H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti
Sunday, May 23, 2010
Memantapkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamu’alaikum wbth.
Pengerusi Majlis, pimpinan Exco HALUAN Pusat, para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian.
Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subha Nahu Wa Taala kerana mengizinkan kita untuk menjayakan mesyuarat perwakilan tahunan HALUAN kali ke-21 pada tahun ini. Selawat dan salam kita sampaikan kepada junjungan yang mulia, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam, keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang berada di jalan dakwah.
Pertama-tamanya marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subha Nahu Wa Taala kerana di atas keizinan-Nya dan limpah kurnia-Nya maka mesyuarat agong HALUAN kali yang ke 21, 2010 dapat diadakan. Selawat dan salam kita tujukan kepada junjungan besar kita kekasih kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam, keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga ke hari kiamat. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang merupakan rasul da’wah dan tarbiah. Peribadi baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah peribadi contoh yang terbaik sepanjang zaman.
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah Subha Nahu Wa Taala dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah Subha Nahu Wa Taala banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" (Al-Ahzab : 21)
Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran barisan exco HALUAN sesi 2009-2011, para perwakilan negeri, para pemerhati dan seterusnya ingin mengucapkan jazakumullahu khairan katsira serta merakamkan jutaan terima kasih di atas komitmen dan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli HALUAN. Semoga pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang telah dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Subha Nahu Wa Taala.
Sidang perwakilan yang dikasihi,
Pada peringkat awal penubuhan, aktiviti HALUAN terbatas kepada usaha-usaha kebajikan untuk manfaat ahli-ahli. Di peringkat ini, aktiviti-aktiviti HALUAN tertumpu kepada program-program seperti seminar dan kaunseling pelajar dan remaja, pendidikan keluarga, kursus-kursus berkaitan ekonomi dan keusahawanan, dan juga kem-kem motivasi dan pengurusan. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut juga melibatkan masyarakat umum bukan dari kalangan ahli, ianya agak terbatas.
Namun sejak tahun 2002, dengan peningkatan keahlian dan kemampuan ahli HALUAN terbentuk dengan baik, HALUAN mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Perkembangan terancang ini melibatkan aktivis-aktivis HALUAN turun membantu mengubati masalah-masalah sosial, di samping bantuan-bantuan kepada masyarakat miskin, yang terabai, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan seumpamanya. Usaha ini juga dapat memberi ruang kepada mereka yang mampu dan ikhlas dari kalangan masyarakat untuk menjadi relawan bersama HALUAN dengan usaha yang kemas dan tersusun. Allah Subha Nahu Wa Taala telah membantu kita dalam meluaskan lagi lapangan usaha kita. Inilah yang dikatakan oleh Allah Subha Nahu Wa Taala sebagai bantuan-Nya.
”Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Taala, maka Allah Subha Nahu Wa Taala akan memberikannya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak akan mampu dijangka”
(Surah At-Talaq: 2-3)
Alhamdulillah, perkembangan ini telah menunjukan satu petunjuk yang positif dan kini HALUAN semakin dikenali sebagai sebuah badan NGO yang bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Dengan perkembangan yang sihat ini, kita sebagai ahli HALUAN harus melihat segala perancangan, perkembangan dan perlaksanaan gerak kerja dengan lebih teliti dari aspek dalaman dan luaran kita.
Dengan menggunakan segala yang telah Allah Subha Nahu Wa Taala bukakan kepada kita ini, hal itu sendiri adalah manifestasi kesyukuran. Kita tidak mahu bersyukur sekadar bicara, yang akhirnya hanya akan bertukar menjadi berbangga-bangga sahaja. Akan tetapi kita mahu bersyukur dengan amal. Semoga Allah Subha Nahu Wa Taala redha dan menambah lagi kekuatan serta nikmat yang diberikan-Nya kepada kita.
”Dan ingatlah ketika Rabb kamu memberitahu: Sekiranya kamu beryukur, maka aku akan tambahkan untuk kamu (nikmatKu)...” (Surah Ibrahim:7)
Para perwakilan yang saya muliakan,
Di dalam perkembangan sebuah organisasi, setiap perancangan dan perkembangan organisasi harus dilihat secara teliti dan dinilai dari semasa ke semasa. Justeru, pada ucapan dasar pada kali ini saya ingin ajak semua ahli HALUAN untuk kita melihat secara lebih mendalam dan serius berkaitan dengan tema ucapan dasar kali ini iaitu “Memantapkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti.” Dalam ucapan dasar ini, terdapat empat (4) aspek penting yang akan kita lihat berdasarkan tema yang telah dinyatakan sebentar tadi. Empat (4) elemen yang saya maksudkan itu ialah mantap, kualiti, pertingkatkan dan kuantiti.
Menurut kamus dewan edisi keempat, mantap membawa maksud tabah hati, tetap hati, manakala kualiti pula membawa erti tahap kecemerlangan yang tinggi. Pertingkatkan pula berasal daripada perkataan tingkat. Manakala, maksud kuantiti pula ialah jumlah banyaknya sesuatu.
Secara umumnya dapatlah kita fahami di sini ialah, Memantapkan kualiti dan mempertingkatkan kualiti membawa maksud memperkuatkan kecemerlangan yang sedia ada dan menambah angka kekuatan kita baik dari segi ahli mahupun gerakerja.
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Secara lebih mendalam, aspek ”memantapkan kualiti” merupakan aspek dalaman HALUAN iaitu tarbiah atau pendidikan itu sendiri. Dengan erti kata lain, ia adalah pemantapan dari segi keanggotaan ahli HALUAN sehingga tersedianya pekerja-pekerja yang mencukupi dari pelbagai aspek kemahiran, kepakaran dan keupayaan.
Sebagai sebuah badan NGO yang berteraskan Islam, HALUAN menjadikan proses pendidikan Islam yang bertunjangkan Al Quran dan As-Sunnah sebagai parameter kualiti ahli-ahlinya. Kualiti inilah yang menjadikan kualiti utama yang dinilai serta menjadi neraca yang dititik beratkan Islam. Di dalam sejarah perkembangan Islam di peringkat awal, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah menjadikan proses didikan Islam atau Tarbiah Islamiah sebagai teras utama untuk mendidik generasi para sahabat RA sehingga mereka lahir sebagai generasi yang hebat dan diiktiraf oleh Allah Subha Nahu Wa Taala sebagai generasi Al-Quran yang unik.
Abu Hurairah meriwatatkan bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:
“Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang teguh dengannya, maka kamu tak akan sesat buat selama-lamanya. Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya” (Hadis Riwayat Imam Malik)
Kepentingan kualiti ahli yang bermutu dan mampu bekerja dengan kekuatan serta pelbagai kemahiran sangat-sangat diperlukan oleh HALUAN bagi menampung keperluan semasa yang semakin mendesak dewasa ini. Namun hanya yang berkualiti di sisi Allah Subha Nahu Wa Taala itulah yang benar-benar mampu menembus desakan alam pada hari ini. Kualiti yang hanya terbatas kepada neraca manusia, tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Kualiti ahli yang ingin dibina dan dibentuk oleh HALUAN adalah kualiti yang pernah digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam Risalah Majmu’ Rasailnya. Kualiti ahli yang dimaksudkan ialah setiap ahli HALUAN memiliki aqidah yang sejahtera, perlaksanaan ibadah yang sempurna, berakhlak dengan akhlak yang mulia, mempunyai keilmuan yang tinggi, berkemampuan mengurus masa dengan baik, tersusun urusan kehidupannya, mampu berdikari, memiliki tubuh badan yang sihat, mampu melawan tuntutan hawa nafsu dan bermanfaat kepada orang lain. Jika disimpulkan, ianya selari dengan motto HALUAN itu sendiri iaitu “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.”
Para perwakilan yang budiman,
Secara kesimpulan yang boleh dibuat bahawa untuk melahirkan kualiti yang benar-benar dikehendaki oleh Allah Subha Nahu Wa Taala, aspek dasar dan asas utama iaitu tarbiah dalaman ahli HALUAN harus dilihat secara menyeluruh dari segi perlaksanaan dan keberkesanannya. Hal ini wajar dilihat secara serius di semua peringkat dalam HALUAN sama ada di peringkat kepimpinan HALUAN Pusat mahupun di peringkat Negeri. Satu modus operandi yang lebih menyeluruh dan mekanisme bagi pemantauan aktiviti tarbiah ahli HALUAN wajar diperhalusi agar aspek pembinaan dalaman ini meninggalkan kesan yang baik dan positif kepada ahli HALUAN dan ia menjuruskan kepada proses pemantapan kualiti ahli HALUAN.
Hakikatnya jika kita perhatikan, bangunan yang tinggi dan kukuh, adalah bangunan yang diperhalusi pembinaan dasarnya. Hanya dasar yang kuat, mampu menjamin keutuhan dan kekukuhan sesebuah binaan. Begitu jugalah dengan pembinaan organisasi HALUAN ini.
Para perwakilan yang dimuliakan,
Bagi skop, mempertingkatkan kuantiti , ia merupakan aspek luaran HALUAN iaitu dakwah keluar ke masyarakat dengan memperluaskan keanggotaan dan golongan massa. Ini bermakna, HALUAN juga perlu memikirkan usaha-usaha ke arah mempertingkatkan bilangan anggota relawan dan turut meningkatkan tahap keanggotaan ahli dalam HALUAN.
Usaha-usaha dan penyebaran dakwah Islam di kalangan ahli HALUAN, harus diperluaskan kepada anggota komuniti masyarakat. Jika dilihat kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan HALUAN yang dilaksanakan sejak akhir-akhir ini, memberi gambaran yang positif dan menerima maklum balas daripada komuniti masyarakat. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang meluas dirasai dan meninggalkan kesan kepada anggota masyarakat sehingga mereka positif kepada HALUAN dan ingin meyertai HALUAN sebagai anggota relawan HALUAN.
Jika dilihat kepada perkembangan mutakhir ini, proses kepada peningkatan ahli HALUAN sudah berlaku tanpa disedari. Namun, di pihak kepimpinan HALUAN, peningkatan ahli HALUAN seharusnya dirancang, disusun dan disistemkan agar ia berlaku dengan baik dan tersusun.
Justeru, dalam soal proses peningkatan kuantiti ini antara aspek penekanan yang harus ditekankan ialah berlakunya penyebaran Wa’yun Islami kepada semua golongan masyarakat. Wa’yun Islami atau kesedaran Islam haruslah berlaku secara menyeluruh kepada golongan masyarakat. Ahli HALUAN harus menyedari dan memahami akan hakikat konsep kesedaran Islam yang seharusnya berlaku dalam masyarakat dan berusaha secara kolektif untuk menyuntik semangat kesedaran Islam di dalam masyarakat.
Segala bentuk usaha penyebaran dakwah Islam dengan tujuan untuk menyedarkan masyarakat harus melalui kaedah syarak dan menepati segala yang digariskan oleh Al-Quran dan Hadis. Segala medium sebaran kesedaran Islam harus dimanfaatkan dan disebarluaskan kepada masyarakat. Namun, harus juga diingatkan bahawa dalam ahli HALUAN memahami pembentukan Wa’yun Islami ini ianya tidak terbatas kepada menghadiri program mingguan ahli HALUAN atau ceramah-ceramah kesedaran agama sahaja. Akan tetapi pembentukan kesedaran yang dimaksudkan di sini ialah akhlak dan shakhsiah ahli HALUAN juga menjadi contoh bagi proses pembentukan kesedaran Islam kepada anggota masyarakat.
Usaha dakwah melalui kelakuan, tabiat, sikap dan tindakan harian adalah usaha dakwah yang sangat praktik dan mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat. Perkara ini pernah dibuktikan pada sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dan para sahabat RA apabila pertambahan ahli anggota Ummah Islamiyah ketika itu bermula dengan contoh akhlak dan shakhsiah yang mulia. Justeru itu, seluruh ahli HALUAN harus menghayati dan menjadikan ‘akhlakul karimah’ sebagai sahsiah peribadi dan ianya terzahir di dalam kehidupan seharian. Perkara ini selari dengan salah satu motto HALUAN itu sendiri iaitu berakhlak. HALUAN menjadikan akhlak nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai contoh ikutan dan aspek ini jugalah menjadi dasar utama kepada imej dan identiti HALUAN.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
(Hadis Riwayat Malik, Ahmad Hakim, At-Tabrani dan Bukhari)
Di dalam hadith yang lain, diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RH apabila ditanya berkenaan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, dia menjawab: “Akhlaknya adalah Al-Quran”.
Allah Subha Nahu Wa Taala pula berfirman:
“Dan bahawa sesungguhnya kau (Muhammad) mempunyai akhlak yang tersangat mulia.” (Surah Al-Qalam:4)
Inilah dia hakikatnya resipi sebenar kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Bukan sekadar kata, tetapi pembumian Islam itu dalam kehidupan yang membuatkan jiwa-jiwa tertawan, lalu mendekati agama Allah Subha Nahu Wa Taala.
Para perwakilan yang dikasihi,
Berdasarkan kepada dua (2) aspek yang saya sebutkan sebelum ini iaitu memantapkan kualiti dan mempertingkatkan kuantiti, maka HALUAN perlu bergerak kehadapan menyusun strategi dan perancangan yang lebih mantap bagi menjayakannya. Oleh yang demikian, beberapa perkara yang kini harus diutamakan oleh HALUAN bagi memastikan segala yang dinyatakan ini mampu dilaksanakan sebanyaknya.
Bagi melaksanakan proses pemantapan kualiti ahli HALUAN dan juga mempertingkatan kuantiti ini, HALUAN kini memfokuskan kepada dua (2) perkara iaitu aspek sinergi pendidikan dan perkhidmatan. HALUAN berpandangan bahawa soal pendidikan adalah soal yang terpenting dalam soal pembangunan insan dan ia berkait rapat dengan usaha memantapkan kualiti ahli HALUAN. Justeru, HALUAN akan terus memperkasakan institusi pendidikan bermula daripada unit-unit terkecil iaitu unit-unit Halaqah HALUAN sehingga kepada institusi pendidikan yang besar seperti sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Proses dalaman dan pembentukan keperibadian Muslim yang berjalan sehingga kini, harus dimantapkan lagi sama ada dari segi bahan penyampaiannya, keberkesanan dan perjalanan unit ini di kalangan ahli HALUAN. Proses pembinaan dan pemantapan keperibadian muslim ini harus berlaku secara sedar dan terancang sehingga terbentuk keperibadian Muslim yang dikehendaki oleh Allah Subha Nahu Wa Taala di kalangan ahli HALUAN.
HALUAN harus mengemukakan suatu sistem pendidikan yang mampu menyelesaikan permasalahan ummat dan ia bukan sekadar sekolah tetapi 'sistem' pendidikan. Dan sistem inilah yang akan dilaksanakan bagi melahirkan insan yang rabbani, berakhlak dan mampu member manfaat kepada masyarakat, negara dan ummah.
Dalam bidang perkhidmatan, HALUAN juga harus ke depan dalam menyediakan 'sistem perkhidmatan' yang memberi kesan kepada masyarakat iaitu sistem yang dapat menangani gejala sosial yang berlaku serta perkhidmatan lain seperti perkhidmatan untuk anak yatim, orang miskin dan semua golongan yang memerlukan.
HALUAN juga harus berperanan membela nasib ummat Islam minoriti di rantau ini, seperti selatan Thailand, Filipina, Kemboja dan lain-lain.
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Selain itu juga dalam usaha untuk mempertingkatan usaha dakwah di Malaysia maka perlu wujudnya satu penerokaan dalam bentuk dimensi yang baru dalam kaedah dan wasilah bergerak dalam era keterbukaan (Infitah) ini di kalangan ahli HALUAN. Perkara ini perlu dilihat secara bersepadu dan dilaksanakan secara kolektif oleh semua ahli HALUAN. HALUAN perlu menambah tumpuan kepada dakwah non-muslim, khususnya kaum Tionghua. Dakwah kepada mereka adalah lebih natural bagi menambah kekuatan ummat dalam aspek ekonomi memandangkan perniagaan merupakan suatubudaya mereka berbanding kita yang baru cuba menceburkan diri. Dengan wujudnya satu lagi biro khusus seperti HALUANFitrah akan menjadi satu titik tolak kepada pemfokusan dakwah non Muslim dan ia perlu disebarluaskan lagi di kalangan ahli HALUAN.
Ini sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan dan di dalam era keterbukaan dunia teknologi maklumat. Segala kemudahan serta kecanggihan teknologi kini harus dimanfaatkan sebaiknya bagi tujuan dakwah dan sebaran kebaikan.
Para perwakilan yang dikasihi,
Dalam usaha mempergiatkan aktiviti kebajikan, HALUAN telah melaksanakan pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan dan khidmat bantuan kepada masyarakat di Malaysia. Namun, ia masih dilihat berlaku di sebahagian kecil dan di sesetengah tempat sahaja. Justeru itu, usaha-usaha sebegini harus diperluaskan dan digembelingkan dengan lebih banyak dan meluas.
Bagi melaksanakan aktiviti sebegini, HALUAN seharusnya bijak menggunakan segala kemudahan yang tersedia dan perlu bekerjasama dalam bentuk perkongsian pintar sama dengan agensi dalam kerajaan pusat maupun negeri. Sebagai contoh, pihak HALUAN mempunyai hubungan baik dengan beberapa agensi kerajaan dan negeri sebelum ini seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan dan Majlis Agama Islam negeri dalam mengadakan beberapa program kemasyarakatan. Usaha murni dan sinergi ini harus diteruskan. Hal ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan kepada masyarakat.
Para perwakilan yang budiman,
Dewasa ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang giat membangun daripada pelbagai aspek sama ada dari segi kesedaran beragama, kepekaan terhadap isu politik, peningkatan kualiti pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Perkembangan ini, memperlihatkan kepada kita bahawa HALUAN harus berdepan dengan arus semasa dan mampu menangani isu-isu sebegini serta berkemampuan untuk memainkan peranan yang lebih penting sebagai sebuah badan NGO.
Sehubungan dengan itu, HALUAN perlu mewujudkan satu unit penyelidikan yang akan memberi penekanan kepada aspek analisis, kajian secara mendalam untuk memahami isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Isu-isu seperti isu keagamaan seperti penggunaan nama Allah Subha Nahu Wa Taala yang heboh diperkatakan dalam arus perdana masyarakat baru-baru ini. Ia harus dikaji dan HALUAN perlu menyatakan pendirian dalam hal sebegini. Selain itu, isu politik terutamanya penekanan kepada perpaduan bangsa Melayu perlu dianalisis secara mendalam dan pendekatan yang harus dilaksanakan oleh HALUAN untuk menyebarkan peranannya di masa hadapan.
Dalam ekonomi, terdapatnya jurang yang sangat jauh antara golongan yang miskin dengan golongan yang kaya. Jika dilihat kepada agihan pendapatan terkini, analisis terhadap ekonomi diperlukan. Sekiranya hal ini berlaku dalam HALUAN, ia akan memudahkan jentera HALUAN dalam usaha untuk membantu Negara ini mempertingkatan penguasaan ekonomi. Oleh itu HALUAN harus berkeupayaan mengemukakan suatu 'sistem ekonomi' yang mampu menjadi sistem yang lebih adil, saksama dan tidak menindas mana-mana golongan.
Jika dilihat dari sudut pendidikan, kebanyakan IPTA/S dikuasai oleh bukan bumiputera. Bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah, HALUAN telah mengambil satu insiatif mewujudkan sebuah kolej swasta iaitu Kolej Teknologi Darul Naim(KTD) sebagai alternatif untuk membantu anak bangsa.
Dalam soal sosial, berlakunya penularan kerosakan gejala sosial di kalangan pemuda dan pemudi yang berbangsa Melayu. Hal ini, sangat menyedihkan dan memilukan hati kita apabila yang terlibat dengan semua perkara ini ialah anak bangsa kita sendiri. Justeru, dengan mewujudkan satu unit penyelidikan ini, ia dapat membuat kajian secara ilmiah dan berfakta dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku.
Sidang perwakilan sekalian,
Marilah sama-sama kita memahami dan menyedari suatu hakikat bahawa untuk memulihkan kembali suasana masyarakat yang ada pada hari, kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Inilah jalan yang tulin dan jalan kebenaran yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.
Sebagaimana kata-kata orang dahulu bahawa, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu tidak meninggalkan harta dan kemewahan sebagai warisannya. Akan tetapi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam meninggalkan dakwah dan tarbiah untuk kita meneruskannya.
HALUAN berpandangan usaha untuk memantapkan kualiti ahli HALUAN dan juga mempertingkatkan kuantiti HALUAN adalah bermula dengan proses pendidikan aqidah tauhid kepada Allah Subha Nahu Wa Taala. Inilah tunjang dan tapak asas yang paling dasar dalam struktur organisasi HALUAN. Tanpa asas yang kukuh, sebuah bangunan akan runtuh dan ranap. Proses pembentukan asas-asas ini harus dilihat sebagai aspek yang terpenting dalam mengembalikan Islam sebagai cara hidup dan jalan penyelesaian kepada apa jua permasalahan yang berlaku.
Di dalam sejarah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, baginda telah melaksanakan proses pembinaan ummah Islam yang menjadi proses pendidikan iman sebagai teras dan acuan utama. Justeru, kita sebagai ummatnya harus menjadikan segala yang ditunjukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai qudwah.
Sejarah perjuangan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang yang mengandungi pelbagai pengajaran dan pendoman untuk umat Islam. Sejarah kehidupan atau sirah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dihiasi dengan kisah perjuangan yang tidak mengenal erti jemu, sebuah hakikat pengorbanan yang sangat tinggi, pergantungan dan kepasrahan sepenuhnya kepada Allah Subha Nahu Wa Taala, dan contoh panduan yang hidup untuk dijadikan ikutan sepanjang zaman.
Inilah ketetapan dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Subha Nahu Wa Taala, bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah contoh panduan kepada umat Islam. Keperibadian dan kehidupan baginda umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah sebaik-baik contoh dan ikutan. Inilah dia resepi kejayaan utama yang jarang-jarang kita perhatikan.
Firman Allah Subha Nahu Wa Taala yang bermaksud :
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah Subha Nahu Wa Taala dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah Subha Nahu Wa Taala.” (Al- Ahzab : 21)
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah berjaya membina satu ketamadunan yang hebat dan gemilang. Di dalam buku yang ditulis oleh seorang penulis barat iaitu Michael H. Hart, beliau telah meletakkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, malah ia mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri.
Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, menyatakan bahawa satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam menjadi insan berpengaruh adalah kerana kualiti yang ada pada diri baginda. Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti integriti dan kualiti kompetensi. Inilah yang menjadikan kehidupan baginda sangat signifikan kepada manusia lain terutamanya kepada para sahabat di bawah didikan Baginda.
Di dalam Islam, kualiti ini kita namakan ia sebagai ‘akhlakul karimah’ atau budi pekerti yang mulia. Bermula dari kualiti ini akhirnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam berjaya membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia. Sudah pasti terdapat satu rahsia yang perlu dilihat secara terperinci terhadap proses pembentukan ketamadunan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam kerana di dalam hanya masa yang singkat iaitu 23 tahun, Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam berjaya mengasaskan dan membentuk satu ketamadunan yang mampu bertahan selama 1400 tahun!
Akan tetapi perlu kita ingat bahawa, kita bukan sahaja hendak membina ketamadunan dan bukanlah ketamadunan yang mampu bertahan selama 1400 tahun itu menjadi satu-satunya matlamat kita sahaja. Bahkan, kita adalah perawat-perawat masyarakat, dan hendak membawa diri kita dan mereka kepada kejayaan yang hakiki. Itulah dia hakikatnya perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, yakni bukan membina negara, tetapi membawa masyarakat untuk hidup dalam redha Allah Subha Nahu Wa Taala dan menggapai syurga-Nya.
Tamadun yang hebat, negara yang kuat, hanyalah hasil daripada kehidupan dalam keredhaan Allah Subha Nahu Wa Taala itu tadi.
Allah Subha Nahu Wa Taala berfirman berkenaan makna kejayaan yang sebenar:
“Sesungguhnya setiap yang bernyawa itu akan merasai kematian. Dan sesungguhnya akan disempurnakan setiap kiraan amalan kamu di hari kiamat. Barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya.” (Surah Ali-Imran:185)
Justeru itu, melihat dan meneliti sejarah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah menjadi keutamaan kita di dalam menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai contoh dan murrabi di dalam perjuangan menegakan Islam.
Justeru itu, usaha ke arah pemulihan ini harus dimulakan dan diteruskan sehinggalah umat Islam kembali kepada acuan yang sebenar seperti yang digariskan oleh Allah Subha Nahu Wa Taala. Sekiranya kita kembali kepada sejarah yang dinyatakan di atas, kita akan dapati formula untuk membina dan membentuk sesuatu generasi dan tamadun itu telah pun ditunjukan serta dilaksanakan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.
Seharusnya, jalan, kaedah, cara dan juga panduan yang ditunjukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dijadikan kaedah utama dalam membentuk generasi yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Taala. Perkara inilah yang seharusnya menjadi perkara utama yang kita tekankan dan fokuskan sekiranya kita ingin membina semula generasi Islam yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam.
Fokus penekanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah membangunkan sumber manusia itu sendiri. Inilah modal utama pembangunan dan pembinaan ketamadunan Islam. Pada peringkat awal perkembangan Islam, tapak asas kepada tamadunan Islam yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah penanaman aqidah yang jitu dan kukuh di dalam jiwa dan hati para sahabat dan pengikut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi tonggak utama kepada penyebaran dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam di dalam menggerakkan jentera dakwah selepas era dakwah rahsia kepada dakwah terbuka.
Seharusnya, pembinaan sumber manusia bermula dengan aspek aqidah dan kepercayaan ini. Ia boleh diserapkan melalui proses pendidikan kerohanian dan ini wajar dicontohi dan dilaksanakan oleh ummat Islam di dalam kehidupan seharian mereka.
Seharusnya inilah penghayatan yang perlu dilakukan oleh Ummat Islam dalam mencontohi perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Sunnah yang paling besar yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah perjuangan dan penyebaran ajaran Islam itu sendiri. Lantas, segala kehidupan yang ditunjukan oleh baginda mestilah difahami, dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian secara penuh sedar dan faham. Inilah kejayaan utama yang harus dilihat secara serius dan seterusnya dilakukan sebagai agenda utama dalam kehidupan kita.
Semoga HALUAN terus bergerak maju dalam menyebarkan risalah kebenaran dan menjadikan proses pendidikan islam (Tarbiyah Islamiah) sebagai asas utama proses pembinaan ahli yang berkualiti dan menjadikan dakwah Islamiah sebagai tonggak utama proses penyebaran kesedaran Islam kepada masyarakat dalam usaha mempertingkatkan kuantiti ummat Islam yang mempraktikkan ajaran Allah Subha Nahu Wa Taala dalam kehidupan mereka, Insha Allah. Dan inilah aspek penyediaan diri ahli HALUAN dalam berdepan dengan cabaran globalisasi dan setiap ahli harus bersiap sedia untuk berperanan dalam apa jua bidang dalam era yang mencabar ini.
Sidang perwakilan sekalian,
Alhamdulillah, jika dilihat dari perkembangan HALUAN sepanjang tahun 2009 sehingga sehingga ke hari ini, banyak perkara yang telah dilaksanakan oleh HALUAN dalam memberi sumbangan kepada masyarakat. Antaranya ialah:-
- Program Pembangunan Modal Modal Insan (PPMI) di Kunak Sabah dan di Kelantan. PPMI merupakan satu projek kemasyarakatan HALUAN yang dilaksanakan dengan bantuan geran daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW.)
- Kem Pesona Remaja Puteri anjuran bersama HALUANITA dan Masjid Putra, Putrajaya. Program selama 3 hari yang diadakan di Masjid Putra tersebut berjaya menarik penyertaan remaja puteri dari beberapa negeri, termasuklah dari negeri Selangor, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Melaka. Bertemakan tentang shahadatain, kem kali ini disertai oleh seramai 196 orang remaja. Lebih 30 orang ahli jawatankuasa dari HALUANITA dan fasilitator dari Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) yang sedang bercuti menyumbang tenaga menjayakan kem ini. Ini merupakan penyertaan kem Pesona yang terbesar pernah diadakan.
- Program korban di Kemboja dan Vietnam. Sejumlah 77 ekor lembu dan 7 ekor kambing telah dikorbankan, manakala 6 ekor kambing lagi disembelih sebagai ibadah aqiqah. Sejumlah 35 ekor lembu dan 1 ekor kambing telah dikorbankan di Vietnam. Manakala 42 ekor lembu dan 6 ekor kambing dikorbankan di Kemboja.
- Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JATIDIRI) untuk Lepasan SPM 2009. Seramai lebih 180 orang pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti program Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009 yang dianjurkan bersama oleh HALUAN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Kursus ini telah berjalan selama 47 hari.
- Seminar Menangani Gejala Sosial. HALUANITA dengan kerjasama JAKIM telah mengadakan Seminar Menangani Gejala Sosial bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Seminar 3 hari ini telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta.
- Seminar Hijrah Ke Menara Gading (HimeGa’10). Program ini adalah anjuran Kelab Siswa Haluan, Akademi Penyelidikan Haluan dan Persatuan Alumni Matri, Alumni SMASKL dan ILIK. Seramai 170 orang pelajar lepasan SPM 2009 dari seluruh negara telah hadir dengan dibantu oleh fasilitator dalam kalangan mahasiswa IPTA/S .
- Misi Kemanusiaan Padang. Relawan-relawan HALUAN bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dan juga doktor-doktor kerajaan Indonesia. 10 pasukan Relawan Haluan yang telah dihantar melibatkan 85 orang terdiri dari para doktor, paramedik, kaunselor dan siswa. Sepanjang di sana mereka telah berkhidmat di 35 pusat khidmat di Padang-Pariaman merawat 4000 orang pesakit.
- Misi Bantuan ke Kem Pelarian Palestin. Relawan Haluan melawat serta merawat pesakit di beberapa buah kem-kem pelarian, termasuklah di Dar’aa, Tanf dan Hassakeh, Syria. Di sana, pasukan HALUAN Palestin sempat memberikan hadiah berbentuk pakaian dalam dan lain-lain keperluan asas untuk mangsa, terutamanya untuk kaum wanita dan kanak-kanak. Kem Tanf terletak di kawasan gurun di antara Iraq dan Syria, dan dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah sebuah daripada lima kem pelarian mangsa perang yang terburuk di dunia.
Dalam masa yang terdekat ini, HALUAN telah diberi amanah oleh Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang merupakan sebuah badan NGO Turki untuk menjadi wakil mereka dalam menggerakkan satu projek bantuan kepada Palestin iaitu ‘Lifeline For Gaza’. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti ‘Jamuan Makan Malam untukmu Palestin’, Ceramah Palestin di setiap negeri, Konsert ‘Life Line For Gaza’ di Masjid Wilayah yang menarik kehadiran 2000 orang peserta, dan majlis perkongsian balu mangsa perang Gaza dengan kerjasama NGO-NGO Muslim di negara ini.
Baru-baru ini, dengan kerjasama badan-badan NGO yang ada di Malaysia, kita telah berjaya mengadakan satu Perhimpunan Perdana Palestin (PPP) yang menghimpunkan lebih 10 ribu rakyat Malaysia yang prihatin akan permasalahan ini dan setakat ini sebanyak RM 1.1 Juta telah berjaya dikumpulkan untuk tujuan ini.
Dalam konteks permasalahan Palestin ini, marilah berganding bahu untuk membebaskan bumi Palestin. HALUAN Malaysia berpandangan bahawa seluruh umat Islam sama ada individu mahupun kumpulan-kumpulan, persatuan-persatuan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersatu-padu, bekerjasama dan bantu-membantu dalam menggembeling tenaga untuk menyelesaikan isu ini. Perhimpunan Perdana Palestin (PPP) yang diadakan baru-baru ini yang melibatkan pelbagai NGO memperlihatkan hubungan kerjasama yang erat dan ini memberi suatu gambaran yang positif kepada agenda perpaduan ummah. Marilah sama-sama kita bersatu padu untuk membina kekuatan ke arah masa depan Islam yang gemilang.
Sidang perwakilan yang dirahmati Allah Subha Nahu Wa Taala sekalian,
Akhirnya saya selaku presiden HALUAN MALAYSIA ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah di atas kesungguhan barisan exco dan seluruh ahli-ahli HALUAN yang telah berusaha bertungkus lumus demi menjayakan sebarang aktiviti yang telah dirancangkan. Semoga Allah Subha Nahu Wa Taala memberkati usaha kita demi memertabatkan maruah bangsa, negara dan ad-Din. Insha Allah.
Sekian wassalam.
DR. ABDULLAH SUDIN ABD RAHMAN
PRESIDEN HALUAN MALAYSIA
22 Mei, 2010
8 Jamadil Akhir 1431H
Dewan Anuwar Mahmud,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Bangi, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
Mars HALUAN
Create a playlist at MixPod.com
0 Responses to “Memantapkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti”
Post a Comment