereka terbelenggu dalam dunia mereka sendiri sedang dunia sebenar terhampar luas.”

    Kita perlukan suasana yang luar biasa, untuk melahirkan individu dan insan yang luar biasa. Dan suasana yang susah, payah, dan diluar kebiasaan kita di kem adalah tempat yang sangat SESUAI dan TEPAT untuk membina generasi kepimpinan di masa hadapan. Latihlah untuk menghadapi kesusahan dan kesukaran, kerana di sinilah jiwa kita dibentuk untuk sentiasa tabah dan peka terhadap orang yang berada di sekeliling kita.

    Semakin kerap anda melibatkan diri dalam suasana sebegini, saya yakin anda akan merasai satu kenikmatan yang sukar digambarkan oleh kata-kata. Jika hajatkan natijah yang LUAR BIASA, kita perlukan usaha yang LUAR BIASA dan melalui suasana-suasana yang LUAR BIASA!

    Ustaz Ali Irfan Jamaludin (Ketua HALUANSiswa Kelantan)

    Read more...

    Sunday, February 28, 2010

    0

    Kejutan dan Ingatan

  • Sunday, February 28, 2010
  • aburidhwan
  • Minggu ini saya dapat satu mesej melalui Laman Sosial Networking yang saya miliki. Ia amat menghairankan dan mengejutkan. Mesej daripada seorang adik peserta kem rasanya, tetapi saya tidak pasti sekolah mana.


    Assalamualaikum

    Abang Ali Meninggal?

    Ramai kawan-kawan saya yang bagi tahu. Kami semua terkejut la. Ini nak Tanya betul atau tidak. Macam tidak percaya. Ada yang kata mereka dengar melalui pengumuman kat Sekolah. Ada kata tidak dengar apa-apa pun.

    Bila direnungkan kembali. Lucu pun ada. Kehairanan pun ada juga. Tetapi, bila direnungkan, saya tetiba teringkat satu hakikat yang sangat besar.Ia sangat mengerunkan. Iaitu sesuatu yang akan kita lalui.


    “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran ayat 185.)

    Saya teringat satu Kata-kata Ustaz Muhammad Najib Abdullah dalam satu penyampaiannya.Katanya simple tetapi dalam pengertiannya :

    “ Yang muda AKAN mati, dan yang tua PASTI mati.”

    Ertinya apa?

    Kita semua akan menemui Allah SWT. Namun bagaimana persiapan kita?

    As Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan :

    “ Semua manusia akan menemui kematian, dan mereka yang berjiwa besar adalah mereka yang mengolah seni kematiannya.”

    Benarlah kata para Ulamak :

    “ Jika engkau inginkan pengajaran, cukuplah kematian itu sebagai peringatan.”

    Saya tertunduk, insaf dan melihat diri saya sedalam-dalamnya.

    PERSIAPAN BERTEMU ALLAH SWT

    Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa salah satu cara untuk bersihkan hati yang berkarat ialah dengan mengingati mati. Ia bererti agar kita perlu sentiasa ingatkan diri tentang hakikat diri dan hakikat pengakhiran kita. Ke mana kita selepas ini?

    Kehidupan kita yang hanya avaragenya 60 – 70 tahun umur kehidupan, adalah untuk mengumpul bekalan sebelum saat-saat pertemuan dengan Allah SWT. Nilaian dan tempoh umur yang terlalu singkat inilah menjadi penentu kehidupan kita di akhir kelak. Soal pemilihan jalan hidup ketika ini, menjadi AGENDA yang penting dalam hidup.

    Saya inginkan kehidupan saya ini, kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT. Kehidupan yang dihiasi dengan keimanan dan kepergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Jalan hidup yang dilimpahi keberkatan dan keampunan Allah SWT. Dan yang terpenting jalan hidup yang boleh memberi manfaat kepada orang lain yang berada disekeliling saya.

    Jalan dakwah dan jalan tarbiyah adalah jalan kehidupan yang menjadi nadi kehidupan saya. Ia merupakan jalan yang menjadikan saya hamba rabbani yang sentiasa peka tentang keadaan diri saya dan sentiasa mempunyai hasrat dan perasaan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan diri saya. Bagi saya inilah sunnah Rasulullah SAW yang terbesar yang seharusnya kita ikuti.

    Jika kematian itu menjemput saya, biarlah dalam keadaan Allah SWT meredhai dan menerima saya sebagai hamba dhaif yang sentiasa patuh dan taat kepadanya.

    “ Ya Allah ya tuhanku, Engkau Ampunilah segala dosaku dan terimalah aku sebagai hambaMu. Ya Allah ya tuhanku, Engkau ambillah aku dalam keadaan Engkau meredhaiku dan janganlah Engkau membiarkan diriku ini dalam kelalaian dan kealpaan daripada mengingatimu.”

    MUHASABAH HARIAN

    Namun, jika direnungkan kembali ternyata banyak masa saya masih terluang dan dihabiskan dengan sia-sia. Banyak dosa saya kepada Allah SWT, kepada ibu bapa dan jua kepada manusia yang berada disekitar saya. Bayangkan jika kematian menjemput saya ketika ini?

    Ya Allah, kuatkan aku Ya Allah.
    Dosaku menggunung tinggi, tetapi rahmatmu melangit luas
    Walaupun taubat seringku mungkiri, tetapi pengampunanMu tidak pernah bertepi
    Ya Allah, pandanglah Aku
    Bimbinglah aku dan berikanlah Taufiq Hidayahmu kepadaku
    Berikanlah kesempatan hidupku ini, untuk mencari bekalan Taqwa
    Sebelum saat-saat pertemuanku dengan Mu
    Terimalah aku dalam keredhaan dan keampunanMu..

    P/S : Bulan lepas, seorang sahabat satu batch saya semasa saya di sekolah menengah telah dijemput oleh Allah SWT pulang ke rahmatullah.
    Siapa sangka usia yang muda begitu, sihat tanpa sakit akan menemui kematian. Peristiwa di atas memberi peringatan yang sangat berguna untuk hati saya.


    Oleh:

    Ustaz Ali Irfan Jamaludin

    Pengerusi HALUANSiswa Kelantan


    Read more...

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com