H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Friday, December 10, 2010

0

Perutusan Presiden HALUAN Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1432

  • Friday, December 10, 2010
  • aburidhwan
  • Share
  • Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

    Sidang hadirin dan pembaca sekalian, semoga kita semua berada di bawah payungan rahmat dan keimanan yang membulat kepada Allah SWT.

    Mengimbau kembali lipatan sejarah 1432 tahun yang lalu, Allah SWT telah mentakdirkan satu peristiwa hijrah yang besar dan teragung yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Pada tanggal 1 Muharram setiap tahun, umat Islam seluruh dunia akan memperingati dan meraikan peristiwa hijrah sebagai tanda permulaan tahun Islam.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur, dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (An-Nisa (4):100)

    Namun seramai mana umat Islam generasi kini dan akan datang dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa hijrah tersebut sebagai panduan meniti cabaran dunia yang semakin global dari segi kemanusiaan, peradaban, akhlak, kegawatan ekonomi mahupun pergolakan dunia yang semakin menuju kehancuran akibat pergolakan yang berlaku.

    Jika kita amati pengertian hijrah, ia berasal dari bahasa Arab hajara yang secara umumnya bermaksud pindah, keluar, migrasi atau meninggalkan satu daerah ke satu daerah yang lain atau berubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

    Sidang pembaca yang dihormati,

    Peristiwa hijrah ini memberikan suatu gambaran yang besar kepada gagasan perubahan dan transformasi yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW dalam meneraju perubahan ketamadunan yang lebih maju, sistematik dan diredhai oleh Allah SWT. Jika kita amati, peristiwa hijrah ini membawa kepada tiga perkara besar iaitu:

    1. Terbentuknya Perlembagaan Piagam Madinah yang menjadi dasar sistem peraturan yang diasaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam membina negara Islam yang pertama. Perlembagaan ini meliputi sistem kehidupan bermasyarakat yang bersistematik serta bertunjangkan ajaran Al-Quran. Malah ia bukan sahaja untuk orang-orang Muslim bahkan juga untuk orang-orang bukan Islam. Perlembagaan ini merupakan perjanjian yang dilakukan untuk tujuan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan ummah ketika itu.
    2. Rasulullah SAW telah membina sebuah masjid yang menjadi pusat pemerintahan yang utama. Di masjid inilah Rasulullah SAW meletakan titik asas kepada pengurusan kehidupan bermasyarakat. Masjid menjadi pusat utama beribadah kepada Allah SWT, pusat keilmuan untuk seluruh kaum Muslimin, pusat pengurusan organisasi yang efektif, pusat khidmat masyarakat, institusi pendidikan dan sebagainya.
    3. Pembinaan pasar di Kota Madinah telah memberikan suatu gambaran bahawa Rasulullah SAW telah memulakan asas kegiatan ekonomi bagi memacu perubahan pentadbiran yang lebih maju kehadapan. Perancangan menyuburkan aktiviti-aktiviti ekonomi memperlihatkan halatuju pembentukan Negara Islam pertama yang berpusat di Kota Madinah sebagai suatu bentuk hijrah yang syumul dan menyeluruh menjangkaui semua aspek kehidupan.

    Sidang pembaca yang budiman,

    Ibrah dan Iktibar Hijrah

    Peristiwa Hijrah yang sudah dilalui selama 1432 tahun seharusnya menyedarkan umat Islam agar menterjemahkan pengertian hijrah dalam kehidupan mereka supaya tahun baru sentiasa menjadi peritiwa penting.

    Sewajarnya Tahun Baru Hijrah menjadi detik merenung kembali perjalanan yang dilalui sejak setahun yang lalu dan menilai kembali aspek yang perlu dipertingkatkan serta perkara yang harus ditinggalkan agar lahir umat Islam yang memiliki keperibadian cemerlang.

    Sambutan tahun baru (Hijrah) digalakkan diisi dengan memohon ampunan kepada Allah SWT atas dosa lampau supaya Allah SWT membuka pintu taubatNya kepada hambaNya yang soleh. Ibadah juga perlu diperbanyakkan kerana insan unggul adalah insan yang mempunyai peribadi dan ibadah yang lebih baik berbanding masa lalu. Nilai ibadah perlu dipertingkatkan supaya rohani jasmani sentiasa hampir menginsafi diri. Ini sejajar dengan maksud hadis Rasulullah SAW:

    Tiap-tiap Bani Adam itu berbuat banyak kesalahan, tetapi sebaik-baik orang yang berbuat banyak kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

    Dalam konteks semasa, kita perlu jelmakan pengertian hijrah ini dalam kehidupan kita. Konsep hijrah ini harus dioperasikan dan dibumikan dalam perjalanan di dunia ini, sehinggalah kita dijemput bertemu dengan Allah SWT. Sikap untuk sentiasa berubah ke arah yang lebih baik harus dijadikan agenda penting dalam hidup umat Islam. InsyaAllah.

    Penutup

    Perubahan menuntut kepada pengorbanan yang cekal dan dipenuhi dengan pelbagai bentuk ujian serta cabaran. Marilah sama-sama kita hayati peristiwa hijrah ini dalam bentuk penghayatan melalui pergorbanan kita menegakkan din Allah SWT di muka bumi ini.

    Saya yakin, bertitik tolak daripada kefahaman yang jelas, kesedaran yang sentiasa membara di dalam jiwa, keyakinan yang mantap tanpa sebarang keraguan dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi, kita mampu menjelmakan perubahan yang sebenarnya terhadap diri kita, keluarga dan ummah seluruhnya. InsyaAllah.

    Berhijrah untuk mengapai keredaan Allah,

    Sekian,

    Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
    Presiden HALUAN Malaysia
    1 Muharram 1432 H

    0 Responses to “Perutusan Presiden HALUAN Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1432”

    Post a Comment

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com

    Subscribe