H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Sunday, November 14, 2010

0

Coretan Mencari Erti Pengorbanan

  • Sunday, November 14, 2010
  • aburidhwan
  • Share
  • Eid-al-AdhaADHA.

    Ketika kecil, sejujurnya saya tidak memahami apa sebenarnya erti eid adha selain daripada melihat lembu disembelih. Saya yang selalu hanya menyorok di belakang ibu kadang-kadang akan menangis sedih mendengar suara lembu berdengus sebelum diam tetap. Melihat baju pakcik yang memegang pisau terpercik darah sambil tangannya mula melonggarkan tali yang terikat di kaki lembu.

    Dan juga yang saya tahu, hanya keseronokan cuti sekolah. Namun perasaan tidak semeriah eid fitri yang akan mendapat duit raya setiap kali bertandang ke rumah orang. Ya, ketika itu saya menyambut eid adha tanpa seseronok menyambut eid fitri kerana saya lihat masyarakat sekeliling sebegitu. Pergi sembahyang raya. Melihat lembu disembelih. Makan-makan di jamuan raya. Habis.

    ADHA bagi seorang muslim.

    Teringat saudara Hilal pernah berkongsi, (lebih kurang ayatnya)

    "Allah jadikan eid adha selepas eid fitri adalah kerana ketika kita berjaya menamatkan Ramadhan dengan sempurna maka kita akan diijazahkan TAQWA. Dan adha (pengorbanan) yang dituntut ketika eid adha itu adalah bukti TAQWA yang berjaya diraih"

    Sungguh.

    RAMADHAN->eid FITRI->eid ADHA.

    saling berkaitan rapat.

    Ramadhan madrasah TAQWA. 1 syawal melahirkan graduan mukmin yang kembali kepada FITRAH. Manakala 10 Zulhijjah menuntut erti KORBAN.

    Tanpa FITRAH yang membuahkan TAQWA, kita tidak mampu MENGORBANKAN apa-apa daripada diri kita.

    Kisah Nabi Ibrahim.

    Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismal a.s. selalu diceritakan menjelangnya eid adha. Kisah nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya selepas mendapat wahyu daripada Allah s.w.t melalui mimpi. Namun diganti dengan qibas. Justeru, kita pun menyambutnya dengan aktiviti penyembelihan korban.

    Hanya itu sahajakah?

    Sungguh,. Dalam seerah Cinta itu tersimpan hikmah yang sangat agung untuk kita telusuri sebagai muhasabah.

    1.
    Saya punya seorang ibu. Bagi saya dia adalah segalanya kerana padanya kami adalah segalanya. Ibu yang membesar semenjak usia 1 tahun sebagai si kecil yatim belajar untuk menjadi ibu tanpa pernah merasai belaian seorang ibu. Hebat bukan?

    Allah izin, kami 4 beradik berjaya membaca abjad dan alQuran semenjak di usia 4-5 tahun tanpa ke tadika. Diajar mengenal Allah dan cintaNya dalam usrah keluarga. Ditanam cinta dan rindu kepada Rasul serta para sahabat dalam kisah-kisah penuh semangat dan gaya sebelum kami terlena.

    Ibu setia menghasilkan buku-buku gambar yang dilukis sendiri atau yang digunting dari bahan-bahan luar semata-mata untuk memberi kami modul bacaan terbaik. Diletaknya syarat hafalan ayat-ayat pendek sebelum memberi kami peluang untuk melihat rancangan'cartoon' kesukaan.

    Dipilihnya didikan terbaik semata-mata untuk memastikan kami mendapat tapak semaian Iman terbaik. Semuanya dilakukan tanpa jemu. Sekalipun ketika kami sudah menginjak dewasa.

    Dan semua itu BUKTI bahawa sayangnya ibu kepada kami. SAYANG yang teramat kepada setiap anak-anaknya.

    Persoalannya, bukankah Hajar isteri Ibrahim a.s. juga seorang ibu? Tidakkah dia juga memiliki rasa SAYANG yang teramat kepada Ismail a.s. anaknya?

    Lalu, perkara apakah yang merasuk jiwanya sehingga dia tegar membiarkan anaknya untuk dibawa keluar dari rumah dengan pengetahuan bahawa itu adalah tatapan terakhirnya?

    Tidak ada lain melainkan kerana dadanya telah penuh dengan TAQWA yang meyebabkan dia hanya melihat Allah dalam setiap susunan. Jiwanya hidup dalam fitrah. Maka lahirlah makna ADHA.

    2.
    Saya ada ayah yang cuma sempat bersama dalam tempoh 13 tahun. Walaupun sekejap, tetapi saya sangat tahu dan yakin bahawa ayah TERLALU menyayangi kami, anak-anaknya.

    Teringat ayah selalu menyebut kepada kami,"ayah nak anak-anak ayah menjadi muslim yang lebih baik daripada ayah". Hanya itu. Dan sentiasa itu.

    Walaupun ayah sentiasa sibuk, tetapi saya tahu ayah selalu mencuri waktu untuk kami. Hanya semata kerana ayah sayangkan kami, anak-anaknya.

    Lalu, bukan Nabi Ibrahim juga seorang ayah?

    Ayah seperti mana ayah yang suka membelai dan menyikat rambut saya. Ayah yang seperti mana ayah yang cuba meluangkan masa bersama kami dalam kesibukannya. Ayah yang seperti mana ayah yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya..

    Namun, kuasa apakah yang menggerak tangannya untuk memegang tubuh anaknya dalam kondisi di tangan kanannya pisau yang siap bersedia?

    Tidak ada melainkan kerana FITRAH imannya yang meletakkan kecintaan kepada Allah mengatasi segala.

    TAQWA yang melahirkan natijah CINTA Allah yang maha dahsyat itulah yang melahirkan manusia-manusia yang dahsyat.

    3.
    Nabi Ismail merupakan pemuda di awal usia ketika itu. Mungkin seperti saya. Seperti kalian, sahabat-sahabat..

    Yang punya cita-cita dan impian masa depan. Yang baru meneroka dunia. Yang baru belajar mengenal hidup.

    Namun sekali dia mendapat tahu bahawa dia perlu berkorban nyawa untuk Penciptanya, langsung diucapkan hanya satu,

    "laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu wahai ayah.."

    Kita lihat dalam kehidupan kita.

    Saya senang untuk melihat dalam skop kehidupan sehari-hari. Sungguh. Kita senang mengaku muslim dan berjiwa hamba. Senang untuk berkata, "aku telah berkorban untuk itu dan untuk ini".

    Namun benarkah kita telah berkorban untuk sebenar-benar korban?

    Sebagai ayah dan ibu, benarkah kita telah sebenar-benar berkorban? Benarkah telah kita peruntukkan seluruh masa untuk tarbiyatul aulad anak-anak kita? Benarkah telah kita sediakan sebuah suasana Islami untuk tumbesaran anak-anak?

    Benarkah telah kita rencanakan susunan sistem pendidikan Islam secara terancang untuk anak-anak kita? Benarkah telah kita usaha memperbaiki diri untuk menunjukkan contoh terbaik peribadi seorang muslim sebagai panduan anak-anak?

    Pernahkan kita beriltizam untuk menjadikan baitul muslim sebagai pengeluar produk-produk Islam?

    Buat anak-anak seperti saya, benarkah kita telah berkorban? Benarkah kita telah menjadi hamba Allah yang soleh sebagai hadiah untuk kedua ibu bapa kita? Benarkah kita telah betul-betul memuliakan ibu bapa kita dengan sepatutnya seperti yang Allah kehendaki?

    Benarkah telah kita tunaikan semua haq-haq ibu bapa kita? Benarkah telah kita bahagiakan mereka sehingga mereka merasakan jauh di sudut hati betapa beharganya kita lahir di dunia ini?

    Kerana bagi saya, ADHA yang sebenar MESTI membawa makna sebenar..
    ADHA yang menuju pengakhiran bersama iaitu cinta Allah dan syurgaNya. Pengorbanan yang dikerahkan semata untuk menyediakan korban terbaik untuk sang Maha Pencipta.

    Bersusah payah mempersiapkan diri untuk Syurga, pernahkah kita nampak itu?

    ADHA terbesar ialah mati dalam kemuliaan di jalanNya. Namun semua itu tidak akan bermula tanpa TAQWA yang lahir dari jiwa hamba yang FITRAH.

    Lalu teman, apakah matlamat akhir kita?

    Jika SYURGA tertinggi itu ialah destinasi, maka persiapkan diri untuk sentiasa berada dalam FITRAH sehingga boleh membentuk TAQWA sekaligus membuatkan kita sentiasa bersiap untuk KORBANkan apa-apa daripada diri kita semata-mata untuk mendpaat nilaian dari Allah, sang Pencipta dan Penghitung kita.

    Ingatlah wahai diri, ADHA sebnar tidak dapat dilaksanakan tanpa kefahaman yang jelas mengapa perlu kita berkorban.

    Sumber: lurv4allahthealmighty.blogspot.com

    0 Responses to “Coretan Mencari Erti Pengorbanan”

    Post a Comment

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com

    Subscribe