H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Friday, November 26, 2010

0

Su’airah al-Asadiyyah: Syurga Lebih Dicintainya

  • Friday, November 26, 2010
  • aburidhwan
  • Su’airah al-Asadiyyah atau yang dikenali dengan Ummu Zufar radhiyallahu’anha. Walau para ahli sejarah tidak menulis perjalanan kehidupannya secara terperinci, kerana hampir semua kitab-kitab sejarah hanya mencantumkan sebuah hadis dalam biografinya, namun dengan keterangan yang sedikit itu kita dapat memetik banyak faedah, pelajaran, serta teladan yang agung dari wanita solehah ini.

    Su’airah al-Asadiyyah berasal dari Habsyah atau yang dikenali sekarang ini dengan Ethiopia. Seorang wanita yang berkulit hitam, yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan penuh ketulusan. Ia adalah perumpamaan cahaya dan bukti nyata dalam kesabaran, keyakinan dan kerredhaan terhadap apa yang telah ditakdirkan Allah, Rabb Pencipta Alam semesta ini. Dia adalah wanita yang datang dan berbicara langsung dengan pemimpin orang-orang yang ditimpa musibah dan imam bagi orang-orang yang sabar, Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam.

    Dialog mereka berdua telah dimaktub dan dinukilkan di dalam kitab sunnah yang mulia. Telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab shahihnya dengan sanadnya dari ‘Atha’ bin Abi Rabah ia berkata, Ibnu Abbas berkata kepadaku, “Inginkah engkau aku tunjukkan seorang wanita penghuni surga?” Aku pun menjawab, “Tentu saja.”

    Ia berkata, ”Wanita berkulit hitam ini (orangnya). Ia telah datang menemui Nabi shallallahu’alaihi wasallam lalu berkata:

    “Sesungguhnya aku berpenyakit ayan (epilepsi), yang apabila tersedar maka tanpa disedari auratku terbuka. Do’akanlah supaya aku sembuh.” Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

    “Jika engkau kuat bersabar, engkau akan memperoleh syurga. Namun jika engkau ingin, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.”

    Maka ia berkata:”Aku akan bersabar.” Kemudian ia berkata:”Sesungguhnya aku (bila tersedar maka tanpa disedari auratku terbuka), maka mintakanlah kepada Allah supaya auratku tidak terbuka.” Maka baginda shallallahu ’alaihi wasallam pun mendo’akannya. (HR Al-Bukhari 5652)

    Perhatikanlah … betapa tingginya keimanan wanita ini. Ia berusaha menjaga hak-hak Allah dalam dirinya. Tidak lupa pula mempelajari ilmu agama-Nya. Meski ditimpa penyakit, dia tidak putus asa akan rahmat Allah dan bersabar terhadap musibah yang menimpanya. Sebab dia mengetahui itu adalah sesuatu yang diwajibkan oleh Allah. Bahawasanya tidak ada suatu musibah apapun yang diberikan kepada seorang mukmin yang sabar kecuali akan menjadi timbangan kebaikan baginya pada hari kiamat nanti.

    إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

    “ Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan diberi pahala tanpa batas.” (QS Az-Zumar :10)

    Di dalam musibah atau cobaan yang diberikan Allah kepada manusia terkandung hikmah yang agung, yang dengannya Allah ingin membersihkan hambanya dari dosa. Dengan keyakinan itulah Su’airah lebih mengutamakan akhirat daripada dunia, kerana apa yang ada disisi Allah lebih baik dan kekal. Dan Ketika diberikan pilihan kepadanya antara syurga dan kesembuhan, maka dia lebih memilih syurga yang abadi. Akan tetapi di samping itu, dia meminta kepada Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam untuk mendoakan agar auratnya tidak terbuka bila penyakitnya menimpa, kerana dia adalah waniya yang telah terdidik dalam madrasah ‘iffah (penjagaan diri) dan kesucian, hasil didikan Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam, dan menjaga hak Allah yang telah memerintahkan wanita muslimah untuk menjaga kehormatan dirinya dengan menutup aurat. Allah subhanahu wa ta’alla berfirman:

    وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

    “Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya.” (Qs An-Nur: 31)

    Su’airah telah memberikan pelajaran penting bagi para wanita yang membuka auratnya, bahawa hendaknya mereka bersyukur kepada Allah ta’alla atas nikmat kesihatan yang telah dilimpahkan kepada mereka. Berpegang dengan hijab yang syar’i adalah jalan satu-satunya untuk menuju kemuliaan dan kemenangan hakiki, kerana ia adalah mahkota kehormatannya. Dalam permintaannya, Su’airah hanya meminta agar penyakit yang membuatnya kehilangan kesedarannya itu tidak menjadi sebab terbukanya auratnya. Akan tetapi, dia tetap berpegang dengan hijab dan rasa malunya!

    Betapa jauhnya perbandingan antara wanita yang pemalu dan penyabar ini dengan mereka yang telanjang yang tampil dilayar-layar kaca televisyen dan terpampang di akhbar dan majalah-majalah. Tidak perlu kita mengambil contoh terlalu jauh sampai ke negara-negara barat sana. Cukuplah kita perhatikan di negara kita tercinta ini saja, banyak kita temukan wanita-wanita telanjang berlalu lalang dengan santainya di setiap lorong dan sudut bandar, bahkan di kampung-kampung tanpa rasa malu sedikitpun. Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam telah sebutkan perihal mereka ini dengan sabdanya:

    صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

    “ Ada dua golongan penduduk neraka yang aku belum pernah melihat mereka: satu kaum yang memiliki cemeti seperti ekor sapi dimana mereka memecut manusia dengannya, dan kaum wanita yang berpakaian akan tetapi telanjang, genit dan menggoda, (rambut) kepala mereka seperti punuk onta yang miring. Sungguh mereka tidak akan masuk syurga bahkan tidak akan mendapati baunya, padahal bau syurga boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian (jauhnya).” (HR Muslim 5704)

    Mereka tidak ubahnya seperti binatang yang ke mana-mana tidak berpakaian kerana mereka memang tidak berakal! Keluarnya mereka telah merosak pandangan orang-orang yang berakal. Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam juga bersabda tentang mereka:

    الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَان

    “Seorang wanita itu (seluruhnya) aurat. Apabila ia keluar (rumah) maka syaitan akan membuat mereka nampak indah di hadapan orang-orang yang memandanginya.” (HR Tirmidzi 1206, dishahihkan al-Albani dalam Shahihul Jami’ no 6690)

    Dan sungguh semua itu bertolak belakang dengan fitrah manusia. Allah ta’ala berfirman:

    وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (١٧٩)

    “ Sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka memiliki telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Qs Al A’raf :179)

    Demikianlah sosok Su’airah al-Asadiyyah radhiyallahu’anha, wanita yang dipuji Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam akan kesabaran dan ‘iffah (penjagaan diri)nya. Semoga pelajaran agung yang telah diwariskannya dapat menjadi acuan bagi wanita muslimah menuju keredhaan Allah subhanahu wa ta’alla, dan menjadikan kita penghuni syurga sebagaimana Su’airah Aamiin.

    Sumber dari majalah Mawaddah Edisi 7 tahun ke-3

    Read more...

    Tuesday, November 16, 2010

    0

    Salam Eid Al-Adha : Tingkatkan Pengorbanan Kepada Allah

  • Tuesday, November 16, 2010
  • aburidhwan
  • Saban tahun kita menyaksikan umat Islam akan menyertai masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban. Dalam masa yang sama ramai yang pergi ke Baitullah berkorban untuk mengerjakan haji. Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah, menurut Al-Quran, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.

    Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada hari raya ialah melakukan korban. Waktu menyembelihnya ialah sesudah mengerjakan salat sunat Aidil Adha sehingga hari tasyrik ( 13 Zulhijjah ). Ianya boleh dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing untuk seorang atau seekor lembu untuk tujuh orang. Firman s.w.t. :

    Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )". ( Surah al-Kausar : 1-3 )

    Berdasarkan kepada Firman Allah t ersebut, majoriti ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pعla lebih besar. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah s.a.w. :

    َنْ وَجَدَ سَعَةً ِلأَنْ يُضَحِّيَ فَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنـَا"

    Maksudnya : " barangsiapa yang mempunyai kelapangan ( mampu ) untuk berkorban tatapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini ".

    ( riwayat Ahmad dan Ibni Majah )

    Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimim untuk memupuk semangat berkorban. dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.

    Di aintara hikmah korban yang boleh dipelajari daripada sirah Nabi Ibrahim ialah:

    i- Ia adalah tanda syukur kepada Allah swt di atas nikmat kehidupan yang telah diberikan-Nya.

    ii- Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s. ketika Allah swt menyuruhnya menyembelih binatang yang telah Allah swt gantikan dengan Nabi Ismail a.s.

    iii- Supaya orang mukmin mengingati kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail, mereka telah mendahulukan ketaatan kepada Allah swt berbanding rasa cinta kepada diri sendiri dan anaknya. Inilah sebab mengapa Allah swt menukar Nabi Ismail dengan binatang korban dan mengangkat bebanan ini.

    MANASIK HAJI

    Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan ke pada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain; baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata.

    Pada saat itu, mereka merasakan ikatan ukhuwah sesama agama Islam begitu erat tanpa menghiraukan perbezaan warna kulit, bangsa, budaya dan tempat asal mereka. Semoga tetamu Allah kali ini mendapat haji yang mabrur, yakni haji yang diterima. Haji yang ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga.

    Kesimpulannya marilah sama-sama kita melatih diri untuk melaksanakan suatu pengorbanan di dalam diri kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Pengorbanan yang diharapkan merupakan bukan sekadar pengorbanan wang ringgit dan masa tetapi pengorbanan diri kita untuk menjadi hamba yang taat kepada Sang Pencipta.

    Justeru HALUANSISWA Nasional mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha dan selamat melaksanakan ibadah haji dan ibadah korban kepada semua Muslimin dan Muslimat. Semoga Allah Taala menerima segala amal ibadah yang kita lakukan sepanjang tahun ini .

    USTAZ MUHAMMAD MUZAKKIR B CHE ANI

    Setiausaha HALUANSISWA Pusat

    9 Zulhijjah 1431H
    Read more...

    Sunday, November 14, 2010

    0

    Coretan Mencari Erti Pengorbanan

  • Sunday, November 14, 2010
  • aburidhwan
  • Eid-al-AdhaADHA.

    Ketika kecil, sejujurnya saya tidak memahami apa sebenarnya erti eid adha selain daripada melihat lembu disembelih. Saya yang selalu hanya menyorok di belakang ibu kadang-kadang akan menangis sedih mendengar suara lembu berdengus sebelum diam tetap. Melihat baju pakcik yang memegang pisau terpercik darah sambil tangannya mula melonggarkan tali yang terikat di kaki lembu.

    Dan juga yang saya tahu, hanya keseronokan cuti sekolah. Namun perasaan tidak semeriah eid fitri yang akan mendapat duit raya setiap kali bertandang ke rumah orang. Ya, ketika itu saya menyambut eid adha tanpa seseronok menyambut eid fitri kerana saya lihat masyarakat sekeliling sebegitu. Pergi sembahyang raya. Melihat lembu disembelih. Makan-makan di jamuan raya. Habis.

    ADHA bagi seorang muslim.

    Teringat saudara Hilal pernah berkongsi, (lebih kurang ayatnya)

    "Allah jadikan eid adha selepas eid fitri adalah kerana ketika kita berjaya menamatkan Ramadhan dengan sempurna maka kita akan diijazahkan TAQWA. Dan adha (pengorbanan) yang dituntut ketika eid adha itu adalah bukti TAQWA yang berjaya diraih"

    Sungguh.

    RAMADHAN->eid FITRI->eid ADHA.

    saling berkaitan rapat.

    Ramadhan madrasah TAQWA. 1 syawal melahirkan graduan mukmin yang kembali kepada FITRAH. Manakala 10 Zulhijjah menuntut erti KORBAN.

    Tanpa FITRAH yang membuahkan TAQWA, kita tidak mampu MENGORBANKAN apa-apa daripada diri kita.

    Kisah Nabi Ibrahim.

    Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismal a.s. selalu diceritakan menjelangnya eid adha. Kisah nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya selepas mendapat wahyu daripada Allah s.w.t melalui mimpi. Namun diganti dengan qibas. Justeru, kita pun menyambutnya dengan aktiviti penyembelihan korban.

    Hanya itu sahajakah?

    Sungguh,. Dalam seerah Cinta itu tersimpan hikmah yang sangat agung untuk kita telusuri sebagai muhasabah.

    1.
    Saya punya seorang ibu. Bagi saya dia adalah segalanya kerana padanya kami adalah segalanya. Ibu yang membesar semenjak usia 1 tahun sebagai si kecil yatim belajar untuk menjadi ibu tanpa pernah merasai belaian seorang ibu. Hebat bukan?

    Allah izin, kami 4 beradik berjaya membaca abjad dan alQuran semenjak di usia 4-5 tahun tanpa ke tadika. Diajar mengenal Allah dan cintaNya dalam usrah keluarga. Ditanam cinta dan rindu kepada Rasul serta para sahabat dalam kisah-kisah penuh semangat dan gaya sebelum kami terlena.

    Ibu setia menghasilkan buku-buku gambar yang dilukis sendiri atau yang digunting dari bahan-bahan luar semata-mata untuk memberi kami modul bacaan terbaik. Diletaknya syarat hafalan ayat-ayat pendek sebelum memberi kami peluang untuk melihat rancangan'cartoon' kesukaan.

    Dipilihnya didikan terbaik semata-mata untuk memastikan kami mendapat tapak semaian Iman terbaik. Semuanya dilakukan tanpa jemu. Sekalipun ketika kami sudah menginjak dewasa.

    Dan semua itu BUKTI bahawa sayangnya ibu kepada kami. SAYANG yang teramat kepada setiap anak-anaknya.

    Persoalannya, bukankah Hajar isteri Ibrahim a.s. juga seorang ibu? Tidakkah dia juga memiliki rasa SAYANG yang teramat kepada Ismail a.s. anaknya?

    Lalu, perkara apakah yang merasuk jiwanya sehingga dia tegar membiarkan anaknya untuk dibawa keluar dari rumah dengan pengetahuan bahawa itu adalah tatapan terakhirnya?

    Tidak ada lain melainkan kerana dadanya telah penuh dengan TAQWA yang meyebabkan dia hanya melihat Allah dalam setiap susunan. Jiwanya hidup dalam fitrah. Maka lahirlah makna ADHA.

    2.
    Saya ada ayah yang cuma sempat bersama dalam tempoh 13 tahun. Walaupun sekejap, tetapi saya sangat tahu dan yakin bahawa ayah TERLALU menyayangi kami, anak-anaknya.

    Teringat ayah selalu menyebut kepada kami,"ayah nak anak-anak ayah menjadi muslim yang lebih baik daripada ayah". Hanya itu. Dan sentiasa itu.

    Walaupun ayah sentiasa sibuk, tetapi saya tahu ayah selalu mencuri waktu untuk kami. Hanya semata kerana ayah sayangkan kami, anak-anaknya.

    Lalu, bukan Nabi Ibrahim juga seorang ayah?

    Ayah seperti mana ayah yang suka membelai dan menyikat rambut saya. Ayah yang seperti mana ayah yang cuba meluangkan masa bersama kami dalam kesibukannya. Ayah yang seperti mana ayah yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya..

    Namun, kuasa apakah yang menggerak tangannya untuk memegang tubuh anaknya dalam kondisi di tangan kanannya pisau yang siap bersedia?

    Tidak ada melainkan kerana FITRAH imannya yang meletakkan kecintaan kepada Allah mengatasi segala.

    TAQWA yang melahirkan natijah CINTA Allah yang maha dahsyat itulah yang melahirkan manusia-manusia yang dahsyat.

    3.
    Nabi Ismail merupakan pemuda di awal usia ketika itu. Mungkin seperti saya. Seperti kalian, sahabat-sahabat..

    Yang punya cita-cita dan impian masa depan. Yang baru meneroka dunia. Yang baru belajar mengenal hidup.

    Namun sekali dia mendapat tahu bahawa dia perlu berkorban nyawa untuk Penciptanya, langsung diucapkan hanya satu,

    "laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu wahai ayah.."

    Kita lihat dalam kehidupan kita.

    Saya senang untuk melihat dalam skop kehidupan sehari-hari. Sungguh. Kita senang mengaku muslim dan berjiwa hamba. Senang untuk berkata, "aku telah berkorban untuk itu dan untuk ini".

    Namun benarkah kita telah berkorban untuk sebenar-benar korban?

    Sebagai ayah dan ibu, benarkah kita telah sebenar-benar berkorban? Benarkah telah kita peruntukkan seluruh masa untuk tarbiyatul aulad anak-anak kita? Benarkah telah kita sediakan sebuah suasana Islami untuk tumbesaran anak-anak?

    Benarkah telah kita rencanakan susunan sistem pendidikan Islam secara terancang untuk anak-anak kita? Benarkah telah kita usaha memperbaiki diri untuk menunjukkan contoh terbaik peribadi seorang muslim sebagai panduan anak-anak?

    Pernahkan kita beriltizam untuk menjadikan baitul muslim sebagai pengeluar produk-produk Islam?

    Buat anak-anak seperti saya, benarkah kita telah berkorban? Benarkah kita telah menjadi hamba Allah yang soleh sebagai hadiah untuk kedua ibu bapa kita? Benarkah kita telah betul-betul memuliakan ibu bapa kita dengan sepatutnya seperti yang Allah kehendaki?

    Benarkah telah kita tunaikan semua haq-haq ibu bapa kita? Benarkah telah kita bahagiakan mereka sehingga mereka merasakan jauh di sudut hati betapa beharganya kita lahir di dunia ini?

    Kerana bagi saya, ADHA yang sebenar MESTI membawa makna sebenar..
    ADHA yang menuju pengakhiran bersama iaitu cinta Allah dan syurgaNya. Pengorbanan yang dikerahkan semata untuk menyediakan korban terbaik untuk sang Maha Pencipta.

    Bersusah payah mempersiapkan diri untuk Syurga, pernahkah kita nampak itu?

    ADHA terbesar ialah mati dalam kemuliaan di jalanNya. Namun semua itu tidak akan bermula tanpa TAQWA yang lahir dari jiwa hamba yang FITRAH.

    Lalu teman, apakah matlamat akhir kita?

    Jika SYURGA tertinggi itu ialah destinasi, maka persiapkan diri untuk sentiasa berada dalam FITRAH sehingga boleh membentuk TAQWA sekaligus membuatkan kita sentiasa bersiap untuk KORBANkan apa-apa daripada diri kita semata-mata untuk mendpaat nilaian dari Allah, sang Pencipta dan Penghitung kita.

    Ingatlah wahai diri, ADHA sebnar tidak dapat dilaksanakan tanpa kefahaman yang jelas mengapa perlu kita berkorban.

    Sumber: lurv4allahthealmighty.blogspot.com
    Read more...

    Tuesday, November 9, 2010

    0

    HALUANSiswa Berbakti Lagi

  • Tuesday, November 9, 2010
  • BroHamzah


  • HALUANSiswa Berbakti lagi
    HALUANSiswa bekerjasama dengan HALUAN Pahang meneruskan usaha berbakti kepada masyarakat dengan memberi tumpuan kepada program pendidikan bagi melahirkan warga negara yang berilmu dan berakhlak mulia. Terbaru HALUAN Pahang telah mendapat kepercayaan dan diberi amanah oleh SMK Paya Besar Kuantan, Pahang untuk mengisi program pemantapan jatidiri dan sahsiah terpuji kepada pelajar-pelajar putera dan puteri tingkatan 1 dan 2 berumur 13-14 tahun.

    Program telah diadakan pada 2-3 November 2010 bertempat di Kempvilla Resort, Kg Kempadang, Kuantan yang disertai seramai 60 orang pelajar terpilih beserta beberapa guru-guru pengiring. Tujuan program ini adalah untuk membentuk pelajar-pelajar agar mempunyai jatidiri dan disiplin yang tinggi dan terhindar dari melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan masadepan mereka.

    Haluan Pahang telah mendapatkan khidmat dari motivator dan fasilitator terlatih dari Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Kelantan dan HALUANsiswa Pahang yang diketuai oleh Sdr. Razali b. Maarof bersama 8 orang fasi lelaki dan perempuan. HALUANSiswa yang bercuti memberi khidmat sumbangan mereka kebanyakan dari IPTA IPTS seperti Universiti Malaysia Pahang ( UniMAP), Kolej ShahPutra , dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD).

    Menurut Penyelaras Program Haluan Pahang, Sdr Abd Bashir Abd Ghani, program selama 2 hari 1 malam ini sedikit sebanyak telah berjaya memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk mereka memahami tujuan menuntut ilmu dan kepentingan berakhlak mulia. Di usia yang sebegini muda dan mentah, mereka mudah terpengaruh dengan budaya songsang yang boleh merosakkan masadepan mereka jika tidak dibendung dengan segera. Justeru itulah pihak sekolah mengadakan program ini dan memberi kepercayaan kepada HALUAN untuk membentuk pelajar-pelajar terpilih ini.





    Beberapa modul pengisian program telah dijalankan oleh motivator dan fasilitator bagi memastikan program dapat berjalan dengan baik dan lancar serta mengembirakan mereka. Fasililtator terpaksa mengerahkan kepakaran dan pengalaman mereka bagi mengendalikan program ini dengan berbagai pendekatan walaupun agak keletihan melayani karenah nakal peserta. Maklumlah berhadapan pelajar-pelajar pilihan yang masih terumbang ambing menentukan karisma mereka. Berkat kesabaran abang-abang dan kakak-kakak fasi , mereka semua gembira dan seronok menyertai program ini.

    Antara pengisian program yang dapat dan sempat dilakukan dalam masa yang terbatas ini termasuklah ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan (LDK), riadhah, solah berjemaah, qiamullail , sesi muhasabah dan kaunseling. Program perasmian penutupan bersama ibubapa mereka telah diadakan pada 3 November 2010 jam 3.00 petang di sekolah mereka dengan acara penyampaian hadiah dan sijil oleh Pengetua Sekolah. Sebelum ucapan penutupan satu ceramah keibubapaan bersama dengan ibubapa peserta telah disampaikan oleh Tn. Hj. Ibrahim b. Abd. Rahman dari HALUAN Pusat. Ucapan penutupan telah disempurnakan oleh Pengetua Sekolah, En. Nandrakumaran.
    Dalam ucapannya, beliau berulang kali mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak HALUAN kerana sudi membantu pihak sekolah mendidik pelajar-pelajar mereka. Suatu usaha kerjasama yang kukuh antara pihak sekolah dengan NGO. Beliau berharap pihak HALUAN akan dapat mengisi lagi program mendidik pelajar-pelajar mereka dimasa akan datang.

    Terdahulu dalam ucapan mewakili Haluan Pahang, Sdr Abd. Bashir merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memberi peluang kepada Haluan Pahang mendidik pelajar mereka dan berharap usaha yang baik ini berterusan di masa akan datang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ustazah Norehan GPK SMK Paya Besar selaku guru penyelaras program yang telah banyak memberi kerjasama dan bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran program ini. Juga kepada semua Fasilitator dan penceramah yang begitu komited membantu menjayakan program ini. Semoga HALUAN sentiasa berada didalam hati dan minda mereka.

    Read more...
    0

    Menjana Kepimpinan Masa Depan

  • aburidhwan
  • 10 Nov, Kuala Terengganu – HALUANSiswa Zon Pantai Timur telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Kem Pemantapan Lepasan PMR Sekolah Menengah Agama Kg Laut (SMAKL) 2010 yang bertemakan “ Menjana Kepimpinan Masa Depan” . Kem ini telah diadakan di Dewan Sivik, Kampung Laut selama 3 hari 2 malam.

    Seramai 53 pelajar mengikuti program ini. Kem kali ini juga telah mendapat khidmat motivator dan fasilitator terlatih dari Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Kelantan dan Haluansiswa Zon Timur yang diketuai oleh Ustaz `Ali `Irfan Bin Jamalludin bersama 8 orang fasilitator mahasiswa-mahasiswi yang sedang bercuti semester dari Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Industri Selangor (UniSel) dan Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS). Turut bersama dengan kem ini ialah En. Mohd Razali Maarof selaku motivator utama kem.

    Menurut Penyelaras Kem, En Zahari Bin Zaki program selama 3hari 2 malam ini sedikit sebanyak telah berjaya memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk mereka memahami peranan mereka sebagai pemimpin dan kepentingan berakhlak mulia bagi seorang pemimpin. Di usia yang sebegini mudalah mereka harus disedarkan dengan tanggungjawab dan peranan kepimpinan.


    Antara pengisian program yang dijalankan disepanjang program termasuklah ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan (LDK), riadhah, khidmat masyarakat, solah berjemaah, qiamullail , sesi muhasabah dan kaunseling, team building, nasyid tema dan pengucapan awam. Para peserta telah memberikan komen yang amat positif terhadap kem ini dan teruja untuk mengikuti kem yang akan dating anjuran HALUANSiswa.

    HALUANSiswa Zon Timur ingin mengucapkan terima kasih kepada semua urusetia, mahasiswa mahasiswi HALUANSiswa yang terlibat, para penceramah dan pihak sekolah SMAKL yang berusaha secara bersungguh-sungguh menjayakan kem ini.

    Read more...

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com

    Subscribe