H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti
Thursday, August 26, 2010
Model Pemuda Hebat Di Sisi Allah dan Rasul
Pemuda Islam harus mencontohi pemuda hebat di zaman Rasulullah saw. Dengan adanya contoh kalangan pemuda yang wajar dicontohi, insyaAllah pemuda Islam tidak akan meraba-raba mencari model pemuda yang hebat.
Tatkala menyingkap sirah sahabat Rasulullah saw. khususnya generasi pemuda, pasti ia akan membangkitkan selera iman pemuda muslim hari ini. Mengapa? Kerana mereka membina diri mereka menjadi hebat! Hebat di sisi Allah dan Rasulnya.
Saat Perang Khandak bakal tercetus, beredar khabar bahawa sesiapa sahaja lelaki berusia 15 tahun ke atas berhak ikut berjihad. Mendengar khabar tersebut, seorang pemuda berseri-seri wajahnya. Usianya saat itu memasuki 15 tahun. Dia segera mendaftarkan diri. Itulah idamannya selama ini, berjihad bersama Rasulullah saw. Penyertaannya dalam pelbagai medan jihad tidak pernah lepas dalam sejarah hidup pemuda itu. Saat perang membuka kota Mekah (Futuh Mekah), dia berusia 20 tahun dan termasuk pemuda yang menonjol di medan perang. Dialah, Abdullah ibn Umar, atau Ibnu Umar.
Hebat bukan! Ibnu Umar menhajar kita saat mudanya dia bergabung bersama kafilah dakwah Rasulullah saw. Beliau teruja dan berlumba-lumba menempatkan dirinya berada dalam saf perjuangan dakwah Rasulullah saw. Inilah sikap pemuda yang hebat, berlumba menyertakan diri dalam saf dakwah kerana dakwah adalah “kerja besar” buat orang beriman. Pemuda yang beriman pasti tidak akan melepaskan masa dan umurnya berlalu tanpa “kerja besar”, menempatkan dirinya dalam saf dakwah. Kita bagaimana?
Kepemudaan Ibnu Umar sekali lagi mangajar kita bagaimana beliau menghimpun kekuatan untuk menjadi pemuda hebat di sisi Allah dan Rasulnya. Ibnu Umar menghayutkan dirinya dengan tarbiyah ruhiyah, beliau berjaga dua pertiga malam. Beliau berkawan dengan malam. Ibnu Umar amat dikenali sebagai pemuda yang menitikberatkan aspek tarbiyah ruhiyahnya, maka beliau berkawan dengan malam untuk beribadah, dan berkawan dengan dinihari untuk menangis memohon ampunan-Nya. Beliau dikenali sebagai sahabat Rasulullah saw yang taat menghidupkan solat malamnya. Riwayat telah menceritakan bahawa di masa hayat Rasulullah saw, Ibnu Umar mendapat kurnia dari Allah. Setelah selesai solat bersama Rasulullah, beliau pulang dan bermimpi. "Seolah-olah di tanganku ada selembar kain. Tempat mana saja yang kuingini di syurga, kain itu akan menerbangkanku ke sana. Dua malaikat telah membawaku ke neraka, memperlihatkan semua bahagian yang ada di neraka. Keduanya menjawab apa saja yang kutanyakan mengenai keadaan neraka," begitulah diungkapkan Ibnu Umar kepada kakaknya yang juga isteri Rasul, Hafshah, keesokan harinya.
Hafshah langsung bertanyakan mimpi adiknya kepada Rasulullah. Rasulullah saw. bersabda:
"ni’marrajulu 'abdullah, lau kaana yushallii minallaili fayuksiru", akan menjadi lelaki paling utamalah Abdullah itu, andainya ia sering solat malam dan banyak melakukannya.
Semenjak itulah, sampai akhir hayatnya, Ibnu Umar tidak pernah meninggalkan qiyamullail, baik ketika bermukim atau bermusafir. Beliau amat tekun menegakkan solat, membaca Al-Quran dan banyak berzikir menyebut asma Allah. Beliau amat menyerupai ayahnya, Umar ibn Khatthab, yang selalu mencucurkan airmata tatkala mendengar ayat-ayat peringatan dari Al-Quran.
'Ubaid ibn 'Umair menjadi saksi, "Suatu ketika kubacakan ayat ini kepada Abdullah ibnu Umar." 'Ubaid membacakan ayat Al Quran, surah an-Nisaa’ :41-42 yang ertinya:
Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami datangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (Muhamad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). Di hari itu orang-orang kafir dan yang mendurhakai Rasul berharap kiranya mereka ditelan bumi, dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun."
Maka Ibnu Umar menangis hingga janggutnya dibasahi oleh air matanya.
Pada kesempatan lain, Ibnu Umar sedang duduk di antara sahabatnya, lalu membaca surah Al Muthaffifin ayat1-6 yang maknanya:
Maka celakalah orang-orang yang berlaku curang dalam takaran. Yakni orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain meminta dipenuhi, tetapi mengurangkannya bila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain. Tidakkah mereka merasa bahawa mereka akan dibangkitkan nanti menghadapi suatu hari yang dahsyat, iaitu ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?.
Lantas Ibnu Umar mengulang bahagian akhir ayat ke enam,
"ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam."
Lantas air matanya bercucuran, sampai akhirnya beliau jatuh kerana merasa duka, takut dan cemas yang mendalam menyebabkan beliau banyak menangis.
Inilah pemuda hebat wahai pemuda zaman moden. Mereka amat menitikberatkan tarbiyah diri mereka. Mereka mentarbiyah diri mereka dengan al Quran dan Solat malam. Inilah bekalan jiwa mereka yang telah mencetuskan momentum hebat lantas berprestasi luarbiasa di medan dakwah. Inilah formulanya buat pemuda yang merasa lelah dan longlai saat memajukan dakwahnya. Tiada pemisahan antara dakwah dan tarbiah. Al Quran dan solat malam adalah rahsia kehebatan pemuda di zaman Rasulullah saw. Al Quran dan solat malam mencetuskan suatu energi luarbiasa kepada diri mereka untuk istiqamah dan tetap dalam perjuangan.
Ketahuilah bahawa Abdullah ibnu Umar adalah salah seorang sahabat Nabi yang berhati lembut dan begitu mendalam cintanya kepada Rasulullah. Saat Rasulullah saw telah wafat, apabila beliau mendengar nama Rasulullah disebut di hadapannya, beliau akan menangis. Ketika beliau melewati di sebuah tempat yang pernah disinggahi Rasulullah, baik di Mekah mahupun di Madinah, beliau akan memejamkan matanya, lantas butiran air bening meluncur dari sudut matanya.
Sebagai sahabat Rasul, ahli ibadah dan pejuang dakwah bersama baginda saw. beliau menjadi insan yang tidak punya minat lagi kepada dunia.Dunia baginya di dalam genggaman, malahan duani tidak mampu menipu daya momentum penghambaannya kepada Allah swt. Sikap luarbiasa beliau terhadap kecintaannya kepada akhirat sudah nampak sejak beliau remaja lagi, ketika pertama kali ghairahnya bangkit untuk ikut berjihad bersama Rasulullah saw.
Inilah contoh kepemudaan yang hebat, Rasulullah saw sentiasa di hati. Akhirat menjadi obsesi. Rahsia telah terbongkar, inilah ciri pemuda yang hebat di sisi Ilahi. Ayuh kita contohi, kita tiada masa lagi kerana dunia sedang menanti pemuda yang hebat memimpin dunia ini.
Wednesday, August 18, 2010
Ramadhan - Disebalik yang tersirat
Ramadhan ia harus dihidupkan dengan keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT melalui amalan soleh
Ramadhan – Disebalik yang tersirat
Alhamdulillah, kita diberi peluang untuk terus menghirup udara Ramadhan yang segar dan menghidupkan ini. Semoga sahabat-sahabat HSiswa, para pembaca dan muslimin dan muslimat di seluruh dunia terus mengaktifkan diri masing-masing dengan memperbanyakan amalan ibadah di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. InsyaAllah
Menyebut tentang Ramadhan, sudah tentu terbayang difikiran kita mengenai pelbagai kenikmatan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalamnya.
Sedikit perkongsian yang ingin saya kongsikan berkaitan Ramadhan dalam ruang yang ada ini.InsyaAllah
Para ulamak, ada yang memberikan satu kesimpulan yang mudah berdasarkan 5 huruf arab daripada perkataan Ramadhan. Ra – Mim – Dhod – Alif – Nun
Tersirat daripada perkataan huruf RA-MA-D-A-N
Ra – adalah Rahmah
Bulan Ramadhan adalah bulan rahmah. Didalamnya dilimpahi dengan pelbagai kerahmatan dan kenikmatan yang tidak terhitung untuk hamba-hamba Allah SWT dan seluruh manusia.
Mim – adalah Maghfirah ( Keampunan)
Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan. Allah SWT membuka ruang dan pintu keampunan seluas-luasnya bagi hambaNya yang memohon keampunan serta menginsafi diri di setiap detik di dalam bulan Ramadhan.
Dari Abu Hurairah telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan berdasarkan iman dan penuh kesedaran mengharapkan Allah maka diampuni dosa-dosa yang terdahulu sebagaimana hari dilahirkan oleh ibunya.”
( HR Ibnu Khuzaimah)
Dhod – adalah Dhoman ( Jaminan)
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diberikan jaminan oleh Allah SWT sebagai bulan yang akan memberikan seribu kebaikan dan ganjaran Syurga bagi sesiapa yang menggunakan kesempatan ini dengan sebaiknya. Jaminan ini adalah jaminan yang tiada tandingannya berbanding bulan-bulan yang lain.
Alif – adalah Amana
Bulan Ramadhan adalah bulan keamanan, ketenangan dan kebahagiaan. Hati dan jiwa kita benar-benar tenang dengan kehadiran dan perasaan nyaman serta tenteram selalu menyelubungi sanubari kita sepanjang berada di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Inilah kehebatan dan keunikan Ramadhan
Nun – adalah Nur
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sentiasa dilimpahi dengan cahaya hidayah dan keimanan daripada Allah SWT. Bagi yang mencintai dan merindui kehadiran bulan yang penuh kerahmatan ini, akan menyedarikan bahawa sinar Ramadhan adalah sinar yang terang benerang memberi pengharapan dan kekuatan kepada jiwa untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi melahirkan seorang mukmin muslim yang bertaqwa dalam erti kata yang sebenarnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Pada bulan Ramadhan diturunkan kitab suci Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan garis pemisah antara hak dan yang batil.”
( Al- Baqarah (2) : 185)
Ramadhan Al-Mubarak
MasyaAllah, itulah kehebatan yang terdapat pada Ramadhan. Ia adalah bulan yang dipenuhi dengan pelbagai tawaran, keistimewaan, ganjaran, kenikmatan, kebaikan, kebenaran, keampunan, kerahmatan, kesolehahan, kebersihan, kejernihan, dan penyucian jiwa untuk bergerak melangkah menjadi seorang manusia yang beriman serta bertaqwa kepada Allah SWT.
Jika bulan Ramadhan datang, Rasulullah SAW biasanya menyambut dengan ucapan :
“ Selamat Datang Wahai orang yang menyucikan.”
Para sahabat bertanya :
“ Siapakah orang yang menyucikan itu wahai Rasulullah ?”
Baginda menjawab :
“ Orang yang menyucikan itu ialah bulan Ramadhan. Ia menyucikan kita daripada segala dosa dan maksiat!.”
Melihat diri, dan usaha kita setakat ini
Hari ini sudah memasuki 7 Ramadhan.
Bagaimana dengan segala usaha amalan soleh kita.
Al-Quran bagaimana? Baca atau terlupa
Solat Sunat rawatib yang sangat digalakan
Solat sunat Terawih yang sangat-sangat dituntut
Zikir kita dalam setiap detik yang terluang
Sedeqah kita berupa wang dan senyuman serta segala bentuk bantuan kebaikan
Doa kita, macamana? Diperbanyakan atau masih ditakuk lama
Perbanyakan amalan kebaikan
Dan kurangkan amalan yang sia-sia
Allah SWT masih memberikan kesempatan yang sangat berharga, agar kita terus mengunakan kesempatan ini dengan sebaiknya ( semaksimanya)
InsyaAllah, ayuh terus maju!
Oleh : Saudara ‘Ali ‘Irfan Bin Jamalludin
Ketua HALUANSiswa Kelantan
Mars HALUAN
Create a playlist at MixPod.com