H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Tuesday, February 1, 2011

0

Bersih dan Jernihkan Hati!

  • Tuesday, February 1, 2011
  • aburidhwan
  • Share

  • Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

    Salam penuh penghormatan dan kemuliaan untuk kalian sidang pembaca yang budiman lagi dikasihi. Semoga Allah SWT merahmati perjalanan kehidupan kita semua.

    Berpagian dengan keimanan

    Syukur Alhamdulillah, ketika bangun dari tidur pagi ini saya benar-benar bertenaga dan begitu bersemangat. Bangun dengan hati yang senang, tenang dan girang. MasyaAllah. Seolah-olah ada suatu aura yang mengalir dalam jiwa dan hati saya. Begitu bermotivasi!

    Saya sentiasa teringat nasihat seorang ulama :

    “ Seorang mukmin yang bangun ketika azan Subuh berkumandang, ia adalah mukmin yang lalai dan lemah. Mukmin ia harus bangun dan persiapkan diri sebelum azan Subuh.”

    Apa maknanya?

    Inilah standard kehidupan mukmin. Ia berpagi-pagian dengan membersihkan diri dan hati dihadapan Allah SWT. MasyaAllah, apabila saya meneliti semula Sirah Rasulullah SAW – sememangnya- baginda Rasulullah SAW adalah seorang hamba Allah SWT yang sentiasa bangun awal di subuh hari dan memperuntukan waktu itu untuk bermunajat, berdoa dan menyendiri dengan Allah SWT.

    Inilah muqadimmah kepada awal himmah. Untuk sentiasa bersemangat dengan keimanan, jiwa yang bernyala-nyala dengan tekad serta keazamanan yang tinggi – kita harus mulakannya dengan HATI yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.

    Himmah, ia bertapak dihati

    Seorang adik peserta kursus kendalian saya bertanya tentang himmah.

    “ Abang, saya ini tidak punyai keyakinan dan tiada semangat untuk meneruskan kehidupan ini,” Soalnya lemah.

    Saya menatap wajahnya. Kelihatan kelesuan, hilang daya diri dan benar-benar rendah keyakinan dirinya. Namun, terdapat sinar pengharapan yang menggunung di riak wajahnya itu. Saya memandangnya dengan penuh minat. Sambil tersenyum.

    “ Adik, untuk memulakan kehidupan yang bersemangat dan penuh keyakinan – adik perlu tahu kata kuncinya,” Jawab saya mudah.

    “ Apa dia, abang?,” Tanya dengan wajah yang berminat. Alhamdulillah.

    “ Bersih dan jernihkan hati!,” Kata saya sambil menyentuh dada saya.

    Kelihatan dahinya berkerut. Apa kaitannya?

    Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, himmah adalah pekerjaan hati. Bermula di sinilah, kita akan mengerakan segala kemahuan, keinginan, kehendak dan cita-cita diri untuk melakukan sesuatu. HATI adalah kekuatan kehidupan. Tanpa hati, kita semua adalah MATI!

    Kita tanyakan sanubari dan hati kita masing-masing? Bagaimanakah keadaan hati kita semua? Bayangkan diminda kita keadaan hati kita ini.

    Sesi refleksi di Kursus JDK Zon Timur

    Ingin saya berkongsi dengan anda, suatu sesi refleksi yang saya lakukan semasa mengendalikan sebuah kursus di ILIM, Besut. Refleksi ini adalah mengenai hati.

    Malam itu, ia adalah malam yang tenang dan damai. Namun, hati saya sedikit terganggu dan tidak tenang. Entah mengapa ia berlaku sebegitu. Sebelum memulakan sesi ini, saya solat sunat 2 rakaat memohon bantuan dan pertolongan Allah SWT agar jiwa saya tenang dan tenteram.

    Alhamdulillah, saya dapat rasakan hembusan ketenangan daripada Allah SWT. Terasa kekuatan untuk mengendalikan kursus ini. Malam itu, saya berdiri dihadapan para peserta. Saya memandang tepat ke wajah dan mata-mata mereka. Saya melihat jauh di sudut pandangan mereka dengan pandangan keimanan dan kasih sayang.

    “ Adik-adik, pada malam ini marilah kita sama-sama melihat salah satu nikmat dan anugerah pemberian Allah SWT kepada kita.” Saya mulakan sesi pada malam itu.

    “ Marilah kita bayangkan keadaan hati kita. Hati yang asalnya bersih dan fitrah dengan putih ini harus disemak dan dinilai,”

    “ Kata Maimum bin mahran – seorang ulama yang soleh- jika kita melakukan suatu dosa maka akan terbentuk satu bintik hitam di hati kita. Jika kita bertaubat, maka akan terhapuslah bintik hitam itu. Namun, jika sebaliknya maka hati kita akan bertambah bintik-bintik hitamnya sehinggalah hati itu benar-benar menghitam. Dan sehingga ia menjadi kaku, keras dan terus mati.”

    Ketika itu, saya melihat dan membayangkan diri saya. Hati saya. Membayangkan dosa saya. Maksiat saya terhadap Allah SWT. Saya tersekat tanpa bicara.

    Saat itu, saya melihat mata adik-adik berkaca-kaca. Ada yang tertunduk hiba melihat hati mereka. Suasana sepi tanpa bicara.

    MasyaAllah, begitu lembut dan tulusnya hati mereka. – Malam itu, kami hiba mengenangkan hati sendiri. Hati yang akan menjadi modal utama untuk dipersembahkan dihadapan Allah SWT. Hati yang akan berbicara dihadapan Allah SWT tentang soal amal dan niat yang terjadi disepanjang sejarah kehidupan di dunia.

    Malam melihat diri dan sanubari

    “ Marilah kita tanya diri dengan jujur, ikhlas dan penuh ketulusan. Ia adalah hati yang kita miliki sementara untuk dijadikan peneman kehidupan. Bayangkan hati inilah yang kita bawa pulang dihadapan Allah SWT kelak. Apakah kita sanggup untuk menghadapinya?,”

    Hati – inilah rahsia kekuatan dan kelemahan manusia. Kerana hati, manusia mampu melakukan perkara-perkara serta pekerjaan yang luar biasa tanpa batas. Dan kerana hati jua, manusia jatuh ke lembah kehinaan dan kenestapaan.

    Perkongsian saya dalam post kali ini, agar kita memahami akar kepada kebangkitan semangat dan ruh himmah dalam diri kita. Ia harus kembali kepada basic dan asas. Ia adalah soal hati. Hati adalah tempat bertapaknya keimanan yang menjadi tunjang kepada ruh himmah.

    Firman Allah SWT yang bermaksud :

    “ Pada hari akhirat kelak, anak-anak tidak dapat memberikan apa-apa pertolongan, kecuali mereka yang datang dengan hati yang suci bersih.” [1]

    Penutup – Komentar seorang hamba

    1)- Teringat pesanan seorang Murabbi saya : “ Antara amalan yang paling baik untuk membersihkan diri ialah bangun awal dipagi hari melakukan solat sunat Tahajud di saat insan lain diulit mimpi indah.”

    2)- Hati yang kita hajati ialah hati yang putih, bersih, jernih, sensitif, lembut dan peka. Bermula dari hati sebeginilah, akan terbangunnya keimanan yang akan memacu kebangkitan ruh himmah.

    3)- Motivasi tarbawi seorang mukmin ialah Al-Quran, Zikrullah, Solat-solat sunnat dan amalan-amalan sunnah Rasulullah SAW. Jadi, usah tunggu lagi – ayuh kita bangkitkan rasa untuk memperhambakan diri hanyasanya kepada Allah SWT.

    [1] Surah as-Syu’ara 26 : 88-89

    Oleh: Ustaz Ali Irfan Jamaluddin (Pengerusi HALUANSiswa Kelantan)

    0 Responses to “Bersih dan Jernihkan Hati!”

    Post a Comment

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com