H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Sunday, March 21, 2010

0

Rasulullah SAW sebagai Qudwah Amaliyah Kita

  • Sunday, March 21, 2010
  • BroHamzah
  • Share
  • Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Sudah menjadi kewajiban setiap orang untuk mencintai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam melebihi daripada cintanya kepada semua makhluk. Buah cinta itu sangatlah agung dan besar yang akan dapat dipetik di dunia dan akhirat, tetapi dalam kenyataan hidup hari ini banyak kita temui kekeliruan dalam memahami cinta kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan pemahaman yang sangat sempit. Maka penjelasan hakikat cinta kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam secara jelas dan benar merupakan cara terbaik untuk meluruskan kekeliruan sebagian orang muslim dalam membuktikan kecintaannya kepada baginda.

    Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuaatir kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah (Subhanahuwata’ala) dan Rasul- Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah (Subhanahuwata’ala) mendatangkan keputusannya. Dan Allah (Subhanahuwata’ala) tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

    (At Taubah 24).


    Di antara tanda-tanda mencintai Nabi Sallallahu’alaihiwasallam adalah sepertimana yang dinyatakan Al Qadhi 'Iyadh:


    Termasuk tanda mencintai Nabi Sallallahu’alaihiwasallam adalah membela sunnahnya dan menegakkan syariatnya serta ingin bertemu dengannya. Maka untuk mewujudkannya ia akan mengerahkan jiwa dan harta kekayaannya.
    (Syarah Sahih Muslim – oleh Nawawi)

    Justeru itu, dalam realiti Islam yang dagang pada hari ini, fokus kita adalah menghidupkan sunnah Nabi SAW yang terbesar iaitu sunnah dakwah dan sunnah tarbiah.


    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Baru-baru ini kita dapati ramai sahabat/ah yang melangsungkan walimah urus. Tahun ini sahaja insha Allah akan ada ramai lagi yang akan membentuk baitul Muslim. Ada juga yang dalam proses persediaan dan sebagainya. Apakah yang kita inginkan atau harapkan daripada pembentukan baitul muslim?

    Kita inginkan lahirnya zuriat yang soleh. Lahirnya generasi yang mewarisi pusaka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:


    “Dan orang-orang yang berkata: Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami an keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”.

    (Al Furqan : 74)


    Kita ingin melihat rumahtangga muslim di mana berlaku di dalamnya perlaksanaan ajaran Islam dan hukum-hukum Allah. Suami muslim bertanggungjawab terhadap keluarga, membuat persediaan-persediaan, memelihara adab-adab Islam dan memberikan kefahaman Islam kepada orang-orang di bawah jagaannya. Kita ingin melihat isteri yang soleh menjadikan rumahtangga seperti taman yang memberikan ketenangan kepada suami dan menjadi pembantu suami yang ta’at kepada Allah. Kita ingin melihat ibu-ibu muslimah lagi solehah menjaga anak-anak atas landasan syara’ kerana ibulah sekolah yang pertama bagi anak-anak. Musuh-musuh Islam telah melakukan berbagai-bagai cara dan program untuk merosakkan wanita-wanita Islam. Bila wanita-wanita Islam rosak, tidak lahirkan ibu-ibu yang solehah dan seterusnya tidak lahirlah zuri’at yang soleh, dan seterusnya lagi tidak lahirlah generasi yang soleh. Hakikat ini telah pun berlaku dalam masyarakat kita.

    Kita ingin melihat anak-anak Muslim dan putera-puteri Muslim yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala Menjaga hak-ahak ibu bapa. Bergaul dengan rakan-rakan mereka dengan adab-adab Islam.Kita ingin melihat rumahtangga muslim yang menjadi contoh yang baik dengan sifat-sifat Islam dan jauh daripada sifat-sifat jahiliyah. Namun segala-galanya bermula daripada aspek pemilihan yang berasaskan asas-asas yang telah diberikan oleh Nabi SAW.

    Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memberikan isyarat:

    “Perempuan-perempuan itu dikahwini kerana empat perkara - kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana dinnya. Tetapi hendaklah kamu utamakan dinnya.”

    Hendaklah saudara-saudara mengutamakan yang mempunyai din. Ulama’ telah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak mengambil berat tentang din maka akan rugilah di dunia dan akhirat. Dinlah yang akan menyelamatkan manusia. Bukanlah bermakna Islam mengenepikan langsung kecantikan, keturunan dan harta, tetapi semua ini janganlah dijadikan matlamat utama dalam pemilihan. Din adalah matlamat dan pemilihan utama. Yang mempunyai din dan akhlak itu dikira cantik pada nilai Islam. Inilah Jamal Haqiqi, bukan Jamal Haiwani.

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Akhir-akhir ini media sosial atau web 2.0 telah mendapat tempat yang meluas di kalangan remaja dan mahasiswa. Di Malaysia sahaja, ada 6.2 juta orang adalah warga facebook.Kadar pertumbuhannya tumbuh dengan cukup pantas. Ramai ahli HS yang mempunyai blog dan FB sendiri. Untuk usaha ini memberi impak, bahan-bahan yang nak disampaikan perlu ada perancangan dan sinergi di bawah HS bloggers united. Dengan itu baharulah akan ada kesannya kepada sasaran dakwah kita.Menyedari peri pentingnya media sosial ini, kita semua perlu mengambil media sosial ini untuk digunakan bagi menyebarluaskan fikrah Islamiyah seluas-luasnya. Gunakannya sebaik mungkin dengan menjaga asas-asas syara'. Misalnya di alam maya ini kita akan kurang sensitif dari segi perhubungan antara lelaki dan perempuan.

    Sabda Rasul SAW:

    'Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah sekehendakmu'

    HR Bukhari

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik lepasan SPM 2009. Kejayaan antum adalah kejayaan kita juga, kegembiraan antum adalah kegembiraan kita juga. Kesedihan antum adalah kesedihan kita juga.

    Rasulullah SAW bersabda:

    "Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya ."

    Hadith riwayat Muslim.


    Dari maklumat yang saya dapati, ada seorang pelajar yang keputusan SPMnya 7A1 telah mengesahkan untuk menyambungkan pengajiannya di KTD. Tahniah diucapkan. Beliau akan sambung pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan. Ini satu perkembangan yang positif. Input yang baik akan menghasilkan output yang baik. Insha Allah, kita harapkan akan lebih ramai lagi input-input yang baik akan menyambung pengajian di sana.

    Sebagai ulangan, berikut adalah bidang-bidang yang amat diperlukan oleh ummah dewasa ini:-

    -Guru dan ustaz/ustazah di sekolah-sekolah angkat Haluan

    -Pensyarah KTD

    -Tokoh-tokoh deeniah dan professional

    -Khatib dan imam

    -Penceramah agama

    -Motivator dan kaunselor

    -Wartawan dan kolumnis akhbar

    -Jurulatih kecergasan

    -Penulis dan penterjemah

    -Bloggers

    -Juruhebah dan penceramah radio dan TV

    -Usahawan
    -Peguam
    -Pensyarah bidang undang-undang, perubatan, sains sosial(sains politik, mass comm, kaunseling)
    -Jururawat

    Semua bidang ini amat berguna di dalam usaha kita melaksanakan kerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat kita.

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,


    Sepanjang bulan lalu dan bulan ini, kita dapati ahli-ahli HS terlibat dengan pelbagai aktiviti dalaman mahupun bersama masyarakat seperti berqiyam di Masjid Putra Jaya, melakukan khidmat kesihatan dan motivasi di Sabah, menganjurkan program Palestin, menjadi fasilitator program Jati Diri, worksyop Minda Medik, Pewaris dan pelbagai lagi.

    Semuanya adalah adalah medan kita meningkat diri dan berkhidmat kepada masyarakat dalam bentuk yang praktikal. HS perlu disibukkan dengan aktiviti-aktiviti yang tarbawi sebegini. Jika kita tidak sibukkan diri kita dengan kerja-kerja Islam, maka kita akan disibukkan dengan perkara-perkara yang sia-sia.

    `Antara tanda yang Allah SWT melupakan kita ialah ia membiarkan kita disibukkan dalam hal-hal yang tidak bermanfaat(menjurus kepada ubudiyah)'

    Al Hadith

    Untuk bulan ini dan bulan yang mendatang kita akan lebih giat lagi melaksanakan usaha-usaha yang murni ini. Antaranya projek Seminar Baitul Muslim, Brotherhood Futsal Challenge, Lifeline 4 Gaza, Himega dan Reaksi. Pandai-pandailah kita tawazun dalam akademik kita, program tarbiah kita dan program dakwah ke masyarakat.

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,


    Akhir kalam, dengan tarbiah imaniah yang mantap, penyusunan yang rapi dan kerja yang berterusan ini akan memacu kita menggapai redha Ilahi. Teruskan usaha ini tanpa mengenal rasa jemu. Amat berbaloi jika keletihan kita bermesyuarat, berprogram dan melakukan khidmat kepada masyarakat dalam rangka ubudiyah kepada Allah SWT. Selesai satu program, disusuli dengan program yang lain pula. Namun yang pentingnya program/projekyang dilaksanakan itu `fun', mendidik jiwa dan ada impak kepada masyarakat. insha Allah.

    Dalam surat Al-Insyirah Allah berfirman: Faidza Faraghta Fanshab (“Maka apabila kamu telah selesai dari satu urusan maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain”. (Al Insyirah: 7).

    menegaskan agar perintah Allah kepada nabi saw dalam melakukan aktivitas dan kerja tidak mengenal kata henti dan istirahat artinya bahwa setelah menunaikan tugas dan aktiviti maka cari aktiviti dan kerja lainnya..!! karena pada hakikat amal tak kan pernah selesai dalam kehidupan di dunia ini.. Selama hayat masih dikandung badan, sellagi mata masih berkelip; maka jangan pernah berhenti dalam beramal, berbuat, bekerja dan beraktiviti terutama untuk meraih dan menggapai pahala dan ridha Allah SWT.

    Al Faqir Ilallah,


    Sdr Solehuddin Shuib

    Pengerusi HALUANSiswa Nasional

    Shah Alam, Selangor

    11 Mac, 2010

    25 Rabiul Awwal, 1431H

    0 Responses to “Rasulullah SAW sebagai Qudwah Amaliyah Kita”

    Post a Comment

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com

    Subscribe