H A L U A N S i s w a | Bersahsiah, Dekat Bererti

Saturday, May 29, 2010

0

Kenapa Tarbiyah

  • Saturday, May 29, 2010
  • aburidhwan
  • Penulis mula mengenali kalimah dakwah saat berada di Universiti pada tahun 1995. Saat itu juga penulis bersegera memulakan langkah belajar memahami Islam dan amali dakwah. Mengajak rakan-rakan satu kelas, satu pengajian, satu hostel dan satu persatuan. Juga mendekati adik-adik ”junior” dan saling mencari peluang untuk bertaaruf. Mencetak risalah-risalah dakwah dan tarbiyah, menganjurkan perlbagai program kesedaran Islam di kampus. Apabila diimbas zaman tersebut, penulis senyum sendirian kerana ada juga pendekatan penulis yang terlalu beremosi dan bersemangat untuk melaksanakan dakwah sehingga terkadang pendekatan atau metodologi yang penulis gunakan tidak sesuai dengan zuruf atau latarbelakang mad’u. Pengalaman adalah guru yang paling dekat dalam kehidupan kita.

    Alhamdulillah, penulis bersyukur kerana semangat penulis untuk menjayakan misi dakwah diimbangi dengan siri program tarbiyah yang penulis lalui di sepanjang berada di Universiti. Dalam halaqah dan program-program menziarahi para duah yang lebih berpengalaman dan berilmu, banyak mendidik dan merawat jiwa penulis. Kerana tanpa jiwa yang hidup mana mungkin dakwah mampu disampaikan dengan jujur. Ya, institusi dakwah perlu berjalan dan dalam masa yang sama, jiwa sang dai’e perlu terus diproses dalam institusi tarbiyah islamiah yang sistematik. Peringatan Allah swt:

    ”Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu telah membaca Kitab? Maka tidaklah kamu berpikir? (Al-Baqarah:44)

    Ayuh bersegera kita awali langkah diri kita dengan ibda’ binassika. Mulai dari sekarang. Kita hayati pesanan luarbiasa dari Imam Hasan Al Banna, ”Ashlih nafsaka was’u ghairaka..” perbaikilah dirimu sendiri kemudian serulah orang lain kepada kebaikan.

    Institusi tarbiyah amat penting dan mendesak dalam realiti umat hari ini. Institusi ini mampu mengeluarkan graduan-graduan seperti graduan-graduan yang lahir dari madrasah tarbiyah Rasulullah s.a.w. Iaitu graduan-graduan yang memikul panji-panji Tauhid, menjadi mahaguru dan qudwah kepada alam sejagat. Seterusnya kita perlu mewarisi kerja-kerja mereka, membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia, kepada perhambaan kepada Allah s.w.t semata-mata, meruntuhkan sistem jahiliyyah dan membangunkan sistem Islam dalam semua aspek kehidupan manusia. Sistem jahiliyyah (sistem yang menolak Islam yang lengkap), yang sangat pekat dan berkuasa adalah punca bagi segala penyakit yang menimpa manusia hari ini.

    Tarbiyah bukan sekadar hadir program mingguan, duduk berlikar dan mendengar bahan penyampaian. Sebaliknya tarbiyah adalah satu proses mendidik diri kita untuk istiqamah dengan jalan yang telah di bawa oleh Rasulullah. Hatta seorang alumni pondok atau alumni ijazah pengajian Islam dari Timur Tengah sekalipun tidak ada jaminan untuk istiqamah di jalan Allah. Tatkala berhadapan dengan realiti kehidupan yang keras dan melekakan, lama kelamaan orang tersebut meninggalkan dakwah, meninggalkan solat dan meninggalkan jihad. Kuncinya kata para ulama muktabar yang telah dan sedang melalui jalan dakwah dan tarbiyah ialah istiqamah.


    Malahan di zaman Rasulullah saw sendiri ada sahabat nabi yang futur dan cicir dalam jalan dakwah kerana tidak upaya istiqamah dan terpedaya dengan pengaruh dunia yang melekakan.

    A
    pabila direnungkan, kehidupan kita amat berisiko kerana kita sama sekali tidak ada jaminan apakah akhir hidup kita itu husnul khatimah. Maka yang terpenting adalah bagaimana kita mampu istiqamah. Firman Allah swt: 102.

    ”Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Ali Imran:102)

    Justeru, kita berhajat dan perlukan kepada proses tarbiyah. Tarbiyah islamiyah bererti proses menyiapkan muslim dengan persiapan yang menyentuh seluruh aspek kehidupan, meliputi ruhiyah, jasmaniah dan akal fikiran. Ianya bersikap integrasi dan komprehensif mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ringkasnya tarbiyah islamiyah adalah proses penyiapan manusia yang soleh dan membentuk peribadi yang ideal, agar terbina keseimbangan dalam potensi, tujuan, u
    capan, dan tindakannya secara keseluruhan.

    Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, tujuan tarbiah ada 5 iaitu:

    1. Ibadah kepada Allah semata sesuai dengan syariat-Nya.

    ”Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (Adz-Dzariyat:56)


    2. Menegakkan khilafah di muka bumi dengan pemakmuran bumi dan pemanfaatan segala sesuatu yang Allah berikan untuk umat manusia.

    ”Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah:30)

    ”Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka shaleh. Shaleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. dia Telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, Kemudian bertaubatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." (Hud:61)


    3. Saling mengenal sesama manusia. Firman Allah swt:

    ”Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: 13)


    4. Tertegaknya kepimpinan dunia di tangan Islam. Firman Allah swt.:

    ”Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah dirrdhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentiasa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka itulah orang-orang yang fasik. (An-Nur:55)



    5. Melaksanakan hukuman dengan syariat-Nya.

    Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), Maka ketahuila
    h bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. (Al-Maidah:49)

    Tarbiyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah SWT.

    Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da’i yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman Ibn Affan dan Abdul Rahman al-’Auf.

    Menurut Al Syeikh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyah dan pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan layu dan kering.

    Sumber
    Read more...

    Tuesday, May 25, 2010

    0

    Liku-liku Perjuangan

  • Tuesday, May 25, 2010
  • BroHamzah
  • Perjuangan


    Liku-liku Perjuangan
    Oleh : BroHamzah

    “Kita harus miliki jiwa yang besar akhi!,” Itu pesanan akhir sebelum saya berangkat pulang ke Kota Bharu. Pesan daripada seorang sahabat yang sangat saya hormati.

    Kehidupan kita yang tersingkat ini, adalah kehidupan yang harus diwarnai dengan warna-warna perjuangan. Inilah perjuangan yang hidup kerana hidup ini perlu kaya dengan kerja-kerja agung dan pendek angan-angan.

    Setiap daripada kita sebenarnya, sedang mengukir sejarah hidup tanpa disedari. Sebagai seorang yang sedar, dan mempunyai kefahaman untuk mendapat keredhaan Allah SWT, jalan pilihan untuk dilalui ialah jalan yang mempunyai perjuangan yang nyata dan jelas.

    Ia sedang membina biografi kehidupannya sendiri yang hanya akan menjadi saksi di hari perbentangan amalan di hadapan Allah SWT. Sebagai mukmin, amalan yang paling mulia adalah berada dalam saff perjuangan memelihara, memperjuangkan dan membangkit deen Allah SWT dalam kehidupannya.

    Amir Syamsul Ma’ali Qabus mengatakan :

    Membangun biografi yang manis itu harus dengan bersusah payah. Dan melakarkan kenangan yang indah itu harus dengan berusaha keras.”

    Amr bin al-Ash radhiyallahu ‘anhu berkata :

    “ Kalian harus bercita-cita meraih perkara-perkara yang besar, bukannya perkara-perkara yang kecil.”

    Amirul Mukmini Mu’awiyah radhiyallahu’anhu berkata :

    “ Barangsiapa mencari sesuatu yang besar, pemikirannya akan terbayang kepada kebesarannya.”

    Inilah semangat yang membara yang kita impikan. Betapa sesungguhnya, orang yang bersemangat itu terus bergerak menuju titik harapan dengan penuh keyakinan dan rasa percaya kepada dirinya sepenuhnya tanpa ragu-ragu mahupun was-was. Dengan bermodalkan kekuatan keimanan yang kental, keluasan ilmu dan kearifan hikmah ia mengharungi berbagai samudera tentangan gelombangan kesulitan, kepayahan, kesukaran tanpa menyerah kalah dan apatah lagi berputus asa.


    Syuyukh Tarbiyah yang saya hormati, Cikgu Mohd Abduh Zainal Abidin selalu mengobarkan semangat dengan kata-kata yang menyentuh jiwa :

    “ Tiada istilah putus asa dalam jiwa seorang mukmin. Kita harus mencari sebab untuk kuat. Ayuh Syabab, bangkitkan semangat antum dan laksanakan kerja ini !!.”

    Seorang penyair Arab bermadah

    Biar aku menggapai kemuliaan yang belum pernah aku gapai
    Tetapi nilai kemuliaan itu tergantung pada tingkat kesulitan dan kemudahan dalam mendapatkannya


    Jalan ini adalah jalan kesukaran, dihiasi segala bentuk rupa kesulitan namun nilainya sangat berharga kerana dibayar dengan kemuliaan dan kebahagian.

    Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :


    “ Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah Mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.”

    ( Al-Isra’ 17 : 19)


    Inilah jalan kemuliaan yang didambakan. Jalan kemuliaan yang memberikan kebahagiaan. Namun, lalui yang harus ditempuhi adalah laluan yang dipenuhi dengan ranjau yang berduri yang menusuk diri. Laluan jalan ini akan ditaburi kaca-kaca dan duri-duri yang tajam lagi bersegi, dan hanya mereka-mereka yang mempunyai jiwa yang besar, berpandangan jauh, bersemangat jitu dan bermatlamat jelas akan terus menempuhi dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi.

    Sepinya Jalan ini

    Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam berkata dalam bukunya Meraih Cita-cita dengan semangat membara :

    Wahai orang yang bersemangat, jangan takut kepada kesepian, kerana jalan menuju kemuliaan memang sedikit kawan.”


    Sesungguhnya orang yang bersemangat adalah orang yang mencari kemuliaan, bukan mencari kesenangan, atau kekayaan, atau populariti , atau kekuasaan, atau kemegahan dan kebesaran dunia. Jiwanya yang kecil itu dibakar oleh kemahuannya yang besar untuk meraih keredhaan Allah SWT.

    Ia sedar akan kerumitan dan kepayahan jalan ini. Ia sangat-sangat sedar semakin besar cita-citanya semakin sedikit yang membantunya, dan jalan menuju kepada kemuliaan itu memang sedikit kawan.

    Sufyan bin Uyainah mengatakan :


    “ Tempuhlah jalan kebenaran, dan jangalah merasa kesepian oleh sedikitnya orang yang berpihak kepadanya.”

    Sulaiman ad- Darani mengatakan :


    “ Seandainya semua orang ragu berada dalam kebenaran, akulah satu-satunya orang yang tidak.”

    Seorang Salaful Soleh berkata :


    “ Kesendirianmu dalam setia meniti kebenaran, adalah bukti bahawa kamu benar-benar serius menitinya.”

    Sesungguhnya buah kemuliaan iman yang dirasai oleh seorang Mukmin sejati adalah kesedarannya bahawa dalam Islam terdapat kekuatan sejati yang bermula dengan keyakinan kepada jalan kebenaran, memiliki jiwa yang besar lagi luar biasa dan kesanggupan kesepian di tengah-tengah kelompok yang menolak kebenaran. Inilah individu yang luar biasa, jiwanya hebat untuk melaksanakan tuntutan keimanan ke atas dirinya.

    Pesan Ustaz Sayid Qutub rahimahullah yang sangat bermakna ;

    “ Sahabat,
    Teruslah berjalan
    Jangan menoleh ke belakang
    Kerana jalan yang telah kamu lalui telah berlumuran darah
    Jangan menoleh ke sana ke mari
    Tataplah terus mengapai langit.”



    Read more...

    Sunday, May 23, 2010

    0

    Memantapkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti

  • Sunday, May 23, 2010
  • aburidhwan

  • Bismillahirrahmanirrahim,
    Assalamu’alaikum wbth.

    Pengerusi Majlis, pimpinan Exco HALUAN Pusat, para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian.

    Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subha Nahu Wa Taala kerana mengizinkan kita untuk menjayakan mesyuarat perwakilan tahunan HALUAN kali ke-21 pada tahun ini. Selawat dan salam kita sampaikan kepada junjungan yang mulia, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam, keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang berada di jalan dakwah.

    Pertama-tamanya marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subha Nahu Wa Taala kerana di atas keizinan-Nya dan limpah kurnia-Nya maka mesyuarat agong HALUAN kali yang ke 21, 2010 dapat diadakan. Selawat dan salam kita tujukan kepada junjungan besar kita kekasih kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam, keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga ke hari kiamat. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang merupakan rasul da’wah dan tarbiah. Peribadi baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah peribadi contoh yang terbaik sepanjang zaman.

    "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah Subha Nahu Wa Taala dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah Subha Nahu Wa Taala banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" (Al-Ahzab : 21)

    Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran barisan exco HALUAN sesi 2009-2011, para perwakilan negeri, para pemerhati dan seterusnya ingin mengucapkan jazakumullahu khairan katsira serta merakamkan jutaan terima kasih di atas komitmen dan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli HALUAN. Semoga pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang telah dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Subha Nahu Wa Taala.

    Sidang perwakilan yang dikasihi,

    Pada peringkat awal penubuhan, aktiviti HALUAN terbatas kepada usaha-usaha kebajikan untuk manfaat ahli-ahli. Di peringkat ini, aktiviti-aktiviti HALUAN tertumpu kepada program-program seperti seminar dan kaunseling pelajar dan remaja, pendidikan keluarga, kursus-kursus berkaitan ekonomi dan keusahawanan, dan juga kem-kem motivasi dan pengurusan. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut juga melibatkan masyarakat umum bukan dari kalangan ahli, ianya agak terbatas.

    Namun sejak tahun 2002, dengan peningkatan keahlian dan kemampuan ahli HALUAN terbentuk dengan baik, HALUAN mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Perkembangan terancang ini melibatkan aktivis-aktivis HALUAN turun membantu mengubati masalah-masalah sosial, di samping bantuan-bantuan kepada masyarakat miskin, yang terabai, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan seumpamanya. Usaha ini juga dapat memberi ruang kepada mereka yang mampu dan ikhlas dari kalangan masyarakat untuk menjadi relawan bersama HALUAN dengan usaha yang kemas dan tersusun. Allah Subha Nahu Wa Taala telah membantu kita dalam meluaskan lagi lapangan usaha kita. Inilah yang dikatakan oleh Allah Subha Nahu Wa Taala sebagai bantuan-Nya.

    ”Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Taala, maka Allah Subha Nahu Wa Taala akan memberikannya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak akan mampu dijangka”
    (Surah At-Talaq: 2-3)

    Alhamdulillah, perkembangan ini telah menunjukan satu petunjuk yang positif dan kini HALUAN semakin dikenali sebagai sebuah badan NGO yang bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Dengan perkembangan yang sihat ini, kita sebagai ahli HALUAN harus melihat segala perancangan, perkembangan dan perlaksanaan gerak kerja dengan lebih teliti dari aspek dalaman dan luaran kita.

    Dengan menggunakan segala yang telah Allah Subha Nahu Wa Taala bukakan kepada kita ini, hal itu sendiri adalah manifestasi kesyukuran. Kita tidak mahu bersyukur sekadar bicara, yang akhirnya hanya akan bertukar menjadi berbangga-bangga sahaja. Akan tetapi kita mahu bersyukur dengan amal. Semoga Allah Subha Nahu Wa Taala redha dan menambah lagi kekuatan serta nikmat yang diberikan-Nya kepada kita.

    Dan ingatlah ketika Rabb kamu memberitahu: Sekiranya kamu beryukur, maka aku akan tambahkan untuk kamu (nikmatKu)...” (Surah Ibrahim:7)

    Para perwakilan yang saya muliakan,

    Di dalam perkembangan sebuah organisasi, setiap perancangan dan perkembangan organisasi harus dilihat secara teliti dan dinilai dari semasa ke semasa. Justeru, pada ucapan dasar pada kali ini saya ingin ajak semua ahli HALUAN untuk kita melihat secara lebih mendalam dan serius berkaitan dengan tema ucapan dasar kali ini iaitu “Memantapkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti.” Dalam ucapan dasar ini, terdapat empat (4) aspek penting yang akan kita lihat berdasarkan tema yang telah dinyatakan sebentar tadi. Empat (4) elemen yang saya maksudkan itu ialah mantap, kualiti, pertingkatkan dan kuantiti.

    Menurut kamus dewan edisi keempat, mantap membawa maksud tabah hati, tetap hati, manakala kualiti pula membawa erti tahap kecemerlangan yang tinggi. Pertingkatkan pula berasal daripada perkataan tingkat. Manakala, maksud kuantiti pula ialah jumlah banyaknya sesuatu.

    Secara umumnya dapatlah kita fahami di sini ialah, Memantapkan kualiti dan mempertingkatkan kualiti membawa maksud memperkuatkan kecemerlangan yang sedia ada dan menambah angka kekuatan kita baik dari segi ahli mahupun gerakerja.

    Para perwakilan yang dihormati sekalian,

    Secara lebih mendalam, aspek ”memantapkan kualiti” merupakan aspek dalaman HALUAN iaitu tarbiah atau pendidikan itu sendiri. Dengan erti kata lain, ia adalah pemantapan dari segi keanggotaan ahli HALUAN sehingga tersedianya pekerja-pekerja yang mencukupi dari pelbagai aspek kemahiran, kepakaran dan keupayaan.

    Sebagai sebuah badan NGO yang berteraskan Islam, HALUAN menjadikan proses pendidikan Islam yang bertunjangkan Al Quran dan As-Sunnah sebagai parameter kualiti ahli-ahlinya. Kualiti inilah yang menjadikan kualiti utama yang dinilai serta menjadi neraca yang dititik beratkan Islam. Di dalam sejarah perkembangan Islam di peringkat awal, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah menjadikan proses didikan Islam atau Tarbiah Islamiah sebagai teras utama untuk mendidik generasi para sahabat RA sehingga mereka lahir sebagai generasi yang hebat dan diiktiraf oleh Allah Subha Nahu Wa Taala sebagai generasi Al-Quran yang unik.

    Abu Hurairah meriwatatkan bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:

    Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang teguh dengannya, maka kamu tak akan sesat buat selama-lamanya. Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya” (Hadis Riwayat Imam Malik)

    Kepentingan kualiti ahli yang bermutu dan mampu bekerja dengan kekuatan serta pelbagai kemahiran sangat-sangat diperlukan oleh HALUAN bagi menampung keperluan semasa yang semakin mendesak dewasa ini. Namun hanya yang berkualiti di sisi Allah Subha Nahu Wa Taala itulah yang benar-benar mampu menembus desakan alam pada hari ini. Kualiti yang hanya terbatas kepada neraca manusia, tidak akan membawa kita ke mana-mana.

    Kualiti ahli yang ingin dibina dan dibentuk oleh HALUAN adalah kualiti yang pernah digariskan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam Risalah Majmu’ Rasailnya. Kualiti ahli yang dimaksudkan ialah setiap ahli HALUAN memiliki aqidah yang sejahtera, perlaksanaan ibadah yang sempurna, berakhlak dengan akhlak yang mulia, mempunyai keilmuan yang tinggi, berkemampuan mengurus masa dengan baik, tersusun urusan kehidupannya, mampu berdikari, memiliki tubuh badan yang sihat, mampu melawan tuntutan hawa nafsu dan bermanfaat kepada orang lain. Jika disimpulkan, ianya selari dengan motto HALUAN itu sendiri iaitu “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.

    Para perwakilan yang budiman,

    Secara kesimpulan yang boleh dibuat bahawa untuk melahirkan kualiti yang benar-benar dikehendaki oleh Allah Subha Nahu Wa Taala, aspek dasar dan asas utama iaitu tarbiah dalaman ahli HALUAN harus dilihat secara menyeluruh dari segi perlaksanaan dan keberkesanannya. Hal ini wajar dilihat secara serius di semua peringkat dalam HALUAN sama ada di peringkat kepimpinan HALUAN Pusat mahupun di peringkat Negeri. Satu modus operandi yang lebih menyeluruh dan mekanisme bagi pemantauan aktiviti tarbiah ahli HALUAN wajar diperhalusi agar aspek pembinaan dalaman ini meninggalkan kesan yang baik dan positif kepada ahli HALUAN dan ia menjuruskan kepada proses pemantapan kualiti ahli HALUAN.

    Hakikatnya jika kita perhatikan, bangunan yang tinggi dan kukuh, adalah bangunan yang diperhalusi pembinaan dasarnya. Hanya dasar yang kuat, mampu menjamin keutuhan dan kekukuhan sesebuah binaan. Begitu jugalah dengan pembinaan organisasi HALUAN ini.

    Para perwakilan yang dimuliakan,

    Bagi skop, mempertingkatkan kuantiti , ia merupakan aspek luaran HALUAN iaitu dakwah keluar ke masyarakat dengan memperluaskan keanggotaan dan golongan massa. Ini bermakna, HALUAN juga perlu memikirkan usaha-usaha ke arah mempertingkatkan bilangan anggota relawan dan turut meningkatkan tahap keanggotaan ahli dalam HALUAN.

    Usaha-usaha dan penyebaran dakwah Islam di kalangan ahli HALUAN, harus diperluaskan kepada anggota komuniti masyarakat. Jika dilihat kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan HALUAN yang dilaksanakan sejak akhir-akhir ini, memberi gambaran yang positif dan menerima maklum balas daripada komuniti masyarakat. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang meluas dirasai dan meninggalkan kesan kepada anggota masyarakat sehingga mereka positif kepada HALUAN dan ingin meyertai HALUAN sebagai anggota relawan HALUAN.

    Jika dilihat kepada perkembangan mutakhir ini, proses kepada peningkatan ahli HALUAN sudah berlaku tanpa disedari. Namun, di pihak kepimpinan HALUAN, peningkatan ahli HALUAN seharusnya dirancang, disusun dan disistemkan agar ia berlaku dengan baik dan tersusun.

    Justeru, dalam soal proses peningkatan kuantiti ini antara aspek penekanan yang harus ditekankan ialah berlakunya penyebaran Wa’yun Islami kepada semua golongan masyarakat. Wa’yun Islami atau kesedaran Islam haruslah berlaku secara menyeluruh kepada golongan masyarakat. Ahli HALUAN harus menyedari dan memahami akan hakikat konsep kesedaran Islam yang seharusnya berlaku dalam masyarakat dan berusaha secara kolektif untuk menyuntik semangat kesedaran Islam di dalam masyarakat.

    Segala bentuk usaha penyebaran dakwah Islam dengan tujuan untuk menyedarkan masyarakat harus melalui kaedah syarak dan menepati segala yang digariskan oleh Al-Quran dan Hadis. Segala medium sebaran kesedaran Islam harus dimanfaatkan dan disebarluaskan kepada masyarakat. Namun, harus juga diingatkan bahawa dalam ahli HALUAN memahami pembentukan Wa’yun Islami ini ianya tidak terbatas kepada menghadiri program mingguan ahli HALUAN atau ceramah-ceramah kesedaran agama sahaja. Akan tetapi pembentukan kesedaran yang dimaksudkan di sini ialah akhlak dan shakhsiah ahli HALUAN juga menjadi contoh bagi proses pembentukan kesedaran Islam kepada anggota masyarakat.

    Usaha dakwah melalui kelakuan, tabiat, sikap dan tindakan harian adalah usaha dakwah yang sangat praktik dan mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat. Perkara ini pernah dibuktikan pada sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dan para sahabat RA apabila pertambahan ahli anggota Ummah Islamiyah ketika itu bermula dengan contoh akhlak dan shakhsiah yang mulia. Justeru itu, seluruh ahli HALUAN harus menghayati dan menjadikan ‘akhlakul karimah’ sebagai sahsiah peribadi dan ianya terzahir di dalam kehidupan seharian. Perkara ini selari dengan salah satu motto HALUAN itu sendiri iaitu berakhlak. HALUAN menjadikan akhlak nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai contoh ikutan dan aspek ini jugalah menjadi dasar utama kepada imej dan identiti HALUAN.

    Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:

    “Sesungguhnya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
    (Hadis Riwayat Malik, Ahmad Hakim, At-Tabrani dan Bukhari)

    Di dalam hadith yang lain, diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RH apabila ditanya berkenaan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, dia menjawab: “Akhlaknya adalah Al-Quran”.

    Allah Subha Nahu Wa Taala pula berfirman:

    Dan bahawa sesungguhnya kau (Muhammad) mempunyai akhlak yang tersangat mulia.” (Surah Al-Qalam:4)

    Inilah dia hakikatnya resipi sebenar kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Bukan sekadar kata, tetapi pembumian Islam itu dalam kehidupan yang membuatkan jiwa-jiwa tertawan, lalu mendekati agama Allah Subha Nahu Wa Taala.

    Para perwakilan yang dikasihi,

    Berdasarkan kepada dua (2) aspek yang saya sebutkan sebelum ini iaitu memantapkan kualiti dan mempertingkatkan kuantiti, maka HALUAN perlu bergerak kehadapan menyusun strategi dan perancangan yang lebih mantap bagi menjayakannya. Oleh yang demikian, beberapa perkara yang kini harus diutamakan oleh HALUAN bagi memastikan segala yang dinyatakan ini mampu dilaksanakan sebanyaknya.

    Bagi melaksanakan proses pemantapan kualiti ahli HALUAN dan juga mempertingkatan kuantiti ini, HALUAN kini memfokuskan kepada dua (2) perkara iaitu aspek sinergi pendidikan dan perkhidmatan. HALUAN berpandangan bahawa soal pendidikan adalah soal yang terpenting dalam soal pembangunan insan dan ia berkait rapat dengan usaha memantapkan kualiti ahli HALUAN. Justeru, HALUAN akan terus memperkasakan institusi pendidikan bermula daripada unit-unit terkecil iaitu unit-unit Halaqah HALUAN sehingga kepada institusi pendidikan yang besar seperti sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Proses dalaman dan pembentukan keperibadian Muslim yang berjalan sehingga kini, harus dimantapkan lagi sama ada dari segi bahan penyampaiannya, keberkesanan dan perjalanan unit ini di kalangan ahli HALUAN. Proses pembinaan dan pemantapan keperibadian muslim ini harus berlaku secara sedar dan terancang sehingga terbentuk keperibadian Muslim yang dikehendaki oleh Allah Subha Nahu Wa Taala di kalangan ahli HALUAN.

    HALUAN harus mengemukakan suatu sistem pendidikan yang mampu menyelesaikan permasalahan ummat dan ia bukan sekadar sekolah tetapi 'sistem' pendidikan. Dan sistem inilah yang akan dilaksanakan bagi melahirkan insan yang rabbani, berakhlak dan mampu member manfaat kepada masyarakat, negara dan ummah.

    Dalam bidang perkhidmatan, HALUAN juga harus ke depan dalam menyediakan 'sistem perkhidmatan' yang memberi kesan kepada masyarakat iaitu sistem yang dapat menangani gejala sosial yang berlaku serta perkhidmatan lain seperti perkhidmatan untuk anak yatim, orang miskin dan semua golongan yang memerlukan.

    HALUAN juga harus berperanan membela nasib ummat Islam minoriti di rantau ini, seperti selatan Thailand, Filipina, Kemboja dan lain-lain.

    Para perwakilan yang dihormati sekalian,

    Selain itu juga dalam usaha untuk mempertingkatan usaha dakwah di Malaysia maka perlu wujudnya satu penerokaan dalam bentuk dimensi yang baru dalam kaedah dan wasilah bergerak dalam era keterbukaan (Infitah) ini di kalangan ahli HALUAN. Perkara ini perlu dilihat secara bersepadu dan dilaksanakan secara kolektif oleh semua ahli HALUAN. HALUAN perlu menambah tumpuan kepada dakwah non-muslim, khususnya kaum Tionghua. Dakwah kepada mereka adalah lebih natural bagi menambah kekuatan ummat dalam aspek ekonomi memandangkan perniagaan merupakan suatubudaya mereka berbanding kita yang baru cuba menceburkan diri. Dengan wujudnya satu lagi biro khusus seperti HALUANFitrah akan menjadi satu titik tolak kepada pemfokusan dakwah non Muslim dan ia perlu disebarluaskan lagi di kalangan ahli HALUAN.

    Ini sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan dan di dalam era keterbukaan dunia teknologi maklumat. Segala kemudahan serta kecanggihan teknologi kini harus dimanfaatkan sebaiknya bagi tujuan dakwah dan sebaran kebaikan.

    Para perwakilan yang dikasihi,

    Dalam usaha mempergiatkan aktiviti kebajikan, HALUAN telah melaksanakan pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan dan khidmat bantuan kepada masyarakat di Malaysia. Namun, ia masih dilihat berlaku di sebahagian kecil dan di sesetengah tempat sahaja. Justeru itu, usaha-usaha sebegini harus diperluaskan dan digembelingkan dengan lebih banyak dan meluas.

    Bagi melaksanakan aktiviti sebegini, HALUAN seharusnya bijak menggunakan segala kemudahan yang tersedia dan perlu bekerjasama dalam bentuk perkongsian pintar sama dengan agensi dalam kerajaan pusat maupun negeri. Sebagai contoh, pihak HALUAN mempunyai hubungan baik dengan beberapa agensi kerajaan dan negeri sebelum ini seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan dan Majlis Agama Islam negeri dalam mengadakan beberapa program kemasyarakatan. Usaha murni dan sinergi ini harus diteruskan. Hal ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan kepada masyarakat.

    Para perwakilan yang budiman,

    Dewasa ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang giat membangun daripada pelbagai aspek sama ada dari segi kesedaran beragama, kepekaan terhadap isu politik, peningkatan kualiti pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Perkembangan ini, memperlihatkan kepada kita bahawa HALUAN harus berdepan dengan arus semasa dan mampu menangani isu-isu sebegini serta berkemampuan untuk memainkan peranan yang lebih penting sebagai sebuah badan NGO.

    Sehubungan dengan itu, HALUAN perlu mewujudkan satu unit penyelidikan yang akan memberi penekanan kepada aspek analisis, kajian secara mendalam untuk memahami isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Isu-isu seperti isu keagamaan seperti penggunaan nama Allah Subha Nahu Wa Taala yang heboh diperkatakan dalam arus perdana masyarakat baru-baru ini. Ia harus dikaji dan HALUAN perlu menyatakan pendirian dalam hal sebegini. Selain itu, isu politik terutamanya penekanan kepada perpaduan bangsa Melayu perlu dianalisis secara mendalam dan pendekatan yang harus dilaksanakan oleh HALUAN untuk menyebarkan peranannya di masa hadapan.

    Dalam ekonomi, terdapatnya jurang yang sangat jauh antara golongan yang miskin dengan golongan yang kaya. Jika dilihat kepada agihan pendapatan terkini, analisis terhadap ekonomi diperlukan. Sekiranya hal ini berlaku dalam HALUAN, ia akan memudahkan jentera HALUAN dalam usaha untuk membantu Negara ini mempertingkatan penguasaan ekonomi. Oleh itu HALUAN harus berkeupayaan mengemukakan suatu 'sistem ekonomi' yang mampu menjadi sistem yang lebih adil, saksama dan tidak menindas mana-mana golongan.

    Jika dilihat dari sudut pendidikan, kebanyakan IPTA/S dikuasai oleh bukan bumiputera. Bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah, HALUAN telah mengambil satu insiatif mewujudkan sebuah kolej swasta iaitu Kolej Teknologi Darul Naim(KTD) sebagai alternatif untuk membantu anak bangsa.

    Dalam soal sosial, berlakunya penularan kerosakan gejala sosial di kalangan pemuda dan pemudi yang berbangsa Melayu. Hal ini, sangat menyedihkan dan memilukan hati kita apabila yang terlibat dengan semua perkara ini ialah anak bangsa kita sendiri. Justeru, dengan mewujudkan satu unit penyelidikan ini, ia dapat membuat kajian secara ilmiah dan berfakta dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku.

    Sidang perwakilan sekalian,

    Marilah sama-sama kita memahami dan menyedari suatu hakikat bahawa untuk memulihkan kembali suasana masyarakat yang ada pada hari, kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Inilah jalan yang tulin dan jalan kebenaran yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

    Sebagaimana kata-kata orang dahulu bahawa, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu tidak meninggalkan harta dan kemewahan sebagai warisannya. Akan tetapi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam meninggalkan dakwah dan tarbiah untuk kita meneruskannya.

    HALUAN berpandangan usaha untuk memantapkan kualiti ahli HALUAN dan juga mempertingkatkan kuantiti HALUAN adalah bermula dengan proses pendidikan aqidah tauhid kepada Allah Subha Nahu Wa Taala. Inilah tunjang dan tapak asas yang paling dasar dalam struktur organisasi HALUAN. Tanpa asas yang kukuh, sebuah bangunan akan runtuh dan ranap. Proses pembentukan asas-asas ini harus dilihat sebagai aspek yang terpenting dalam mengembalikan Islam sebagai cara hidup dan jalan penyelesaian kepada apa jua permasalahan yang berlaku.

    Di dalam sejarah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, baginda telah melaksanakan proses pembinaan ummah Islam yang menjadi proses pendidikan iman sebagai teras dan acuan utama. Justeru, kita sebagai ummatnya harus menjadikan segala yang ditunjukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai qudwah.

    Sejarah perjuangan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang yang mengandungi pelbagai pengajaran dan pendoman untuk umat Islam. Sejarah kehidupan atau sirah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dihiasi dengan kisah perjuangan yang tidak mengenal erti jemu, sebuah hakikat pengorbanan yang sangat tinggi, pergantungan dan kepasrahan sepenuhnya kepada Allah Subha Nahu Wa Taala, dan contoh panduan yang hidup untuk dijadikan ikutan sepanjang zaman.

    Inilah ketetapan dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Subha Nahu Wa Taala, bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah contoh panduan kepada umat Islam. Keperibadian dan kehidupan baginda umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah sebaik-baik contoh dan ikutan. Inilah dia resepi kejayaan utama yang jarang-jarang kita perhatikan.

    Firman Allah Subha Nahu Wa Taala yang bermaksud :

    Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah Subha Nahu Wa Taala dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah Subha Nahu Wa Taala.” (Al- Ahzab : 21)

    Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah berjaya membina satu ketamadunan yang hebat dan gemilang. Di dalam buku yang ditulis oleh seorang penulis barat iaitu Michael H. Hart, beliau telah meletakkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, malah ia mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri.

    Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, menyatakan bahawa satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam menjadi insan berpengaruh adalah kerana kualiti yang ada pada diri baginda. Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti integriti dan kualiti kompetensi. Inilah yang menjadikan kehidupan baginda sangat signifikan kepada manusia lain terutamanya kepada para sahabat di bawah didikan Baginda.

    Di dalam Islam, kualiti ini kita namakan ia sebagai ‘akhlakul karimah’ atau budi pekerti yang mulia. Bermula dari kualiti ini akhirnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam berjaya membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia. Sudah pasti terdapat satu rahsia yang perlu dilihat secara terperinci terhadap proses pembentukan ketamadunan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam kerana di dalam hanya masa yang singkat iaitu 23 tahun, Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam berjaya mengasaskan dan membentuk satu ketamadunan yang mampu bertahan selama 1400 tahun!

    Akan tetapi perlu kita ingat bahawa, kita bukan sahaja hendak membina ketamadunan dan bukanlah ketamadunan yang mampu bertahan selama 1400 tahun itu menjadi satu-satunya matlamat kita sahaja. Bahkan, kita adalah perawat-perawat masyarakat, dan hendak membawa diri kita dan mereka kepada kejayaan yang hakiki. Itulah dia hakikatnya perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, yakni bukan membina negara, tetapi membawa masyarakat untuk hidup dalam redha Allah Subha Nahu Wa Taala dan menggapai syurga-Nya.

    Tamadun yang hebat, negara yang kuat, hanyalah hasil daripada kehidupan dalam keredhaan Allah Subha Nahu Wa Taala itu tadi.

    Allah Subha Nahu Wa Taala berfirman berkenaan makna kejayaan yang sebenar:

    “Sesungguhnya setiap yang bernyawa itu akan merasai kematian. Dan sesungguhnya akan disempurnakan setiap kiraan amalan kamu di hari kiamat. Barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya.” (Surah Ali-Imran:185)

    Justeru itu, melihat dan meneliti sejarah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah menjadi keutamaan kita di dalam menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai contoh dan murrabi di dalam perjuangan menegakan Islam.

    Justeru itu, usaha ke arah pemulihan ini harus dimulakan dan diteruskan sehinggalah umat Islam kembali kepada acuan yang sebenar seperti yang digariskan oleh Allah Subha Nahu Wa Taala. Sekiranya kita kembali kepada sejarah yang dinyatakan di atas, kita akan dapati formula untuk membina dan membentuk sesuatu generasi dan tamadun itu telah pun ditunjukan serta dilaksanakan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

    Seharusnya, jalan, kaedah, cara dan juga panduan yang ditunjukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dijadikan kaedah utama dalam membentuk generasi yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Taala. Perkara inilah yang seharusnya menjadi perkara utama yang kita tekankan dan fokuskan sekiranya kita ingin membina semula generasi Islam yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam.

    Fokus penekanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah membangunkan sumber manusia itu sendiri. Inilah modal utama pembangunan dan pembinaan ketamadunan Islam. Pada peringkat awal perkembangan Islam, tapak asas kepada tamadunan Islam yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah penanaman aqidah yang jitu dan kukuh di dalam jiwa dan hati para sahabat dan pengikut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi tonggak utama kepada penyebaran dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam di dalam menggerakkan jentera dakwah selepas era dakwah rahsia kepada dakwah terbuka.

    Seharusnya, pembinaan sumber manusia bermula dengan aspek aqidah dan kepercayaan ini. Ia boleh diserapkan melalui proses pendidikan kerohanian dan ini wajar dicontohi dan dilaksanakan oleh ummat Islam di dalam kehidupan seharian mereka.

    Seharusnya inilah penghayatan yang perlu dilakukan oleh Ummat Islam dalam mencontohi perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Sunnah yang paling besar yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam adalah perjuangan dan penyebaran ajaran Islam itu sendiri. Lantas, segala kehidupan yang ditunjukan oleh baginda mestilah difahami, dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian secara penuh sedar dan faham. Inilah kejayaan utama yang harus dilihat secara serius dan seterusnya dilakukan sebagai agenda utama dalam kehidupan kita.

    Semoga HALUAN terus bergerak maju dalam menyebarkan risalah kebenaran dan menjadikan proses pendidikan islam (Tarbiyah Islamiah) sebagai asas utama proses pembinaan ahli yang berkualiti dan menjadikan dakwah Islamiah sebagai tonggak utama proses penyebaran kesedaran Islam kepada masyarakat dalam usaha mempertingkatkan kuantiti ummat Islam yang mempraktikkan ajaran Allah Subha Nahu Wa Taala dalam kehidupan mereka, Insha Allah. Dan inilah aspek penyediaan diri ahli HALUAN dalam berdepan dengan cabaran globalisasi dan setiap ahli harus bersiap sedia untuk berperanan dalam apa jua bidang dalam era yang mencabar ini.

    Sidang perwakilan sekalian,

    Alhamdulillah, jika dilihat dari perkembangan HALUAN sepanjang tahun 2009 sehingga sehingga ke hari ini, banyak perkara yang telah dilaksanakan oleh HALUAN dalam memberi sumbangan kepada masyarakat. Antaranya ialah:-

    • Program Pembangunan Modal Modal Insan (PPMI) di Kunak Sabah dan di Kelantan. PPMI merupakan satu projek kemasyarakatan HALUAN yang dilaksanakan dengan bantuan geran daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW.)
    • Kem Pesona Remaja Puteri anjuran bersama HALUANITA dan Masjid Putra, Putrajaya. Program selama 3 hari yang diadakan di Masjid Putra tersebut berjaya menarik penyertaan remaja puteri dari beberapa negeri, termasuklah dari negeri Selangor, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Melaka. Bertemakan tentang shahadatain, kem kali ini disertai oleh seramai 196 orang remaja. Lebih 30 orang ahli jawatankuasa dari HALUANITA dan fasilitator dari Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) yang sedang bercuti menyumbang tenaga menjayakan kem ini. Ini merupakan penyertaan kem Pesona yang terbesar pernah diadakan.
    • Program korban di Kemboja dan Vietnam. Sejumlah 77 ekor lembu dan 7 ekor kambing telah dikorbankan, manakala 6 ekor kambing lagi disembelih sebagai ibadah aqiqah. Sejumlah 35 ekor lembu dan 1 ekor kambing telah dikorbankan di Vietnam. Manakala 42 ekor lembu dan 6 ekor kambing dikorbankan di Kemboja.
    • Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JATIDIRI) untuk Lepasan SPM 2009. Seramai lebih 180 orang pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti program Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009 yang dianjurkan bersama oleh HALUAN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Kursus ini telah berjalan selama 47 hari.
    • Seminar Menangani Gejala Sosial. HALUANITA dengan kerjasama JAKIM telah mengadakan Seminar Menangani Gejala Sosial bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Seminar 3 hari ini telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta.
    • Seminar Hijrah Ke Menara Gading (HimeGa’10). Program ini adalah anjuran Kelab Siswa Haluan, Akademi Penyelidikan Haluan dan Persatuan Alumni Matri, Alumni SMASKL dan ILIK. Seramai 170 orang pelajar lepasan SPM 2009 dari seluruh negara telah hadir dengan dibantu oleh fasilitator dalam kalangan mahasiswa IPTA/S .
    • Misi Kemanusiaan Padang. Relawan-relawan HALUAN bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dan juga doktor-doktor kerajaan Indonesia. 10 pasukan Relawan Haluan yang telah dihantar melibatkan 85 orang terdiri dari para doktor, paramedik, kaunselor dan siswa. Sepanjang di sana mereka telah berkhidmat di 35 pusat khidmat di Padang-Pariaman merawat 4000 orang pesakit.
    • Misi Bantuan ke Kem Pelarian Palestin. Relawan Haluan melawat serta merawat pesakit di beberapa buah kem-kem pelarian, termasuklah di Dar’aa, Tanf dan Hassakeh, Syria. Di sana, pasukan HALUAN Palestin sempat memberikan hadiah berbentuk pakaian dalam dan lain-lain keperluan asas untuk mangsa, terutamanya untuk kaum wanita dan kanak-kanak. Kem Tanf terletak di kawasan gurun di antara Iraq dan Syria, dan dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah sebuah daripada lima kem pelarian mangsa perang yang terburuk di dunia.

    Dalam masa yang terdekat ini, HALUAN telah diberi amanah oleh Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang merupakan sebuah badan NGO Turki untuk menjadi wakil mereka dalam menggerakkan satu projek bantuan kepada Palestin iaitu ‘Lifeline For Gaza’. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti ‘Jamuan Makan Malam untukmu Palestin’, Ceramah Palestin di setiap negeri, Konsert ‘Life Line For Gaza’ di Masjid Wilayah yang menarik kehadiran 2000 orang peserta, dan majlis perkongsian balu mangsa perang Gaza dengan kerjasama NGO-NGO Muslim di negara ini.

    Baru-baru ini, dengan kerjasama badan-badan NGO yang ada di Malaysia, kita telah berjaya mengadakan satu Perhimpunan Perdana Palestin (PPP) yang menghimpunkan lebih 10 ribu rakyat Malaysia yang prihatin akan permasalahan ini dan setakat ini sebanyak RM 1.1 Juta telah berjaya dikumpulkan untuk tujuan ini.

    Dalam konteks permasalahan Palestin ini, marilah berganding bahu untuk membebaskan bumi Palestin. HALUAN Malaysia berpandangan bahawa seluruh umat Islam sama ada individu mahupun kumpulan-kumpulan, persatuan-persatuan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersatu-padu, bekerjasama dan bantu-membantu dalam menggembeling tenaga untuk menyelesaikan isu ini. Perhimpunan Perdana Palestin (PPP) yang diadakan baru-baru ini yang melibatkan pelbagai NGO memperlihatkan hubungan kerjasama yang erat dan ini memberi suatu gambaran yang positif kepada agenda perpaduan ummah. Marilah sama-sama kita bersatu padu untuk membina kekuatan ke arah masa depan Islam yang gemilang.

    Sidang perwakilan yang dirahmati Allah Subha Nahu Wa Taala sekalian,

    Akhirnya saya selaku presiden HALUAN MALAYSIA ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah di atas kesungguhan barisan exco dan seluruh ahli-ahli HALUAN yang telah berusaha bertungkus lumus demi menjayakan sebarang aktiviti yang telah dirancangkan. Semoga Allah Subha Nahu Wa Taala memberkati usaha kita demi memertabatkan maruah bangsa, negara dan ad-Din. Insha Allah.

    Sekian wassalam.

    DR. ABDULLAH SUDIN ABD RAHMAN
    PRESIDEN HALUAN MALAYSIA
    22 Mei, 2010
    8 Jamadil Akhir 1431H
    Dewan Anuwar Mahmud,
    Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
    Bangi, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

    Read more...

    Tuesday, May 11, 2010

    0

    Hampir 10 Ribu Hadir Ke Solidariti Perhimpunan Perdana Palestin

  • Tuesday, May 11, 2010
  • aburidhwan
  • SHAH ALAM, 8 Mei - Hampir 10,000 orang telah hadir dalam Perhimpunan Perdana Palestin yang dianjurkan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) bersama-sama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Yayasan Amal, Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Global Peace Mission, Muslim Care dan Viva Palestina Malaysia (VPM).

    Pengarah projek LL4G, Tuan Haji Noorazman Mohd Samsuddin

    Perhimpunan dimulai dengan ucapan aluan oleh Pengarah projek LL4G, Tuan Haji Noorazman Mohd Samsuddin. Beliau menjelaskan objektif program LifeLine4Gaza iaitu mempertahankan bumi Al Quds dari penjajah Zionis, memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan Konvoi Menerobos Tembok Kematian di Gaza, solidariti NGO-NGO dan rakyat yang prihatin dengan Palestin, dan menjadikan Majlis Kemuncak Projek Pengumpulan Dana untuk Konvoi LifeLine4Gaza . Menurut beliau lagi, aktiviti-aktiviti LifeLine4Gaza yang dibuat sebelum ini antaranya ialah siri pengumpulan dana dari aktiviti-aktiviti yang dibuat sejak 2 bulan lalu seperti konsert nasyid amal, jamuan makan malam, ceramah-ceramah Palestin di masjid-masjid dan di surau-surau di seluruh negara.

    Presiden Haluan Malaysia, Dr Abdullah Sudin Bin Abd. Rahman

    Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin Bin Abd. Rahman. Di dalam ucapan ringkas tersebut beliau menegaskan bahawa usaha membawa Palestin ini ada hubungkaitnya dengan permasalahan aqidah ummah Islam. Setiap daripada ummat Islam perlu merasai dan prihatin terhadap isu Palestin.

    Encik Tuan Mokhtar Hani, Timbalan Datuk Bandar, Bandaraya Shah Alam.

    Perhimpunan ini dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Bandar Shah Alam, Y.Bhg Datuk Mazelan bin Md Noor diwakili oleh Encik Tuan Mokhtar Hani, Timbalan Datuk bandar, Bandaraya Shah Alam. Beliau menjelaskan kesungguhan dan keazaman yang ditunjukkan oleh gabungan puluhan NGO tempatan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam ini boleh menjadi contoh kepada rakyat Malaysia betapa kita boleh bersatu untuk Palestin dan mengetepikan perbezaan politik dan fahaman peribadi demi bersama-sama dengan rakyat Palestin.

    Setiausaha Agung Jamaah Islah Malaysia (JIM), Tuan Haji Nahar b Mohd Nor

    Naib Pengerusi Muslim Care, Encik Zulkifli bin Mohd Nani

    Sesudah majlis perasmian, majlis bermula dengan pidato dari wakil-wakil NGO Jamaah Islah Malaysia(JIM) Tuan Haji Nahar b Mohd Nor, Setiausaha Agung Jamaah Islah Malaysia(JIM), Encik Zulkifli bin Mohd Nani, Naib Pengerusi Muslim Care merangkap Ahli Majlis MBSA diselangseli dengan persembahan multimedia dan nasyid oleh In-Heart, Muadz, Raihan dan Shoutul Harakah.

    In-Heart

    Bro Muadz

    Raihan

    Shoutul Harokah

    Turut berucap adalah Syeikh Ziyad Al-Qishawi, Koordinator Bantuan Antarabangsa Ikatan Ulama Palestin dan Naib Presiden Foundation For Human Right & Freedom Relief (IHH) dari Turki, Saudara Hussain Oruc. Mereka berdua menyampaikan salam perjuangan dan terima kasih tidak terhingga dari rakyat Palestin kerana sanggup memberikan sumbangan dan doa di atas mala petaka yang dikenakan ke atas mereka selama ini.

    Koordinator Bantuan Antarabangsa Ikatan Ulama Palestin, Syeikh Ziyad Al-Qishawi

    Untuk rekod, krisis kemanusiaan selama ini di Palestin membangkit rasa kebersamaan kepada rakyat dan NGO prihatin negara ini yang menggerakkan konvoi Lifeline4Gaza – Break The Siege ataupun Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian. Bagi menjayakan misi menghantar bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama-sama NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG).

    Naib Presiden Foundation For Human Right & Freedom Relief (IHH) dari Turki, Saudara Hussain Oruc

    Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 9 buah kapal dan bot.

    Kempen ini diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

    Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.

    Kemuncak majlis ialah penyerahan cek NGO-NGO kepada Naib Presiden IHH. HALUAN Malaysia telah menyumbangkan RM800 ribu ringgit, JIM menyumbangkan RM200 ribu ringgit di samping sumbangan cek oleh Muslim Care dan lain-lain NGO. Pada malam itu juga Dr. Abdullah Sudin bin Abd. Rahman telah melancarkan kad sumbangan RM10 ringgit sebulan untuk diedarkan kepada seluruh warga Malaysia yang prihatin.

    Muslimat turut bersama

    Sebelum majlis berakhir, resolusi membantu perjuangan Palestin telah dibacakan oleh pimpinan Pemuda dan Mahasiswa yang prihatin diketuai oleh Saudara Anaqi bin Salleh, Presiden Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) dan Saudara Abdullah Omar bin Ahmad Fuad, Presiden Karisma-JIM. Rayuan ringkas kutipan yang penuh semangat dikendalikan oleh Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN. Alhamdulillah, jumlah kutipan semasa Perhimpunan Perdana Palestin ialah RM123,869.00. Sebelum bersurai majlis dibacakan dengan doa penutup oleh Ustaz Daniel Salehi, pengajar Sek Menengah Ibnu Khaldun.

    Kepimpinan HALUANSiswa & KARISMA-JIM

    Terima kasih diucapkan kepada rakyat Malaysia yang prihatin. Namun jumlah yang dikutip itu masih perlu ditingkatkan lagi bagi menjayakan projek LL4G ini. Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui akaun khusus untuk projek Lifeline4Gaza seperti berikut:

    Nama akaun : "TABUNG PALESTIN HALUAN"
    Nombor akaun: 5644 9020 8528
    Bank : Maybank Berhad

    Read more...

    Monday, May 3, 2010

    0

    Perhimpunan Perdana Palestin l 8 Mei l Shah Alam

  • Monday, May 3, 2010
  • BroHamzah
  • Bersatu Menjayakan Misi Menerobos Tembok Kematian l Perhimpunan Perdana Palestin l 8 Mei 2010 l Stadium Melawati, Shah Alam


    “ Marilah bergading bahu untuk membebaskan bumi Palestin. HALUAN Malaysia berpandangan bahawa seluruh umat Islam sama ada individu mahupun kumpulan-kumpulan, persatuan-persatuan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersatu padu, bekerjasama dan bantu membantu dalam menggembleng tenaga untuk menyelesaikan isu ini.”


    Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
    Presiden HALUAN Malaysia







    Bersatu Menjayakan Misi Menerobos Tembok Kematian


    Sudah sampai saatnya bagi umat Islam untuk menghentikan sekatan jahat dan keji yang dilakukan oleh Yahudi Israel terdapap umat Islam di Palestin. Kita harus berdiri dengan sikap tegas tanpa melupakan matlamat asasi kita dalam memperoleh redha Allah swt. Dan hendaklah seluruh pertubuhan masyarakat untuk bergerak dan bekerja dengan memanfaatkan kecerdasan akal mereka untuk melakukan pelbagai inovasi, mekanisme dan cara-cara baru untuk mengatasi sekatan di Jalur Gaza. Setiap individu atau organisasi hendaklah melimpahkan kekuatan untuk menghentikan sekatan yang hina tersebut dan belum pernah terjadi sebelumnya.

    Kepada kalangan pemimpin umat dan para pemikir serta cendekiawan diseru memainkan peranan mereka dalam memimpin dan menjadi penguasa umat, maju dan masuklah ke dalam barisan untuk menghentikan sekatan, dan untuk memimpin umat seluruhnya dengan memberikan kemudahan kepada para pembawa bantuan sehingga para utusan dan kafilah-kafilah bantuan tersebut dapat masuk dengan mudah, mulai dari samudera menuju teluk, sehingga dapat mewujudkan keinginan dan cita-cita umat, menyampaikan ucapan dan perkataan mereka, tanpa rasa takut atau malu, sehingga tidak masuk dalam kehinaan dan aib di dunia dan akhirat.

    Sudah saatnya kita memperlihatkan diri yang terbaik dihadapan Allah; tanpa ragu-ragu atau enggan atau merasa hina, dan bahawa para pemimpin Arab dan Islam hendaklah bertaqwa kepada Allah di tengah umat mereka dan menaikakn citra diri mereka dihadapan umat dan untuk mengangkat aspirasi dan harapan mereka di hadapan dunia.

    Wahai para pemimpin terhormat di mana saja kalian berada..

    Sesungguhnya situasi di Gaza saat ini tidak menentu, dan menuntut kita tidak hanya mengeluarkan kata; kerana mereka di Gaza tidak hanya makan kata-kata kita, atau tidak memerlukan lembaran surat perjanjian dan surat berharga lainnya, sebagaimana mereka tidak memerlukan atau meminum air mata kesedihan kita ketika melihat situasi yang menghimpit ke atas mereka. Namun yang diperlukan oleh penduduk Gaza saat ini sesuatu yang konkrit dan nyata, usaha yang lebih membumi yang mampu untuk dirasai; memerlukan tindakan konkrit untuk menghentikan sekatan kejam yang tidak adil terhadap satu setengah juta jiwa warga di sana , dan ini semua adalah tanggung jawab semua tanpa terkecuali.



    Hendaknya kita semua melihat kembali daftar hitam nama-nama orang yang hina dan perihal mereka untuk ditimpakan pada mereka kehinaan, aib dan kekerdilan pada hari kiamat..

    Allah berfirman:


    وَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الأَبْصَارُ. مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ


    “Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak, mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mangangkat kepalanya, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong”. (Ibrahim:42-43)

    Wahai umat manusia seluruhnya…


    Marilah kita kembali kepada Allah..!!


    Marilah kita melakukan usaha yang terbaik untuk menyatukan kekuatan dalam rangka menghentikan sekatan terhadap warga Palestin di Jalur Gaza, mobilisasikan kafilah-kafilah dan bala bantuan kepada mereka dan lakukan pelbagai tekanan kepada pertubuhan antarabangsa dan tempatan, dan pertubuhan / agensi kalangan institusi kerajaan untuk turut serta mendesak Israel membenarkan bantuan memasuki Gaza.
    Tidak ada alasan bagi kita pada saat ini, kecuali bergerak, bergerak dan bergerak; masing-masing sesuai dengan kemampuannya, sebagaimana yang diungkapkan oleh ulama salaf: “Sebaik-baik kemampuan yang dimiliki manusia adalah yang kuat imannya.”


    Maka dari itu marilah semuanya bergerak; individu, institusi, pertubuhan sosial, pertubuhan bukan kerajaan atau organisasi kemasyarakatan. Bangun dan bersatu untuk mengangkat dan menghilangkan ketidakadilan dan kezaliman yang terjadi di Jalur Gaza dan di seluruh dunia, dan tidak ada alasan sedikitpun untuk merendahkan para pejuang yang mulia


    وَإِنَّ اللهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ



    “Dan Sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu”. (Al-Hajj:39)

    Marilah kita berlumba-lumba untuk menuju dan menggapai redha Allah, berkorban dan berjuang untuk membela saudara kita, tidak berusaha untuk menghambat kegagalan orang-orang yang gagal, atau menghinakan orang-orang lemah, dan ketahuilah bahawa Allah pasti akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun bukan pada saat ini..

    Allah berfirman:


    وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ


    “Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya”. (Yusuf:21)
    Read more...

    Mars HALUAN


    MusicPlaylistRingtones
    Create a playlist at MixPod.com

    Subscribe