H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti
Friday, October 29, 2010
HALUANSiswa Kelantan Kordinasi POTENSI 2010 Untuk pelajar Miskin
Menurut saudara Jumat B. Salleh, selaku Kordinator program dari HALUAN Siswa, antara objektif POTENSI adalah untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan di kalangan peserta, membantu para peserta agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun dan memantapkan lagi kesedaran dan kefahaman peserta akan matlamat hidup dan jatidiri sebagai seorang pelajar. Sekitar 50 pelajar akan terlibat dalam program tuisyen tersebut yang diadakan secara percuma.
Majlis perasmian POTENSI telah diadakan pada 22 Oktober 2010 di Dewan Masyarakat Pohon Nenasi. Majlis telah disempurnakan oleh En. Wan Mohd Sukri Bin Wan Abdul Kadir, Ketua Stesen Risda Bachok, Kelantan. HALUAN Kelantan diwakili oleh Tn. Hj. Kamaruddin Bin Deraman, Naib YDP HALUAN Kelantan dan Prof. Dr. Nordin Simbak, AJK HALUAN Kelantan. Manakala En. Omar bin Marzuki, Pengerusi Penduduk PPMS Pohon Nenasi mewakili penduduk. Taman Sejahtera Rakyat PPMS Pohon Nenasi Bachok adalah merupakan kampung angkat HALUAN Kelantan. Pelbagai program pendidikan, kemasyarakatan dan keagamaan telah dijalankan di kampung tersebut yang melibatkan 50 buah keluarga miskin.
Laporan disediakan oleh: Sdr. Muhammad Suhaib bin Muhd Yusoff, Setiusaha POTENSI, HALUAN Siswa Kelantan.
Tuesday, October 26, 2010
Anak Muda, Bangkitlah!
Acap kali kita mengharapkan bahawa golongan muda ini berperanan membantu aktiviti teras yang dirancang dan dibuat oleh golongan yang ‘tidak lagi muda’. Memang itulah yang kita harapkan namun perlu dielakkan mengharap sepenuhnya kerana mereka juga ada peranan yang perlu dijalankan. Apakah peranan golongan muda ini ? Peranan mereka terlalu banyak dan teramat penting. Kesejahteraan Negara, keharmonian masyarakat, kekuatan ummah malah segala-galanya akan ada palitan sentuhan mereka. Istimewanya orang muda ini; lebih-lebih lagi yang mempunyai asas fikrah atau kefahaman Islam; mereka ini selalunya diam tetapi penuh isi. Apabila diberi amanah atau tugasan, mereka akan segera berfikir dan menumpah penuh kreatif dalam gerak kerja. Seharusnya begitu mereka ini.
Sinopsis Konvensyen Pembangunan Ummah 2010
1. Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, YABhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
2. Professor Pendidikan Institusi Pendidikan UIAM YBhg Prof Dato’ Dr Sidek Baba
3. Penasihat Global Civilizations Study Centre UK YBhg Dr Kamal Tawfik ElHelbawy
4. Pengerusi QSR Brands Bhd YBhg Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim
5. Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) YBhg Datuk Nik Mustapha Hj Nik Hassan
6. Pensyarah Institut Sains dan Teknlogi Nasional (ISTN) Jakarta, Indonesia YBhg Prof Dr Ir Agus Priyono
7. Presiden HALUAN Malaysia YBhg Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman
8. Wakil TERAS , Ybhg Tn Hj Muhammad Azmi Bin Abdul Hamid
9. Wakil WADAH, YBhg Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman
Konvensyen selama 3 hari ini telah menyediakan ruang bukaan minda yang pelbagai kepada para peserta. Tokoh-tokoh yang telah berkongsi minda dan pengalaman mereka ternyata arif tentang bual bicara mereka dan telah terbukti daripada pengalaman mereka.
Begitu banyak ilmu serta panduan yang boleh diaplikasikan pasca konvensyen namun memerlukan langkah dan tindakan yang bersepadu serta menyeluruh. Apabila ditanya kepada Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin di dalam temuramah khas dengan mediaHALUAN Rawang berhubung apakah langkah seterusnya selepas konvensyen ini? Maka beliau memetik sebagai berkata; “ Banyak langkah yang perlu disusun oleh HALUAN Malaysia dan konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada saranan-saranan yang nantinya akan dipanjangkan kepada badan-badan yang bertanggungjawab dan kita akan mengambil serius inisiatif ini.”
Sessi forum menyajikan celoteh bersahaja Cikgu Azmi dengan tandadagangnya yang tidak asing kepada semua serta huraian penuh gaya daripada Prof Dato Mohd Yusof disulami dengan usikan santai moderator Dr Azizan telah menjadikan forum itu seakan terlalu singkat. Seakan ada terjahan yang membetulkan duduk posisi yang mendengar apabila Cikgu Azmi berbicara bahawa NGO yang ingin ke hadapan perlu menyiapkan banyak aspek sehingga mampu berdiri sama tinggi dengan apa yang dibawa oleh barat. Diketika nanti apabila orang luar datang dan ingin belajar daripada kita, itulah saatnya memberi tanda bahawa kewujudan kita sebenarnya ada impak.
Konvensyen yang julung kali ini juga telah dibawa secara langsung oleh mediaHALUANrawang dan ditonton oleh lebih 2500 pelayar internet di seluruh dunia. mediaHALUANrawang telah diamanahkan untuk membuat dokumentasi rakaman di sepanjang konvensyen.
Para pemuda atau sesiapa sahaja perlu mengambil inisiatif, mengatur serta memberi sumbangan walau apa saja agar mereka kreatif dan genius di setiap ketika. Mengambil kata-kata yang dilontarkan oleh Prof Dato Dr Sidek Baba akan mengetuk keazaman kita dalam pembangunan ummah. Begitu juga dengan Tan Sri Dato Muhammad Ali Hashim yang menyentuh sisi ekonomi serta transformasi minda dalam dunia perniagaan masakini. Dr Kamal Tawfik ElHelbawy yang merupakan seorang sarjana daripada United Kingdom, telah berkongsi rasa dan pengalaman berhubung dunia Islam dan barat yang menjurus kepada bagaimana peradaban hari ini serta pemikiran kemanusiaan dapat dicorak kembali kepada peradaban Islam yang dibawa Rasulullah.
Penutup konvensyen telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM iaitu Dato Wan Mohamad bin Sheikh Abdul Aziz. Sebutir permata kata yang dapat dikutip daripada beliau ialah, ‘Kitalah yang perlu mengisi seluruh kehidupan kita dengan Islam bukannya ternanti-nanti apa yang Islam boleh tawarkan kepada kita,’ Konvensyen selama 3 hari ini sesungguhnya memberi input yang amat berharga kepada para peserta. Manfaat daripada konvensyen ini perlu dizahirkan sebagai praktik di setiap peringkat di dalam masyarakat. Beramal dengan ilmu yang diperolehi memang menuntut kesabaran dan hikmah yang tidak putus.
Thursday, October 14, 2010
Reaksi terhadap Konsert Adam Lambert
Dan, baru terdengar namanya apabila terdapat beberapa bantahan terhadap konsertnya oleh beberapa pihak sebelum ini. Dengar kata, akan berlangsung malam ini,(14 Oktober) di Stadium Bukit Jalil.
Adam Lambert, disebalik nama itu terdapat bayangan-bayangan kelakuan dan moral yang negatif yang menjadi amalan kehidupannya. Dan sudah pasti, kehadirannya akan memberi impak dan kesan negatif secara langsung kepada anak-anak remaja di tanah air yang tercinta ini.
Sedikit maklumat berkaitan artis ini. Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu, For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.
Sokongan
Saya menyokong tindakan dan desakan untuk membatalkan, mengharamkan dan menghapuskan segala bentuk konsert atau apa jua hiburan yang tentunya akan melalaikan generasi muda di Malaysia termasuklah konsert ikon barat ini. Kepekaan, sensitiviti dan sikap respon terhadap perkara mungkar sebegini harus dilaksanakan sesegara mungkin dan pihak berwajib harus sedar bahawa ia harus dinilai, dan dibatalkan tanpa berfikir panjang.
Dalam sebuah hadis yang seringkali kita dengar, dan baca :
عن أبي سعيد الخدري
سمعت رسول الله یقول
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم یستطع فبلسانه، فإن لم یستطع فبقلبه. وذلك أضعف الإیمان
رواه مسلم
Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.
Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: “ Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengantangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranyadia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. “
Di mana kita?
Suatu persoalan yang harus dijawab.Ustaz Ali Irfan Jamaluddin (Ketua HALUANSiswa Kelantan)
O MALAYSIA!! You're accepting GAY?
Wednesday, October 13, 2010
Hebahan Konvensyen Pembangunan Ummah
"Bersama Menangani Permasalahan Ummah"
Anjuran:
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi (HALUAN) Malaysia dengan kerjasama Masjid Putra, Putrajaya
Pengenalan:
Konvensyen merupakan wadah penting untuk memacu budaya ilmu selain perkongsian pengalaman melalui diskusi ilmiah dan bersistematik. Selain itu, konvensyen juga amat bermanfaat kerana menjadi jambatan penghubung antara NGO dengan pihak luar untuk bersama-sama berkongsi pandangan dan pendapat demi kemaslahatan masyarakat sejagat. Di samping itu, konvensyen juga merupakan wadah terbaik untuk mencipta peluang kepada ahli panel, NGO serta orang ramai mengemukakan idea-idea baharu serta pendapat ke arah pengukuhan organisasi-organisasi NGO. Konvensyen ini juga antara lainnya dapat menjadi medan interaksi dengan tokoh-tokoh dalam dan luar negara yang aktif memberi sumbangan dan khidmat kepada masyarakat di arus perdana mahupun global.
Objektif:
1. Mewujudkan suasana interaksi antara NGO dan masyarakat.
2. Meningkatkan pengetahuan dan maklumat semasa berkaitan dengan pembangunan ummah.
3. Mengenalpasti peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat terhadap isu-isu semasa ummah.
Penyertaan:
Penyertaan ke Konvensyen Pembangunan Ummah terbuka kepada ahli-ahli HALUAN, wakil-wakil NGO dan kakitangan kerajaan serta orang ramai seramai 250 orang.
Bidang:
Ekonomi | Pendidikan | Sosial | Dakwah | Isu-Isu Semasa
Yuran Penyertaan:
RM 250.00 (Dewasa)
RM 100.00 (Pelajar)
Hubungi:
Dr. Hj. Azizan Ahmad | +6014 327 1290
Prof. Madya Dr. Hjh. Wan Muhaizan | +6019 262 8007
Laman Web Rasmi Konvensyen Pembanguan Ummah
Friday, October 8, 2010
Rahsia Kejayaan Bermula Dengan Niat Yang Benar
Pertama kali kita harus bertanya pada diri sendiri, apa sebenarnya masalahnya. Turunnya
motivasi tidak selalu kerana kita malas walaupun sebenarnya punca utama kita hilang motivasi sebabmkita malas. Sebenarnya banyak hambatan yang akan mengganggu motivasi kita, misalnya kebiasaan menunda, keyakinan diri yang rendah, kebiasaan belajar yang tidak teratur, rasa tegang/cemas, pengaruh kawan sebaya, tertarik dengan perkara yang lain seperti permainan video games dan lain-lain lagi.
Penulis sendiri saat sedang belajar di sekolah dan kampus dulu turut pernah menghadapi situasi lemah motivasi belajar. Sedangkan penulis menyedari bahawa penulis datang dari keluarga yang miskin, tetapi ianya tidak mampu mengekalkan jangka hayat panjang motivasi penulis.
Akhirnya penulis menemui formulanya. InsyaAllah, apabila kita menguasai formula tersebut, pasti ianya akan membangkitkan motivasi dalaman kita untuk belajar, pasti kita akan berjaya. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt. penulis berjaya menamatkan pengajian diploma, ijazah dan sarjana dengan keputusan “1st class”.
Ternyata setiap dari kita ada 2 sumber untuk membangkitkan motivasi belajar. Pertama disebut motivasi eksternal diertikan sebagai suatu pemancing motivasi yang datangnya dari luar, baik dalam bentuk insentif/hadiah (positif) mahupun fear/rasa takut (negatif). Kedua hal ini sangat penting peranannya untuk mendorong kita belajar mencapai target yang telah ditentukan. Berapa lamakah motivasi eksternal ini mampu menyala dan berkobar dalam diri kita? Perlu diketahui bahawa setiap pengaruh yang datangnya dari luar biasanya bersifat sementara. Sebagai contoh, insentif motivasi akan berakhir ketika kita berhasil mendapatkan hadiahnya. Pada saat itu kita akan menuntut hadiah yang lebih besar lagi agar dapat terus termotivasi. Demikian juga dengan fear motivation, apabila sesuatu yang kita takuti itu hilang, motivasi kita akan surut dengan sendirinya.
Motivasi yang paling bertahan lama adalah motivasi yang datangnya dari dalam diri kita sendiri yang disebut sebagai inner motivation, motivasi dalaman. Ertinya, seseorang yang memiliki inner motivation memiliki alasan yang kuat mengapa dia ingin melakukan sesuatu itu. Motivasi dalaman merupakan dorongan kuat yang berasal dari dalam diri kita untuk melakukan suatu tindakan. Bukan berdasarkan insentif yang menarik dan menggiurkan atau sesuatu yang menakutkan dan mencengkam. Motivasi dari luar hanya mampu memberikan motivasi sesaat. Jika tidak dipupuk, diulang terus-menerus, dan mencari hubungan motivasi tersebut dengan keinginan terdalam, niscaya motivasi itu akan redup dengan sendirinya.
Bagaimana kita harus membina motivasi dalaman kita?
Formula asasnya ialah mendasyatkan niat kita. Niat adalah kunci motivasi dalaman yang paling asas. Biasanya kita meletakan niat kita belajar pada kadar biasa, untuk berjaya, untuk menjadi pandai, untuk masuk universiti, untuk mencari pekerjaan dan sebagainya.
Seorang ulama, Abdullah Mubarak ada berkata:
“ Berapa banyak amal yang remeh menjadi besar dek kerana niat. Dan berapa banyak amal yang besar menjadi remeh dek kerana niat.”
Maka apakah yang dikatakan mendasyatkan niat kita agar ianya bergegar di langit? Rumuslah dalam Al Quran dan hadith Rasulullah saw:
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am : 162)
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Pengajaran dari 2 dalil di atas dalam konteks kita sebagai penuntut ilmu, mudah, belajarlah kerana Allah, meyakini bahawa belajar adalah tuntutan Allah dan Rasulullah saw. Belajar kerana Allah akan menjadikan seluruh usaha pembelajaran kita menjadi ibadah dan memperoleh pahala berganda, pusatkan segala usaha belajar kita semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Dengan niat belajar yang betul, usaha dan amal menjadi kuat, komitmen menjadi kukuh, motivasi menjadi dasyat, badan yang lemah menjadi kuat. Itulah impak niat kepada jiwa kita. Firman Allah swt:
“Jika kamu telah bulat tekadmu, maka bertawakallah kepada Allah.” (‘Ali Imran:159)
Apabila seseorang itu berniat, bermakna ia telah memberikan arahan kepada minda dan minda akan mengarahkan keseluruh tubuhnya untuk menyempurnakan apa yang di niatkan. Sejak kecil, kita solat dan berpuasa,kita memulakannya dengan niat. Kita berwuduk juga dimulakan dengan niat. Tetapi adakah kita sedar akan kelebihan niat itu. Islam mengajar kita supaya tidak melupakan niat dalam apa jua pekerjaan kita, tetapi tidak ramai yang ingin mengkaji kelebihan niat.
Kuasa niat merupakan kuasa yang mampu merubah corak kognatif(pemikiran), emosi, dan psiko motor(Tingkah laku) seseorang. Misalnya pengalaman penulis sendiri, pertama, penulis memperharui niat penulis, belajar kerana Allah, maka setiap aktiviti pembelajaran penulis perlu diselaraskan dengan kehendak Allah dan tuntutan Rasulullah saw. seperti tidak mengotorkan hati dengan maksiat, tidak buang masa, tidak merosakan pemikiran dengan bahan bacaan yang melalaikan dan sebagainya. Ini akan membentuk tingkah laku , akhlak, peribadi dan pemikiran yang positif.
Kedua, penulis menanamkan niat menamatkan pembelajaran penulis dengan keputusan “1st class”. Maka ianya mendorong penulis untuk memperbaiki pengurusan diri, pengurusan masa, strategi belajar dan lain-lain perkara yang boleh membantu meningkatkan prestasi belajar penulis.
Hasil kedua-dua usaha mendasyatkan tujuan dan niat kita belajar, insyaAllah, motivasi dalaman kita akan sentiasa terbina, aktif dan dinamik.
Jika anda mengalami penurunan motivasi, kembalilah meluruskan niat anda untuk apa anda belajar. Jika Allah yang menjadi tujuan, kenapa harus dikalahkan oleh rintangan-rintangan yang kecil di hadapan kita? Jika belajar merupakan ibadah, semakin kerja keras kita, insya Allah semakin besar pahala yang akan diberikan oleh Allah. Jika segenap masa kita belajar merupakan bekal untuk beribadah, maka semakin banyak bekal akan kita himpunkan di akhirat kelak. Rugilah kalau kita biarkan diri kita terus dibelenggu dengan lemah motivasi diri.
Akhirnya, Memiliki niat yang dasyat ini akan membangkitkan kesedaran bahawa di atas bahu kita ada masuliyyah (tanggungjawab); sebagai anak, pelajar, muslim dan hamba kepada Allah swt. Pelajar yang tiada niat belajar yang luarbiasa ini tidak terikat dengan sebarang tanggungjawab, Maka dia tidak serius dengan pelajarannya. Dia hanya usaha cukup makan sahaja. Mengapa? Kerana dia tidak ada apa-apa kepentingan. Berbanding pelajar yang niatnya belajar hanyalah untuk Allah, dia akan belajar dengan kuat, motivasinya terbangun kerana Islam memerlukan cerdik pandai untuk mempertahankan risalah Islam yang suci bersih ini. Dia yakin Allah akan membantu dirinya untuk berjaya kerana dia belajar kerana Allah. Kalau dia lemah dan menurun motivasi makan dia bersegera merintih kepada Allah kerana dia yakin hanya Allah swt sahaja yang mampu membantu dirinya.
Kata Dr. Aidh Al Qarni dalam buku beliau “Rahsia Kejayaan Orang_Orang Besar”, orang besar yang berjaya pasti ada pada niatnya, kebanyakan mereka berjaya kerana niatnya hanya sanya kerana Allah, tiada niat yang lainnya. Malahan mereka berjaya kerana niat baik mereka bukan sekadar untuk dirinya sahaja, sebaliknya mereka bertindak, belajar, berkerja dan sebagainya diniatkan untuk kebaikan orang lain.
Semoga kita dapat mendasyatkan prestasi dan motivasi belajar kita dengan Formula meluruskan niat belajar kerana Allah swt semata. Selamat Berjaya!
Oleh: Abu Ridhwan
Mars HALUAN
Create a playlist at MixPod.com