H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Sunday, February 28, 2010

0

Kejutan dan Ingatan

  • Sunday, February 28, 2010
  • aburidhwan
  • Minggu ini saya dapat satu mesej melalui Laman Sosial Networking yang saya miliki. Ia amat menghairankan dan mengejutkan. Mesej daripada seorang adik peserta kem rasanya, tetapi saya tidak pasti sekolah mana.


    Assalamualaikum

    Abang Ali Meninggal?

    Ramai kawan-kawan saya yang bagi tahu. Kami semua terkejut la. Ini nak Tanya betul atau tidak. Macam tidak percaya. Ada yang kata mereka dengar melalui pengumuman kat Sekolah. Ada kata tidak dengar apa-apa pun.

    Bila direnungkan kembali. Lucu pun ada. Kehairanan pun ada juga. Tetapi, bila direnungkan, saya tetiba teringkat satu hakikat yang sangat besar.Ia sangat mengerunkan. Iaitu sesuatu yang akan kita lalui.


    “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran ayat 185.)

    Saya teringat satu Kata-kata Ustaz Muhammad Najib Abdullah dalam satu penyampaiannya.Katanya simple tetapi dalam pengertiannya :

    “ Yang muda AKAN mati, dan yang tua PASTI mati.”

    Ertinya apa?

    Kita semua akan menemui Allah SWT. Namun bagaimana persiapan kita?

    As Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan :

    “ Semua manusia akan menemui kematian, dan mereka yang berjiwa besar adalah mereka yang mengolah seni kematiannya.”

    Benarlah kata para Ulamak :

    “ Jika engkau inginkan pengajaran, cukuplah kematian itu sebagai peringatan.”

    Saya tertunduk, insaf dan melihat diri saya sedalam-dalamnya.

    PERSIAPAN BERTEMU ALLAH SWT

    Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa salah satu cara untuk bersihkan hati yang berkarat ialah dengan mengingati mati. Ia bererti agar kita perlu sentiasa ingatkan diri tentang hakikat diri dan hakikat pengakhiran kita. Ke mana kita selepas ini?

    Kehidupan kita yang hanya avaragenya 60 – 70 tahun umur kehidupan, adalah untuk mengumpul bekalan sebelum saat-saat pertemuan dengan Allah SWT. Nilaian dan tempoh umur yang terlalu singkat inilah menjadi penentu kehidupan kita di akhir kelak. Soal pemilihan jalan hidup ketika ini, menjadi AGENDA yang penting dalam hidup.

    Saya inginkan kehidupan saya ini, kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT. Kehidupan yang dihiasi dengan keimanan dan kepergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Jalan hidup yang dilimpahi keberkatan dan keampunan Allah SWT. Dan yang terpenting jalan hidup yang boleh memberi manfaat kepada orang lain yang berada disekeliling saya.

    Jalan dakwah dan jalan tarbiyah adalah jalan kehidupan yang menjadi nadi kehidupan saya. Ia merupakan jalan yang menjadikan saya hamba rabbani yang sentiasa peka tentang keadaan diri saya dan sentiasa mempunyai hasrat dan perasaan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan diri saya. Bagi saya inilah sunnah Rasulullah SAW yang terbesar yang seharusnya kita ikuti.

    Jika kematian itu menjemput saya, biarlah dalam keadaan Allah SWT meredhai dan menerima saya sebagai hamba dhaif yang sentiasa patuh dan taat kepadanya.

    “ Ya Allah ya tuhanku, Engkau Ampunilah segala dosaku dan terimalah aku sebagai hambaMu. Ya Allah ya tuhanku, Engkau ambillah aku dalam keadaan Engkau meredhaiku dan janganlah Engkau membiarkan diriku ini dalam kelalaian dan kealpaan daripada mengingatimu.”

    MUHASABAH HARIAN

    Namun, jika direnungkan kembali ternyata banyak masa saya masih terluang dan dihabiskan dengan sia-sia. Banyak dosa saya kepada Allah SWT, kepada ibu bapa dan jua kepada manusia yang berada disekitar saya. Bayangkan jika kematian menjemput saya ketika ini?

    Ya Allah, kuatkan aku Ya Allah.
    Dosaku menggunung tinggi, tetapi rahmatmu melangit luas
    Walaupun taubat seringku mungkiri, tetapi pengampunanMu tidak pernah bertepi
    Ya Allah, pandanglah Aku
    Bimbinglah aku dan berikanlah Taufiq Hidayahmu kepadaku
    Berikanlah kesempatan hidupku ini, untuk mencari bekalan Taqwa
    Sebelum saat-saat pertemuanku dengan Mu
    Terimalah aku dalam keredhaan dan keampunanMu..

    P/S : Bulan lepas, seorang sahabat satu batch saya semasa saya di sekolah menengah telah dijemput oleh Allah SWT pulang ke rahmatullah.
    Siapa sangka usia yang muda begitu, sihat tanpa sakit akan menemui kematian. Peristiwa di atas memberi peringatan yang sangat berguna untuk hati saya.


    Oleh:

    Ustaz Ali Irfan Jamaludin

    Pengerusi HALUANSiswa Kelantan


    Read more...

    Thursday, February 25, 2010

    0

    Rasulullah saw Sebagai Suri Teladan

  • Thursday, February 25, 2010
  • aburidhwan

  • Tugas para Rasul ialah menyeru, menyedar dan membentuk manusia agar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Atau, dengan kata lain, mengajak dan membentuk keperibadian manusia agar tunduk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Tugas atau peranan ini dilaksanakan oleh para rasul terhadap umat masing-masing. Muhammad Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula melaksanakannya terhadap seluruh manusia.


    Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru) : Sembahlah Allah (sahaja) , dan jauhilah taghut itu. Manakala di antara umat itu ada orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakakan (rasul-rasul)
    (Surah An Nahl ayat 36)

    Al-Quran telah mengarahkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam supaya mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkahlaku dan akhlak manusia ke paras yang lebih tinggi dan mulia. Seterusnya, membentuk ummah dan membina daulah. Itulah hakikat Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.

    Hasilnya, dengan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala jua, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan Allah Subhanahuwata’ala. Akhlak dan keperibadian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    "Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya".
    (Surah Al Ahzab ayat : 21)

    PERANAN KITA KINI
    Dalam rangka mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, peranan kita kini ialah melaksanakan da'wah kepada Allah Subhanahuwata’ala kemudian berusaha membentuk ummah.

    Setiap individu muslim wajib melaksanakan tugas ini mengikut kemampuan dan keahlian masing-masing. Al Qur'an sangat menuntut kita agar melaksanakan kewajipan tersebut. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    "Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ."
    (Surah At-Taubah ayat : 71)

    Kewajipan itu tidak akan gugur ke atas setiap muslim selagi mana sistem ilahi tidak terlaksana di bumi. Selagi mana kemungkaran menodai syari'at Allah Subhanahuwata’ala sewenang-wenangnya dan selagi mana bumi Allah Subhanahuwata’ala tidak dapat dimakmurkan dengan amalan-amalan soleh maka selagi itulah kewajipan itu mesti dilaksanakan.

    UMAT ISLAM KEHILANGAN CONTOH YANG AGONG DARI RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM
    Umat Islam kini diselubungi jahiliyyah sebagaimana berlaku di zaman permulaan da'wah Islamiyyah dahulu. Jahiliyyah sudah menyerap ke dalam hati nurani, fikiran, perasaan, tindakan dan akhlak orang-orang Islam sendiri. Ini menyebabkan seolah-olah orang-orang Islam telah kembali ke zaman Jahiliyyah.

    Mujahid terkenal zaman ini, Sa'id Hawwa, dalam bukunya Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan, menerangkan tentang fenomena (irtidad) kembali ke zaman jahiliyyah telah berlaku di kalangan orang-orang Islam sendiri.

    Asy-Syahid Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa di zaman ini terdapat kalangan mereka yang mengakui keagungan Allah Subhanahuwata’ala, sekaligus mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah Subhanahuwata’ala dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan di alam ini.

    Inilah antara ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi jiwa, perasaan, pemikiran dan perilaku orang-orang Islam. Hal ini akan berlanjutan kiranya kita tidak berusaha untuk mengembalikan hakikat yang hilang daripada kita dan orang-orang Islam. Antara kehilangan yang besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Contoh yang agung, lengkap dan merangkumi semua ruang lingkup kehidupan.

    USLUB YANG MENCONTOHI RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM
    Di kalangan umat Islam terdapat mereka yang menyedari akan hakikat jahiliyyah yang menguasai dunia. Justeru itu, samada di dunia Islam atau di dunia bukan Islam, telah timbul berbagai-bagai gerakan Islam. Kebangkitan ini lahir daripada kesedaran bahawa umat Islam mesti berperanan dalam kepimpinan untuk menegakkan penyelesaian yang adil bagi menghadapi permasalahan atau krisis hidup manusia yang kian meruncing akibat ketidaksempurnaan sistem ciptaan manusia.

    Kebangkitan gerakan-gerakan Islam itu amat membanggakan. Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tentang uslub yang digunakan. Adakah gerakan-gerakan itu berpandukan kepada uslub yang telah dilalui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda Radhillahu’anhum? Uslub ini telah membawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda Radhiallahu’anhum mencapai kejayaan yang paling besar di sisi Allah Subhanahuwata’ala

    Mujahid Fathi Yakan menjelaskan bahawa uslub gerakan Islam adalah suatu yang susah ialah wujudnya berbagai-bagai aliran, khususnya, aliran-aliran yang menekankan aspek tertentu (yang juz'i) tanpa menekan sifat-sifat takamul (kesyumulan Islam) yang sebanarnya. Penekanan secara juz'i cepat sekali berkembang. Sebenarnya amal juz'i adalah amal yang senang dan cepat berkembang, tetapi cepat pula gagal apabila menempuh suasana yang menekan. 'Amal Kulli, 'Amal Islam yang Kamil, 'Amal yang Mutawazin dan menyeluruh berlandaskan contoh kepimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam merupakan 'amal yang agak lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar. Ini kerana ia melalui proses yang terperinci berserta matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan, bukan untuk menampung mana-mana yang bocor dan berlubang.

    NATIJAH KEPIMPINAN DAN CONTOH RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM
    Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memperlihatkan 'Amal Kulli dan Mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahu pun dari sudut siasi.Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur'an sentiasa mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasulNya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana. Mereka tetap beradab dengan Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting. Contohnya dalam satu peperangan Allah Subhanahuwata’ala menceritakan keadaan mereka:

    "Tiada do'a mereka selain daripada ucapan: Ya Rabb kami ampunilah akan dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan yang berlebih-lebihan, tetaplah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir."
    (Surah Ali Imran ayat : 147)

    Betapa tinggi adab mereka dengan Allah Subhanahuwata’ala . Mereka tidak meminta sedikit pun nikmat kesenangan pahala dan balasan dunia. Mereka hanya meminta supaya Allah Subhanahuwata’ala mengampunkan dosa-dosa mereka dan menetapkan pendirian mereka serta memberi pertolongan ke atas meraka terhadap orang-orang kafir. Tindakan mereka itu menterjemahkan keyakinan mereka kepada pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Mereka mengambil Rasul sebagai contoh untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.

    TUNTUTAN BERIMAN KEPADA RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM
    Apabila kita beriman kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam , wajiblah kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, malu, segan, berat atau susah. Juga tanpa mempertimbangkan samada sesuai atau pun tidak sesuai. Jika kita ragu, membantah dan melaksanakan sebahagian sahaja suruhan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka keadaan ini sudah tentu berlawanan dengan keimanan, ikrar, janji dan bai'ah kita kepadanya. Sesungguhnya keimanan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    "Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat."
    (Surah Ali 'Imran ayat : 132)

    "Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
    ( Surah Ali 'Imran ayat : 31)

    Jalan untuk mencintai Allah Subhanahuwata’ala ialah mengikuti Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya.

    Kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mestilah diterjemahkan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang disukai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan menjauhi apa yang tidak disukainya.

    GENERASI ISLAM PERTAMA (CONTOH KITA)
    Generasi Islam pertama juga merupakan contoh kita. Mereka telah dididik dan dipimpin oleh baginda yang melalui proses tarbiyyah yang tersusun rapi. Pada diri mereka telah lahir contoh yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahu pun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam hidup mereka.

    Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat `nur' yang terpancar dari sinar al-Quran yang menjadi dustur hidup mereka.
    Pendekatan mereka kepada al-Qur'an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayatinya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala yang besar di bumi.
    Al-Qur'an membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan dibimbing supaya tidak melewati batas-batas Allah Subhanahuwata’ala

    PENUTUP
    Tuntutan kefahaman terhadap kerasulan Muhammad S.A.W. dan keimanan kepadanya ialah mencontohi dan mengikuti kepemimpinannya. Seandainya umat Islam tidak kembali kepada hakikat ini, umat Islam akan terus menjadi seperti buih di permukaan air. Umat Islam tidak akan menjadi arus yang kuat untuk menumpaskan jahiliyyah.

    Rujukan: Bahan Risalah HALUAN
    Read more...

    Saturday, February 20, 2010

    0

    Hidup Untuk Sesuatu Yang Tinggi Dan Mulia

  • Saturday, February 20, 2010
  • aburidhwan

  • Bagi seseorang yang ingin mendaki puncak tertinggi (katakanlah gunung Kinabalu), tentu dia bersedia untuk menempuh berbagai macam halangan; nyamuk, serangga berbisa, onak dan duri mungkin tidak dianggap sebagai masalah atau rintangan kerana jiwanya benar-benar telah bersedia untuk itu semua. Sebahagian besar rintangannya mungkin dianggap biasa dan ringan. Bahkan jiwanya bersedia untuk sesuatu yang lebih besar dan luar biasa; tersesat, terjatuh dan patah tangan atau kaki, kehabisan makanan dan minuman serta kelaparan berhari-hari dan sebagainya. Hatinya sentiasa membayangkan puncak yang bakal ditawannya; kepuasan, kebanggaan dan segala macam perasaan yang bakal dikecapinya. Segala keupayaan fizikal dan mentalnya ditingkatkan dari semasa ke semasa. Dia akan sentiasa memastikan kesihatannya baik dan sesuai dengan perjalanan yang bakal ditempuhinya.

    Bagi seseorang yang hanya ingin berehat dan tidak ada apa-apa yang ingin dilakukan selain tidur, makan sambil berehat untuk menghabiskan masa cutinya, tidak akan sanggup untuk berdepan dengan apa-apa masalah. Nyamuk yang terngiang-ngiang ditelinganya ditampar dengan penuh rasa benci dan marah. Jika ada sedikit kekurangan dan masalah, dihadapinya dengan penuh kekecewaan dan sakit hati. Kalau tiba-tiba bekalan air dirumahnya terputus maka dia akan marah-marah dengan wajah yang sangat tidak menyenangkan. Segala masalah-masalah kecil dianggap besar kerana jiwanya mengharapkan keselesaan, kerehatan dan kesenangan.

    Apa yang membezakan dua golongan tadi? Perbezaannya cuma satu tetapi menghasilkan tingkahlaku dan sikap yang terlalu jauh berbeza. Salah seorangnya mengharapkan sesuatu yang tinggi manakala seorang lagi mengharapkan kemudahan dan kesenangan.

    Yang membezakan kita ialah apa yang kita cita-citakan atau harapkan di dalam kehidupan kita. Jika kita hidup untuk sesuatu yang tinggi dan mulia maka kita bersedia untuk berdepan dengan berbagai masalah-masalah besar dan berat. Bahkan kita memandang ringan sesuatu yang dirasakan oleh orang lain besar. Yang terlintas difikiran kita ialah cabaran dan rintangan maka kita sentiasa meningkatkan diri kita untuk berdepan dengan apa saja yang bakal menghalang tercapainya cita-cita tinggi kita itu.

    Bagi seseorang yang hidup untuk sesuatu yang bersifat rendah dan murahan maka persediaan jiwanya terlalu minima. Dia akan kecewa hanya kerana satu halangan kecil, dia merasakan besarnya sesuatu masalah hanya kerana tidak tercapainya keinginan dirinya. Jiwanya sarat dengan kelemahan, kekecewaan, ketidakpuasan, ragu-ragu dan takut. Kehidupannya dirasakan terlalu membebankan jiwanya. Ketika hidupnya diselimuti kemewahan dan kesenangan maka gembira dan bahagianya bukan kepalang tetapi apabila sekali sekala musibah melanda maka dia tiba-tiba hilang keperibadian dan arah tujuan lalu bertindak semborono tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain, hingga lupa batasan antara haknya dan hak orang lain. Fikirannya sentiasa mencari jalan singkat untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. Jika jalan singkat itu tidak ditemuinya maka jiwanya menjadi terlalu lemah, harapannya hampir padam dan keputus asaan menguasai dirinya.

    Oleh itu hiduplah untuk sesuatu yang tinggi dan mulia agar kita memiliki ketinggian jiwa dan harapan. Kita tidak mampu menentukan rintangan hidup yang bakal kita tempuhi tetapi kita mampu menyediakan kekuatan jiwa dan mental untuknya. Dengan persediaan ini kita mengatur usaha dan harapan kita sambil kita melemparkan jauh-jauh segala kekecewaan dan keputus asaan. Kita sentiasa menanti hari esok dengan penuh harapan dan persediaan.

    Mereka yang dididik oleh Rasulullah SAW telah meninggalkan kehidupan yang hina dina kepada suatu kehidupan yang tinggi dan mulia. Mereka melihat kehidupan ini dengan jiwa yang hidup. Dengan ketinggian jiwa dan kemuliaan mereka mula mengorak langkah dalam dunia yang padat dengan fitnah dan cubaan. Mereka tidak pernah mengenal kecewa dan putus asa. Ketinggian jiwa yang dibekali keyakinan kepada apa yang dijanjikan Allah menjadikan mereka manusia baru dengan jiwa baru. Jiwa yang penuh dengan keimanan dan tersedia dengan segala kekuatan, lalu dengan jiwa ini mereka menempuh gelombang hidup jahiliyyah yang tidak mengenal kemanusiaan dan tolak ansur. Dengan jiwa ini mereka mencorakkan sejarah baru untuk umat selepas mereka.

    Oleh: Cikgu Azmi Bahari (Perunding Motivasi HALUAN)

    Read more...

    Monday, February 15, 2010

    0

    Hati Yang Hidup

  • Monday, February 15, 2010
  • aburidhwan

  • Alhamdulillah saya masih diberikan kesempatan untuk mencoretkan coretan yang saya sedari masih terlalu banyak kecatatan serta kelemahan dalam lapangan penulisan ini, tetapi ini tidak akan menjadi penghalang untuk menegakkan al-haq ( kebenaran ).

    Pembaca yang budiman,

    Pada tulisan saya yang lalu kita telah membincangkan mengenai hati, hati manusia mempunyai tiga keadaan dan kita yang perlu memilih yang manakah keadaan hati kita idamkan.

    HATI YANG HIDUP

    Pemilik hati yang hidup adalah mereka yang sentiasa perihatin dan membuat medical check-up terhadap hati mereka. Pemilik hati-hati ini merasai kelazatan beribadah kepada Rabb sekalian alam pada masa yang sama ada hati-hati yang terasa berat untuk melaksanakan ibadah kepadanya. Ciri-ciri hati yang sihat adala mereka yang ringan untuk melakukan ibadah, seperti melakukan qiamullail di saat manusia lain asyik melayani mimpi dan ringan untuk melakukan kebaikan. Ciri-ciri hati seperti ini adalah mereka yang ringan melakukan kebaikan kerana Allah. Ciri yang berikutnya ialah, hati-hati ini mudah untuk meninggalkan larangan Allah dan langsung tidak terlintas untuk melakukan perkara tersebut. Sebagai contoh, para sahabat generasi alquran yang unik, ketika turunnya wahyu tentang wajib menutup aurat,

    Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya* ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (surah Al-ahzab, ayat 59).

    Jilbab adalah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepala dan dada. Para sahabat, tanpa banyak soal hanya mendengar dan taat, para sahabat terus berlari pulang ke rumah bagi mendapatkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka, mereka ambil apa sahaja jenis kain bagi menutup aurat-aurat yang selama ini tidak perlu ditutup. Dalam riwayat yang lain mereka mengambil kain-kain termasuk kain langsir dan dibalut di atas kepala mereka. Pada waktu itu pemandangan di kota Makkah hitam seperti ribuan burung gagak, padahal itu adalah wanita-wanita solehah yang bakal menghuni syurga Allah.tidak ada seorangpun diantara mereka menyoal mengapa perlu menutup auarat. Ini adalah bukti hati yang hidup, mereka senang melakukan perintah-perintah Allah. Iman mereka yang kuat mengawal hawa nafsu mereka. Tetapi kita pada hari ini songsang, iaitu nafsu mengawa iman kita.

    Mari kita lihat contoh kedua, sememangnya kita tahu masyarakat arab amat sinonim dengan arak, seolah-olah minuman arak dengan mereka tidak boleh dipisahkan seperti kuku dengan kulit. Setiap kali ada majlis keraian, majlis tersebut tidak sepumpurna jika tiadanya arak. Masyarakat arab ini juga menyifatkan bahawa dengan meminum arak itu adalah bukti seorang lelaki sejati.lihatlah bagaimana kuatnya pengaruh arak dalam kehidupan mereka. Tetapi apabila wahyu tentang pengharaman arak turun,

    “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya setan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).(surah Al-maidah ayat 90-91)
    . Dalam satu riwayat menyatakan apabila turun sahaja ayat ini, seluruh tanah di bumi makkah itu menjadi basah dengan arak. Selesai sahaja Rasulullah membacakan ayat ini, para sahabat berlari pulang ke kediaman masing-masing dan memecahakan tempayan-tempayan yang penuh dengan arak. Ada sahabat yang lain sedang asyik meminum arak apabila sampai ayat ini ke ear drum mereka , dengan pantas membuang arak yang ada didalam mulut dan perut dengan memuntahkan arak yang ada. Lihatlah wahai saudaraku sekalian, betapa kuatnya iman sahabat Rasulullah. Mana mungkin seorang yang sedang asyik minum arak sanggup memuntahkan kembali arak yang telah diminum dan dipecahkan tempayan arak yang ada dirumahnya, tetapi inilah yang sahabat lakukan! Betapa hebatnya mereka, ini merupakan satu bukti yang nyata tentang orang-orang yang memiliki hati yang hidup. Ini juga menjadi satu tamparan bagi diri deenworker dan anda semua. Marilah sama-sama kita intropeksi diri bagaimanakah keadaan hati kita pada hari ini.

    Oleh:
    Syed Hassan Al Haddad
    Ahli HALUANSiswa Kelantan
    Read more...
    0

    Beraqidah Sejahtera Sepanjang Hayat

  • aburidhwan

  • Akhir-akhir ini masyarakat Islam dikejutkan dengan kebenaran mahkamah menggunakan orang menggunakan nama Allah di dalam penerbitan mereka. Rata-ratanya ramai umat Islam bangkit dan menyuarakan rasa tidak senang dan melakukan bantahan. Ini adalah sesuatu yang positif kerana ummat Islam prihatin dengan agama kita.

    Setelah merujuk para alim ulama’ dapatlah disimpulkan di sini bahawa walaupun dari segi hukum, tidak ada apa-apa masalah bagi golongan Kristian menggunakan nama Allah SWT, namun kita perlu melihat hal ini dengan lebih objektif. Sebenarnya mereka berniat jahat, untuk mengelirukan ummat Islam yang jahil. Rata-ratanya ummat Islam hari ini tidak kenal siapa Allah, tidak kenal siapa Rasulnya, tidak kenal sahabat-sahabat Rasul, tidak kenal para ulamaknya. Justeru itu wajar jika penggunaan nama Allah ini tidak dibenarkan menurut kaedah dalam Islam ‘Saddu az zara’ik’. Islam menutup ruang-ruang yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mengelirukan umat Islam.

    Dalam konteks kita pula, para mahasiswa Islam yang ada perlu menguatkan aspek dalaman. Kekalahan yang utama ialah kekalahan dari dalam diri. Sebagai tindakan kita dalam masa yang terdekat ini ialah:

    a. Kita perlu jelas akan hakikat keimanan, tauhid al Rububiyah, tauhid al -uluhiyah dan tauhid asma’ was sifat. (http://www.manhajqurani.blogspot.com/)

    b. Kita perlu mengajak masyarakat kampus agar dapat menghidupkan cara hidup Islam yang syamil dan kamil. Agar kita semua tidak memahami Islam secara tradisi. Hakikat Islam yang syumul ini telah sama-sama kita pelajari dalam usul isyrin oleh IHAB.

    Bahan-bahan asas fikrah ini perlu kita baca, ulangi berulang kali dan hadamkan di dalam diri agar dapat kita sampaikan kepada orang lain dengan penuh keyakinan. Jika dahulunya, apa-apa bahan fikrah kita dapat ianya dirakam, didengar berulang-ulang kali, disalin semula menggunakan word type writer/word processor, dan seterusnya disebarkan dalam bentuk manshurat kepada masyarakat kampus dan orang ramai.

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabab kepada semua fasilitator Haluansiswa yang meluangkan masa membantu program Jatidiri sejak 24 Disember, 2009-7 Februari, 2010. Program 10 modul dengan kehadiran 185 orang peserta sepanjang 47 hari ini adalah julung kali kita lakukan. Tentulah ianya merupakan suatu yang amat mencabar. Daya tahan kita akan diuji, mental kita akan diuji, ukhuwwah kita akan diuji, amal jamaiyy kita akan diuji. Inilah tarbiah ‘amaliyah yang kita perolehi apabila kita melaksanakan projek besar ini. Hanya Allah SWT-lah yang akan mengganjari pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang diberikan. Daripada maklumbalas yang saya perolehi daripada peserta dan ibubapa, kursus ini telah banyak mengubah peserta dari pelbagai sudut, alhamdulillah. Ada yang sebelum ini merokok, telah berjaya meninggalkan ketagihan rokok. Ada yang tidak solat penuh, berazam kepada ibubapa mereka untuk solat cukup lima waktu. Inilah natijah yang sedikit yang Allah SWT berikan berkat kegigihan kita semua. Sabda Nabi SAW:

    `Sekiranya Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan usaha kamu, pahalanya lebih baik daripada dunia dan segala isinya’

    HR At-tobrani

    Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Siswa dan Siswi Haluan yang bertungkus lumus membantu aktiviti jamuan makan malam Gaza tidak dilupakan dan juga perhimpunan perdana. Isu Palestin adalah isu aqidah. Isu inilah yang menyatukan ummat Islam seluruhnya, insha Allah. Marilah sama-sama kita tidak jemu-jemu memperjuangkan isu ini sehinggalah Al-Aqsa dapat dibebaskan oleh zionis terlaknat itu.

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Saya ingin mengulangi kepada sahabat/ah sekalian agenda penting kita pada tahun ini. Ianya dapat diringkaskan seperti berikut:

    a. Pembinaan kepimpinan Haluansiswa dengan ciri-ciri kepimpinan Islam.

    b. Pembinaan Haluansiswa yang menguasai toroiq(jalan-jalan) tarbiah,

    c. Perlaksaaan projek pertambahan ahli baru Haluansiwa menerusi dakwah ‘ammah dan dakwah fardiah secara terancang di lokaliti masing-masing.

    Ketiga-tiga agenda ini perlu diperhalusi dan dilaksanakan di tempat masing-masing. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita semua.

    Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

    Ustaz Fathi Yakan di dalam kitabnya, Apa erti saya menganut Islam ada menyatakan bahawa: Intima kita dengan Islam ini adalah intimak aqidi dan masiri. Maknanya kerja-kerja ubudiah ini ianya berkait dengan aqidah dan perlu dilakukan dengan istiqomah sehinggalah kita dipanggil pulang berjumpa dengan Allah SWT. Semoga kita tidak menjadi da’i dan murabbi yang terlibat dengan kerja-kerja ini semasa di kampus sahaja. Apabila sudah tamat pengajian, mendapat pekerjaan baru, dan berumah tangga, kerja-kerja mulia ini ditinggalkan.

    Firman Allah SWT di dalam surah Muhammad ayat 38 yang bermaksud:

    Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

    Akhir kata, semoga Allah SWT memberi kita semua tenaga untuk kita terus iltizam dan istiqomah di atas jalan dakwah, tarbiah dan jihad ini.

    Al Faqir Ilallah,
    Sdr Solehuddin Shuib
    Pengerusi HALUANSiswa Nasional
    Shah Alam, Selangor
    1 Februari, 2010
    16 Safar, 1431H
    Read more...

    Wednesday, February 10, 2010

    0

    Kem Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja 2009-2010 Melabuh Tirai

  • Wednesday, February 10, 2010
  • aburidhwan

  • Kem Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2010 (JATIDIRI) telah melabuhkan tirainya pada 7 Februari 2010. Seramai 190 peserta lepasan SPM 2009 dari pelbagai sekolah telah berkampung di Kelantan semenjak 47 hari yang lalu. Sejumlah 10 modul yang meliputi aspek ruhiyah, dakwah, tarbiyah, kepimpinan, kemahiran keinsanan, pengurusan diri, pengurusan masa, rekreasi, kerjasama berpasukan, khidmat masyarakat dan lain-lain telah dilalui oleh para peserta di sepanjang program berlangsung.

    Majlis Penutup Kem JATIDIRI telah diadakan di Dewan Besar Kolej Teknologi Darulnaim pada Ahad, 7 Februari 2010, 11.00pagi. Program penutup ini turut dihadiri oleh para ibu bapa peserta, aktivis HALUAN dari Kelantan dan luar Kelantan, Kepimpinan HALUAN Kelantan dan HALUAN Pusat, wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan para tetamu jemputan.

    Program dimulakan dengan perkongsian pengalaman dari Tn Hj Noorazman Mohd Samsudin, Ketua Biro HALUAN Palestin, yang telah menyertai Misi Viva Palestina dan telah berjaya menjejaki kaki ke Gaza Palestin dalam misi tersebut.

    Sesi penutup Kem JATIDIRI ini tentu tidak akan dapat dilupakan oleh para peserta apabila mereka berpeluang bersua muka dengan 2 orang ulama dari Rabithah Ulama Palestin iaitu Syeikh Abu Bakar, Penasihat Kanan Rabithah Ulama Palestin dan Syeikh Abu Ahmad, Koordinator Bantuan Rabithah Ulama Palestin. Dewan utama Kolej Teknologi Darulnaim bergema dengan nyanyian nasyid Untukmu Palestina oleh para peserta dan tetamu yang hadir. Program diteruskan dengan ucapan aluan dari Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman yang berharap agar para peserta Kem JATIDIRI dapat membawa pulang bekalan yang sebaiknya di sepanjang kem berlangsung dan tidak ada bekalan yang paling baik melainkan bekalan Iman.

    Sesi diteruskan dengan penyampaian tazkirah ringkas oleh Syeikh Abu Bakar yang berkongsi perasaan, harapan dan pesanan-pesanan yang dapat membakar jiwa muda para peserta Kem JATIDIRI. Menariknya para peserta juga turut serta menyumbang ke tabung Palestin yang disediakan oleh pihak penganjur.

    Majlis Penutup telah disempurnakan oleh YB Abdul Fattah Mahmood, Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan.

    HALUAN dan Kolej Teknologi Darulnaim mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu menjayakan pelaksanaan Kem JATIDIRI 2010, khususnya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada HALUAN dan KTD menganjurkan kem ini. HALUAN Pusat secara khusus mengucapkan tahniah, syabas dan jutaan terima kasih kepada HALUAN Kelantan yang dipimpin oleh Tn. Hj Mohd Nasir Saat dan kakitangan dari Kolej Teknologi Darulnaim yang bertungkus lumus mengurus di perjalanan kem berlangsung. Hanya Allah swt sahaja yang layak mengurniakan kebaikan dan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada anda semua.

    Kepada para peserta diharapkan anda semua dapat menghayati dan memanfaatkan segala ilmu, kemahiran, pengalaman dan kebaikan yang ada di sepanjang anda melalui kem ini. Semoga terbina jati diri yang sebenar sebagai pemuda dan pemudi harapan Islam.
    Read more...

    Tuesday, February 2, 2010

    0

    HALUANSiswa Menjayakan Seminar Bersama Pelajar di Bachok & P.Puteh

  • Tuesday, February 2, 2010
  • aburidhwan
  • BACHOK, 27 Januari - HALUANSiswa telah bersama dengan lebih dari 300 pelajar dari SMU (A) Nurul Falah, Cherang Ruku Pasir Puteh dan Maahad Yaakubiah, Bachok Kelantan dalam program Seminar Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji yang telah diadakan di sekolah masing-masing pada 27 Januari 2010 yang lalu.

    Seminar yang dianjurkan oleh HALUAN dan Kolej Teknologi Darulnaim dibantu oleh fasilitator dari HALUANSiswa diadakan dalam rangka membantu meningkatkan potensi dan motivasi peserta dalam pelajaran. Di samping itu diharapkan melalui perkongsian ilmu tersebut akan dapat membangkitkan kesedaran dan kefahaman pelajar agar turut mengambil berat dalam aspek pembinaan akhlak dan jatidiri pelajar supaya seiring dengan kecemerlangan akademik.

    Seminar tersebut yang dijalankan serentak di dua buah sekolah tersebut turut dihadiri oleh 60 peserta dari Kem Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2010 anjuran HALUAN dan Kolej Teknologi Darulnaim dengan kerjasama JAKIM yang telah bermula sejak Disember 2009 yang lalu.

    Di SMU (A) Nurul Falah, Cerang Ruku, penceramah motivasi HALUAN yang tidak asing lagi, Tn Hj Rosdi Baharom telah menyampaikan ceramah beliau yang memberikan penekanan kepada halatuju dan sikap pelajar muslim yang sebenar. Beliau juga menyeru pelajar agar sentiasa memiliki matlamat yang jelas dalam kehidupan. Manakala di Maahad Yaakubiah, sesi motivasi telah disampaikan oleh Sdr. Mohd Razali Maarof, Ketua Biro Latihan HALUAN Pusat. Beliau juga turut mengajak para peserta untuk mensyukuri nikmat yang Allah berikan menjadi seorang penuntut ilmu dan mengajak para peserta serius dalam pelajaran mereka kerana arus untuk mengajak mereka leka dan lalai dari matlamat sebenar sebagai penuntut muslim amat kuat.















    Di sesi kedua, para peserta telah dibahagikan dalam kumpulan dan menyertai latihan Dalam Kumpulan dan sesi pembentangan yang turut dibantu oleh para fasilitator dari Kelab Siswa HALUAN dan para peserta kem JATIDIRI. Para peserta begitu teruja dan merasa seronok disepanjang program berjalan sehinggakan masa program terpaksa dilajakkan sejam lagi.

    Respon dari pihak sekolah amat baik dan berharap agar program-program sebegini dapat diadakan lagi bagi membantu para pelajar luar bandar khususnya memperbaiki prestasi pembelajaran mereka.
    Read more...

    Monday, February 1, 2010

    0

    HALUANSiswa: Kenali Kami

  • Monday, February 1, 2010
  • aburidhwan
  • Kami adalah sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi yang mencintai keamanan, kesejahteraan dan kedamaian. Kami ukirkan sebuah pengharapan yang menjulang tinggi agar suatu masa nanti dunia yang didiami ini akan dinaungi di bawah payungan keislaman yang sebenarnya.

    Kami adalah pemuda pemudi yang merindui suasana- suasana yang boleh menghidupkan hati. Maka kami berusaha keras menghidupkan kehidupan kami dengan biah yang soleh (suasana yang baik). Kami kerahkan kudrat tenaga, pemikiran dan korbankan masa dan wang kami untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang sesuai dengan batasan syara’. Tiada yang lebih baik dalam hidup jika seluruh orientasi kehidupan difokuskan sebagai medan ubudiyyah kepada Allah SWT.

    Kami ialah barisan mahasiswa dan mahasiswi yang inginkan kehidupan yang disinari dengan cahaya keimanan yang pastinya akan menghidupkan jiwa-jiwa kami. Cahaya yang terang benderang yang akan memancarkan sinar kebahagiaan dan ketenangan untuk kami lalui kehidupan ini dengan keredhaan Allah SWT. Inilah kemuncak cita-cita dan impian kami.

    Kami semua adalah saudara dan saudari kalian. Mencintai kalian kerana Allah SWT. Kami ingin menyeru dan mengajak kalian daripada kesempitan jahiliyah kepada keluasan Islam dan hidayah Allah SWT. Kami mengasihi kalian sepenuh jiwa dan perasaan kami dan ingin bersama-sama seluruh ummah ini mempertahankan Islam sehingga ke akhir hayat kami.

    Kami adalah pemuda pemudi yang ingin mencontohi Generasi Awal yang dididik di bawah didikan Madrasah Rasulullah SAW. Generasi yang menjadi Qudwah utama dalam mempraktikan dan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup. Mereka inilah yang sewajarnya dicontohi dari segi akhlak terpuji, semangat juang mempertahankan Islam, kesungguhan dalam beramal ,keseriusan dalam berdakwah dan tekad dalam berpegang menghayati Islam. Cita-cita kami ingin menjadi seperti mereka dari semua aspek kehidupan. Mereka inilah Generasi Al-Quran yang unik.

    Kami adalah generasi mahasiswa mahasiswi yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam menjalani kehidupan. Kami berazam dengan keazaman yang membulat tinggi untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan kami dengan bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah yang benar dan sahih. Inilah sumber rujukan utama dan hanya inilah rujukan kami dalam memahami dan menghayati Islam sebagai panduan kehidupan.

    Inilah, kami. Walaupun diri kami ini dipenuhi dengan kekurangan dan kelemahan, akan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menajamkan potensi diri, mempertingkatan kualiti hati dan menggilap kecerdasan emosi ke tahap yang tertinggi. Kami bertekad untuk bersama-sama dengan teman-teman dalam perjuangan untuk komited dalam proses pembangunan diri melalui proses Dakwah dan Tarbiyah yang akan memacu kecemerlangan diri kami di dunia akhirat.

    Kami ingin cemerlang dalam menuntut Ilmu.
    Kami berhasrat untuk berakhlak dengan sebaik sahsiah terpuji.
    Dan Kami ingin memanfaatkan kehidupan kami untuk pembangunan dan perjuangan Islam.
    Inilah kami, dan siapa pula anda ???

    Mahasiswa/i HALUANSiswa
    Read more...

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com

    Subscribe